suria

Tendang, baling batu... sanggup keluar semula dari kereta tengok kucing menggelupur! Apa masalah pemandu Bezza?

Seorang lagi memukul seekor kucing di hadapan sebuah kedai. Gambar kecil kesan luka di kepala kucing. foto FB Hafiz Qayyum

DIKEMASKINI

SYAITAN bertopengkan manusia!

Sikap tidak berperikemanusiaan seorang lelaki terhadap seekor kucing di hadapan sebuah kedai berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

Rakaman berdurasi 2 minit dan 35 saat itu menunjukkan seorang lelaki yang memandu kereta Bezza warna putih yang kemudian diletakkan di hadapan sebuah kedai.

Dia kemudian mengumpan seekor kucing dengan memberikan makanan di kaki lima kedai sebelum dengan sengaja membaling batu-bata ke arah haiwan tersebut.

pukul kucing 3

Lelaki ini mengumpan makanan sebelum memukul kucing.

Kucing malang itu ditinggalkan dalam keadaan menggelupur ibarat 'nyawa-nyawa ikan' akibat kecederaan yang dialaminya.

Lelaki berbaju dan berseluar hitam itu yang masuk ke dalam kereta Bezza selepas melakukan serangan kemudian dilihat keluar semula dari kenderaannya dan berpatah balik untuk melihat kucing itu dalam keadaan kesakitan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kejam! Anak pijak kucing sampai mati, ibu pula kuis dengan kaki

ARTIKEL BERKAITAN: Kejam, tak waras! Anjing meronta atas jalan diseret kereta, orang ramai buru individu dalam Myvi putih

Menerusi satu perkongsian yang kini tular di media sosial, kejadian dikatakan berlaku pada awal pagi Ahad di hadapan sebuah kedai di Semeling, Kedah.

"Pada jam lebih kurang 1.10 pagi, seorang individu lelaki telah datang ke bahagian hadapan kedai MR DIY Express Semeling dipercayai ingin memberi makanan kepada seekor kucing lalu bertindak membaling batu ke arah kucing tersebut dan membiarkannya dalam kesakitan tanpa memberikan bantuan.

"Di sini saya sertakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membuktikan kesahihan kenyataan yang saya sampaikan," tulis pengguna Facebook bernama Hafiz Qayyum.

pukul kucing 7

Keadaan kucing yang kesakitan.

Dia turut memuat naik foto kucing tersebut yang mengalami kesan luka di bahagian kepala.

Menurut Hafiz Qayyum, dia sangat tidak menyokong keganasan terhadap haiwan yang tidak berperikemanusiaan.

Menerusi ruangan komen, Hafiz Qayyum turut memuat naik satu lagi video di di luar premis sama di mana terdapat dua kucing yang diumpannya dengan makanan.

Seekor kucing berjaya mengikutnya ke tengah jalan, di belakang kereta Bezzanya sebelum ditendang haiwan itu dengan kejam.

Berdasarkan dua rakaman itu, lelaki berkenaan dilihat kurang senang dengan kehadiran haiwan itu dan melakukan keganasan.

Sehingga kini, posting di Facebook Hafiz Qayyum dikongsi lebih 3,400 kali.

pukul kucing 5

Lelaki berkenaan menendang seekor kucing.

Susulan video yang tular, Persatuan Haiwan Malaysia dalam satu kenyataan meminta saksi kejadian supaya tampil melaporkan jenayah keganasan haiwan ini.

"Kucing ini tidak menyusahkan sesiapa. Tidak ganggu sesiapa dan tidak pula membahayakan nyawa mana-mana pihak pun.

"Mengapa dia direjam dengan batu hingga cedera di kepala tanpa salah apa-apa? Kecederaan dialami kucing dilihat agak serius dan kucing jugak dibiarkan menggelinting kesakitan dalam waktu yang lama," katanya.

Mengapa dia direjam dengan batu hingga cedera di kepala tanpa salah apa-apa?

PERSATUAN HAIWAN MALAYSIA

Menurut persatuan itu lagi, melakukan keganasan dan kecederaan terhadap kucing dan lain-lain haiwan domestik merupakan jenayah haiwan.

"Mereka boleh dipenjara maksimum tiga tahun dan didenda maksimum RM100,000 jika sabit kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015," tambahnya.

Jelasnya, orang ramai boleh melaporkan mengenai kes jenayah haiwan domestik ke awa.dvs.gov.my dan kes jenayah haiwan liar ke hotline 1-800-88-5151.

pukul kucing 11

Perkembangan terkini mengenai suspek.

Susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan polis di rumah suspek dekat Kampung Pengkalan Merbok, Bujang, Kedah pada Isnin petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan dalam satu kenyataan berkata, polis menerima laporan polis daripada seorang lelaki yang mendakwa berlaku penganiayaan terhadap kucing di hadapan premis tempat kerjanya.

Menurut Zaidy, hasil soal siasat awal dijalankan, suspek mendakwa mengalami gangguan emosi kerana tidak bekerja.

"Temu bual awal dengan ahli keluarga suspek juga mendakwa lelaki tersebut adalah seorang pencinta kucing dan telah banyak memelihara haiwan tersebut di rumah sebelum ini," katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan iaitu khianat terhadap haiwan.

Kes juga disiasat bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain