BAGI mereka yang memandu atau menunggang motosikal ke destinasi yang agak jauh, situasi kehabisan minyak atau kenderaan rosak ketika dalam perjalanan sememangnya menjadi antara perkara yang paling dibimbangkan. Begitu juga dengan pemuda ini yang mana perjalanannya diuji dengan dua tayar keretanya pancit gara-gara jatuh lubang. Apa yang lebih mencemaskan, situasi tidak dijangka itu berlaku sekitar pukul 3.00 pagi! Insan baik hati bernama Abang Azmi yang membantu Nashruddin ketika insiden tayar kereta pecah pada pukul 3.00 pagi. Bayangkan dalam waktu sedemikian, tiada bengkel berdekatan yang beroperasi malah pengguna jalan raya juga 'boleh dibilang dengan jari' lebih-lebih lagi bukan laluan lebuh raya utama. Berkongsi semula detik cemas yang berlaku pada 12 Jun lalu, pemuda bernama Nashruddin Che Amat berkata ketika itu dia bersama isteri dan bayi mereka yang berusia dua bulan sedang dalam perjalanan ke Pasir Mas, Kelantan kerana mahu menziarahi ibu mentuanya. ARTIKEL BERKAITAN: Tayar motor pecah, remaja terpaksa tolak sendirian sampai 10km... tak sangka tiba-tiba 'uncle' muncul - “Dia tak mahu walau berkali-kali nak bagi sagu hati” ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu 4WD sebak jumpa lelaki gigih tolak motosikal dari Tanjung Malim ke Penang selepas dibuang kerja, dibayar RM5 - “Dia dah macam hilang separuh nyawa” "Terpaksa balik ke Kelantan dengan segera kerana ibu mentua ada operation pagi tu. Selepas tamat kerja pukul 4 petang, kami bertolak dari Balik Pulau, Pulau Pinang selepas Isyak. "Lebih kurang pukul 3 pagi, tayar kereta masuk lubang di Jalan Gerik-Jeli. Isteri dan anak pun terkejut. Saya beranikan diri keluar tengok, rupa-rupanya tayar pancit depan dan belakang disebabkan jatuh dalam lubang. "Saya berhentikan kereta di tepi jalan dulu dan cuba minta bantuan kerana cuma ada satu tayar spare. Perjalanan masih berbaki 135 kilometer (km) nak kena Pasir Mas. Nashruddin bersyukur kerana dipertemukan dengan Abang Azmi malah berkeinginan untuk bertemu lelaki tersebut pada masa akan datang. "Kalau tak ada juga bantuan, saya ingat nak redah saja dengan tayar pancit," ujar bapa berusia 28 tahun dengan seorang cahaya mata ini kepada mStar. Menurut Nashruddin yang juga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), hampir 30 minit menunggu di tepi jalan, sebuah kereta kemudian berhenti dan pemandunya yang merupakan seorang lelaki Melayu keluar untuk bertanyakan masalahnya. "Abang Azmi namanya. Disebabkan dua biji tayar pancit, Abang Azmi pinjamkan satu tayar spare dia. Dia buat daripada A-Z, ada dalam sejam juga dia bantu tukarkan tayar. "Rupa-rupanya dia memang buat kerja foreman ni. Dia orang Butterworth. Ketika itu dia dalam perjalanan nak ke Pengkalan Chepa dan Kuantan," ceritanya. Dia follow belakang kereta saya sampai Hentian Titiwangsa bimbang kereta saya buat hal lagi. Punyalah baik hati. NASHRUDDIN CHE AMAT Apa yang lebih membuatkan Nashruddin terharu, lelaki tersebut menolak untuk mengenakan cas di atas bantuannya, sebaliknya hanya meminta bayaran seikhlas hati. "Abang Azmi tak mahu ambil upah satu sen pun. Lepas itu saya pujuk dia juga, dia kata bagilah berapa pun, RM20 pun jadilah. Dia buat daripada A-Z, dekat Gerik pada pukul 3 pagi. Berbaloikah nak beri RM20? "Kalau dia kata RM100 atau RM200 atau RM300 pun saya beri. Bukan sebab nak beritahu duit banyak, tapi nak banding dengan keselamatan anak isteri. "Kemudian dia follow belakang kereta saya sampai Hentian Titiwangsa bimbang kereta saya buat hal lagi. Punyalah baik hati. Allah hantarkan orang baik dan prihatin untuk tolong kami," ceritanya lagi. Nashruddin berkata dia sekeluarga selamat tiba di rumah ibu mentuanya di Kampung Gual Kulim, Pasir Mas sekitar pukul 6 pagi. Rata-rata warga maya mengagumi dan memuji Abang Azmi di atas tindakan mulianya. "Pukul 10 pagi baru kami jumpa semula di Pasir Mas untuk saya serahkan balik tayar spare Abang Azmi. "Dalam pertemuan semula itu, Abang Azmi ceritakan serba sikit perjalanan dia. Cuma sayalah asyik ucap terima kasih tak henti-henti. Saya rasa bertuah, orang yang baik hati bantu saya saat genting macam tu. "Masih ramai orang baik di luar sana. Rakyat Malaysia memang baik dan prihatin. Sudah tentu satu hari nanti saya bercadang untuk bertemu lagi dengan Abang Azmi, InsyaAllah," akhirinya. Terdahulu, hantaran Nashruddin turut dikongsi laman Facebook Penangkini dan meraih lebih 1000 shares. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI