suria

Murid darjah 3 takut pergi sekolah, trauma cikgu pukul muka dengan buku... Ibu pula mengaku cakap kasar, terbiasa cara orang Melaka

Kiri tangkap layar video pertemuan di pejabat sekolah. Kanan ibu kepada murid yang didakwa dipukul.

SITUASI tegang yang berlaku antara seorang ibu dengan guru wanita di pejabat sekolah berhubung dakwaan anaknya dipukul di bahagian muka dengan buku terus meraih perhatian ramai.

Walaupun ramai tidak bersetuju dengan bentuk hukuman yang dikenakan, namun ada juga segelintir netizen yang cuba memahami situasi di pihak guru berkenaan hingga mendorongnya bertindak sedemikian.

Bercakap kepada mStar, ibu berusia 33 tahun itu memberi penjelasan mengenai insiden membabitkan anak perempuannya yang juga murid darjah tiga di sebuah sekolah di Melaka.

Hanya mahu dikenali sebagai Siti Naila, katanya, insiden berlaku pagi Rabu lalu hanya diketahuinya pada sebelah malam kerana anaknya pulang dari sekolah dalam keadaan lesu.

"Anak saya tak nak makan, balik terus tidur dan pukul 10 malam baru bangun . Hari Khamis saya bawa anak saya ke sekolah untuk dapatkan penjelasan, hari ni (Jumaat) anak saya menangis tak nak pergi ke sekolah.

"Tak ada kesan cedera, tapi anak saya alami tekanan. Dia trauma. Sampaikan saya nak pergi sekolah, dia kata jangan pergi sebab cikgu tu garang," katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: "Penting ke kau nak pukul muka anak aku?" - Ibu tengking guru di sekolah, berang hukum murid cara kasar dengan buku

Mengakui insiden berpunca daripada kegagalan anaknya membawa rekoder ke sekolah untuk ujian amali bagi mata pelajaran Pendidikan Muzik, Siti Naila berkata guru berkenaan seharusnya memahami keadaan murid-murid yang masih kecil.

"Budak-budak kan, baru darjah tiga. Bukan boleh nak ingat semua benda. Kenapa cikgu tu tak ingatkan dalam group WhatsApp kelas?" ujarnya yang berasal dari Cheng, Melaka.

cikgu tepuk pelajar 4

Pertemuan selama kurang sejam di pejabat sekolah.

Tambah Siti Naila, kehadirannya ke sekolah pada Khamis adalah untuk bersemuka dengan guru tersebut dan pengetua bagi mendapatkan penjelasan berhubung insiden yang berlaku.

"Tujuan saya pergi ke sekolah bukan nak bergaduh, nak dengar guru tu mengaku silap dia. Dalam video tu pun dia mengaku pukul anak saya termasuk beberapa murid lain.

"Saya sendiri akui silap terkasar bahasa, biasa la orang Melaka kan. Saya tak dapat mengawal perasaan apabila cikgu tu nak menegakkan benang yang basah dan asyik kata anak saya biadab," katanya.

Pertemuan di pejabat sekolah itu berlangsung selama kurang sejam melibatkan beberapa kakitangan termasuk pengetua dan guru kaunseling.

cikgu tepuk pelajar 5

Antara luahan netizen berhubung video yang tular.

Tegas ibu kepada empat cahaya mata itu, apa yang cukup dikesalkannya ialah guru tersebut memilih untuk memukul anaknya di bahagian muka.

"Cikgu tu kata nak pukul tepi kepala tapi bila anak saya pusing kepala dia, jadi terkena muka. Macam mana kalau terkena bahagian telinga? Nanti boleh jejaskan pendengaran anak saya.

"Kalau cikgu tu nak pukul anak saya sebagai kesedaran atas kesilapan dia, pukul di tangan atau kaki okay lagi. Tapi tak wajar pukul di muka atau kepala," ujarnya.

Jika berlaku pada anak mereka, baru mereka tahu macam mana perasaan sedih dan marah tu.

SITI NAILA

Dalam pada itu, Siti Naila turut mendakwa seorang anak lelakinya yang merupakan murid darjah enam di sekolah sama pernah dihukum oleh guru sama.

"Anak lelaki saya kata cikgu tu pernah suruh dia cuci enam tandas. Bagi saya, ia sebagai satu penderaan emosi," katanya.

cikgu tepuk pelajar 6

Cadangan netizen bagi menggantikan hukuman pukul di bahagian muka.

Susulan insiden itu Siti Naila berkata, dia juga membuat laporan polis selain bercadang untuk melaporkannya kepada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pengurus butik pengantin itu bagaimanapun terkilan dengan pelbagai kecaman terutama dalam kalangan ibu bapa susulan video yang tular.

"Mereka boleh cakap apa saja sebab mereka tak rasa. Jika berlaku pada anak mereka, baru mereka tahu macam mana perasaan sedih dan marah tu," katanya.

Sementara itu usaha mStar untuk mendapatkan kenyataan pihak polis berhubung kes berkenaan masih belum berhasil.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain