suria

“Ingatkan saya kuat” - Guru pengacara majlis sebak di mesyuarat PIBG, sesi anugerah pelajar cemerlang jadi ‘drama’ air mata

Tangkap layar video Diyana sebak mengumumkan anaknya sebagai salah seorang murid terbaik UPKK.

SEKUAT mana pun seseorang itu, tetap akan berasa sebak apabila sesuatu menyentuh emosi.

Begitulah yang terjadi kepada seorang guru sewaktu membaca biodata anaknya sendiri ketika sesi pengumuman kejayaan murid-murid di sekolah.

Menerusi video yang tular, guru berkenaan beberapa kali berhenti berucap kerana menahan sebak sebelum tugasnya diambil oleh kakitangan lain.

Bercakap kepada mStar, guru tersebut, Nor Diyana Suhaili Ghazali berkata, kejadian berlaku sewaktu Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 2 di Kota Bharu, Kelantan pada 24 Jun lalu.

Wanita berusia 41 tahun itu memberitahu, dia bersama seorang lagi guru ditugaskan sebagai pengacara majlis (MC) tetapi pasangannya tidak dapat hadir kerana cuti sakit.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak tak sangka ibu akan cium hadiah hari jadi ke-85, wajah ceria bertukar sebak - "Mak teringat orang yang paling dia sayang"

ARTIKEL BERKAITAN: Datang pakai baju lusuh, tapak kasut nak tercabut... Wanita ini tak sanggup tengok, kisah di pondok sekolah buat ramai sebak

"Mengikut perancangan awal, kami akan bahagikan tugas MC. Dalam mesyuarat PIBG tu ada penyampaian anugerah Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) bagi tahun 2021.

"Untuk sesi penyampaian anugerah UPKK tu, rakan setugas sepatutnya baca untuk murid Tahun Lima dan saya baca untuk Tahun Enam. Bila dia tak hadir kerana cuti sakit, jadi saya meneruskan tugas seorang diri," katanya ketika dihubungi mStar.

guru sebak 2

Penyampaian anugerah kepada anak Diyana.

Lebih dikenali sebagai Teacher Elly, Diyana berkata, dia terlebih dahulu mengetahui salah seorang daripada empat murid yang memperoleh pencapaian terbaik dalam UPKK 2021 merupakan anak perempuannya, Nuha Humaira Mohd Fahmi yang kini berusia 12 tahun.

"Patutnya seorang lagi MC baca biodata anak saya yang merupakan murid Tahun Lima tahun lalu. Nak tak nak, saya yang bacakan biodata anak yang saya tulis sendiri.

"Saya ingatkan saya kuat untuk baca kesemua biodata murid. Tapi bila tiba baca biodata anak sendiri, saya tak dapat mengawal emosi dan sebak," ujarnya yang berasal dari Kota Bharu.

guru sebak 4

Diyana (kanan) tersenyum menyaksikan kejayaan anaknya.

Berpengalaman dalam bidang perguruan selama 15 tahun, Diyana mengakui perasaan sebaknya kerana terkenangkan cabaran dan kesulitan yang terpaksa dilalui oleh anaknya.

"Kesedihan tu datang bila mengenangkan betapa struggle anak saya termasuk murid-murid lain belajar dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Anak saya bertungkus-lumus menghafal untuk UPKK dan semua calon perlu menjalani ujian tersebut secara online.

"Saya sebagai guru selalu bekerja keras untuk mendidik anak-anak orang lain. Apabila usaha saya bersama guru lain mengajar anak sendiri sampai berjaya, saya bersyukur," katanya.

guru sebak 3

Bersama empat penerima anugerah kecemerlangan UPKK.

Menurut Diyana, anak perempuannya yang merupakan cahaya mata kedua daripada empat beradik itu memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam UPKK pada tahun lalu, sekali gus menjadi antara empat yang terbaik daripada 112 calon bagi Tahun Lima dan Tahun Enam.

Mengulas lanjut, guru cemerlang Matematik itu berkata, dia hanya mampu membaca kurang separuh daripada kandungan biodata anaknya pada hari kejadian.

Kesedihan tu datang apabila mengenangkan betapa struggle anak saya termasuk murid-murid lain belajar dengan kaedah PdPR.

DIYANA

"Sebab anak sendiri, jadi saya tulis biodata lebih panjang. Tapi asyik sebak, teringat kesusahan anak, saya tak dapat nak sambung baca.

"Mujur guru penolong kanan hal ehwal murid gantikan saya. Beliau pun tak habis baca, ada separuh lagi sebab biodata ditulis tangan dan ada banyak singkatan serta ikon yang saya je faham, jadi saya cadangkan agar sesi diteruskan dengan acara penyampaian anugerah," katanya.

guru sebak 1

Nuha (tengah) berkongsi kejayaan bersama bapa (kiri) dan salah seorang adik lelaki.

Jelas Diyana, dia tidak menyangka ia merupakan pertama kali tidak dapat menghabiskan bacaan teks sepanjang penglibatannya menjadi pengacara majlis di sekolah sejak 2007.

"Sebelum sesi penyampaian anugerah, saya berlatih baca depan anak dan memang okay. Tapi itulah naluri seorang ibu dan saya pula sensitif, memang tak kuat," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain