KETIKA ini, isu kenaikan harga barang menjadi topik utama yang hangat dibincangkan sama ada di media sosial mahupun kedai kopi. Bukan sahaja harga barangan yang semakin melambung, malah ada segelintir peniaga turut mengambil kesempatan dengan mengenakan caj tertentu untuk mengaut keuntungan, sekali gus membuatkan rata-rata rakyat mengeluh ekoran situasi ekonomi semakin membebankan. Pada Sabtu, tular satu perkongsian oleh seorang pengguna yang menyuarakan rasa tidak puas hati gara-gara sebuah pasar raya yang dikunjunginya mengenakan caj 30 sen untuk penutup kotak telur! Seorang pengguna membuat perkongsian di Facebook mengenai caj yang dikenakan untuk penutup telur. Pengguna tersebut turut memuat naik sekeping gambar memaparkan notis yang diletakkan di rak telur oleh pihak pasar raya bertulis 'Perhatian, kotak telur kena bayar RM0.30 satu untuk kotak tutup atas'. "Penat aku dengan Malaysia sekarang," demikian kapsyen yang ditulis mengiringi perkongsian tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: “Gilalah sekarang” - Ramai terkejut sejak bila ada upah potong ayam? Kena cincang sendiri di rumah kalau tak mampu ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan kongsi sotong restoran mamak berharga RM100, ramai persoal nak tayang resit atau kereta? Bagaimanapun, pengguna tersebut tidak menyatakan lokasi pasar raya berkenaan secara spesifik. Susulan perkongsian tersebut, ternyata ia mengundang perdebatan hangat dalam kalangan netizen. Rata-ratanya marah dan kecewa dengan tindakan peniaga berkenaan yang sewenang-wenangnya membuat undang-undang sendiri yang tidak masuk akal. Perkongsian tersebut mengundang rasa berang dalam kalangan netizen. "Bawa sendiri tutup telur dari rumah, tak payah susah-susah nak bayar 30 sen tu. "Plastik letak telur tak nak caj sekali ke? Tahi ayam dekat kulit telur tak nak caj sekali ke? "Nak kotak telur satu bang, nak hempuk kepala kau," demikian antara komen yang dilontarkan warga maya. Plastik letak telur tak nak cas sekali ke? Tahi ayam dekat kulit telur tak nak cas sekali ke? NETIZEN Malah, ada juga netizen yang berkongsi gambar memaparkan notis arahan tidak masuk akal di sebuah pasar raya lain bertulis 'tolong ikat telur sendiri, baru bawa ke juruwang. Terima kasih'. Posting tersebut sehingga kini meraih sehingga 1,100 shares di Facebook. Untuk rekod, bermula 1 Julai, harga siling telur sudah ditetapkan pada kadar harga pasaran baharu iaitu telur gred A adalah 45 sen/biji, telur gred B pula 43 sen/biji manakala telur gred C ditetapkan 41 sen/biji. Minggu lalu tular perkongsian seorang pengguna yang dikenakan caj upah memotong ayam. Minggu lalu kecoh apabila seorang pengguna berkongsi resit pembelian barang dapurnya, yang memaparkan harga upah potong ayam di sebuah kedai adalah RM1 untuk setiap kilogram ayam yang dibeli. Pengguna berkenaan membeli seekor ayam segar seberat 4.06 kilogram dengan harga RM36.18, jadi dia perlu membayar caj upah potong ayam sebanyak RM4.06. Berdasarkan maklumat pada resit, kejadian tersebut dilaporkan berlaku di sebuah kedai di Sungai Besar, Selangor. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI