suria

Teringin tengok kawan-kawan bawa beg kasut, murid miskin nekad mencuri... Lepas dirotan guru disiplin ‘offer’ beli but bola Adidas!

Mohd Fadli berkongsi kisah seorang pelajarnya yang mencuri kerana terlalu berkeinginan memiliki sebuah beg kasut bola.

AKIBAT daripada keinginan yang tidak mampu dicapai, seorang pelajar sekolah rendah nekad bertindak mencuri sebuah beg milik gurunya.

Namun sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga apabila perbuatan kanak-kanak itu berjaya dibongkar.

Kisah mengenai murid lelaki ‘panjang tangan’ itu dikongsikan semula oleh guru disiplinnya Mohd Fadli Salleh menerusi Facebook sehingga tular.

Posting asal yang menjadi tular di Facebook.

“Ini kisah tentang seorang murid dari keluarga kurang senang dan minat main bola. Kepandaian dalam bidang akademik, sekadar cuma. Bahkan boleh dikatakan murid yang agak perlahan sejujurnya.

"Tapi dia minat main bola dan terpilih mewakili sekolah. Setiap petang turun berlatih di padang dengan kawan- kawan,” tulisnya dalam posting tersebut.

Tambah cikgu Fadli, hasil siasatan mendapati kejadian curi itu berpunca daripada sifat ingin memiliki sebuah beg khas bagi menyimpan kasut bola seperti pelajar lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Borak dan 'rembat'! 'Makcik Myvi merah' berani curi 3 beg pelajar dalam masjid "Esok exam, nota sekali kena curi”

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor akui ‘tewas’ dengan kebijakan rakan pencuri ketika di asrama, selepas 15 tahun terima mesej mengejutkan - “Tak tahu nak terharu ke gelak”

“Setiap kawan bawa kasut bola dalam beg kasut. Cuma dia sahaja yang tiada beg kasut bola. Lagi pun kasut ibunya beli di pasar malam. Harga cuma RM29 katanya. Manalah nak dapat beg sekali. But bola murah saja pun.

“Apabila lihat kawan-kawan ada beg kecil tempat simpan but bola, dalam hatinya nak sangat ada beg itu juga. Nampak lebih stylo kot pada dia. Namun nak beli, tak mampu.

"Nak minta dengan ayah ibu, mereka pun bukan orang yang berada. Maka niat itu disimpan dalam hari," katanya lagi.

Bagaimanapun kejadian pada satu petang di surau sekolah mengubah segalanya.

“Lama hasratnya dipendam sendirian sehinggalah saat dia masuk surau sekolah untuk solat Asar. Dia terlihat satu beg kecil yang muat elok untuk isi but.

"Beg seorang guru wanita yang ditinggalkan kat surau,” imbas Fadli.

Namun kegembiraan memiliki sebuah beg tidak lama apabila perbuatannya berjaya dikesan.

Fadli turut meluahkan rasa kesal sesetengah pihak menganggap bahawa posting asalnya sebagai content sahaja.

“Kecohlah satu sekolah apabila ada guru hilang beg. Pakat cari beg tu, akhirnya jumpa semua barang dalam stor. Masa jumpa barang tu, pakat pelik kenapa barang dalam beg tidak diambil?

“Pecahlah rahsia apabila ada kawan-kawan perasan murid ni bawa but dalam beg tu. Cikgu Ibrahim dan Cikgu Fakhri, guru yang melatih pasukan bola sekolah pun siasat, ambil semula beg tu dan serahkan pada guru. Cikgu Ibrahim ceritakan kes ini kepada aku, selaku guru disiplin sekolah,” ujarnya.

Setelah pelajar ini ditangkap kerana mencuri, Fadli kemudiannya bersemuka bagi pendapatkan jawapan daripada pelajar itu sendiri.

Menurut Fadli, dia cuba menjelaskan kepada pelajar ini bahawa perbuatannya ini tetap salah dan tidak seharusnya menjadikan kemiskinan sebagai tiket untuk dia mengambil hak orang lain tanpa izin.

Sungguhpun bersimpati dengan nasib pelajarnya, namun Fadli tetap menghukumnya sebagai pengajaran bahawa perbuatan curi adalah salah.

Nak sesuatu, kena usaha... bukan dengan curi barang orang lain.

MOHD FADLI SALLEH

“Nak sesuatu, kena usaha. Bukan dengan curi barang orang lain. Dia membuka tapak tangan dan hulur padaku. Tiga das rotan di tapak tangan.

“Sedikit pun dia tidak meraung. Lagi pun aku bukan rotan untuk mendera. Sekadar untuk mendidik. Berbirat pun tidak,” tegas Fadli berikutan hukuman diberikan.

Menyedari anak muridnya itu benar-benar meminati sukan bola sepak, Fadli kemudiannya menawarkan untuk memberi hadiah sepasang but berjenama jenama Adidas dengan satu syarat.

Kata Fadli, jika pelajar berkenaan bersama rakan sepasukannya yang lain berjaya melayakkan pasukan sekolah mara ke peringkat daerah, sepasang kasut bola baharu beserta beg bakal menjadi miliknya.

"Budak-budak... begitulah mereka. Kadang ada benda yang mereka nak sangat, tapi mereka tak mampu nak beli. Keinginan yang membuak itu menghilangkan kewarasan seketika hingga sanggup mencuri.

Fadli merupakan seorang guru dan aktivis di media sosial.

"Hal ini jika tidak dibendung, ia mungkin akan berulang lagi di masa akan datang. Sebab tu saya kena fahamkan dia, miskin bukan alasan untuk mencuri. Mencuri tetap salah dan kesalahan perlu dihukum agar menjadi pengajaran agar dia ingat selama masa.

"Mungkin pada orang lain, hanya perlu nasihat dan amaran sahaja. Tapi pada saya tidak begitu. Kesalahan ni bukan kecil. Saya fahamkan dia betul-betul sebelum hukum. Biar dia faham dan tahu, saya merotan dia bukan sebab benci, marah dan emosi tapi untuk mendidik dia.

"Saya nak tunai janji, nak sangat lihat dia beraksi dengan but baharu. Nak sangat kabulkan impian dia. Saya boleh saja nak belikan terus dan hadiahkan pada dia, tapi pada saya bukan begitu caranya.

"Saya nak lihat dia mengejar impian dengan usaha. Biar janji saya itu membuatkan dia lebih bersemangat dan bermotivasi untuk menang," ujar Fadli berikutan kisah pelajarnya ini.

Untuk rekod, perkongsian cerita di halaman Facebook ini meraih lebih 47,000 tanda suka dan lebih 2,600 perkongsian semula oleh warga maya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain