suria

Sushi baru buat 3 jam dah berulat! Peniaga nekad bisnes macam biasa, enggan tahu siapa hantar sihir

Ain sebak apabila terkenang 'episod hitam' yang dilalui beberapa bulan lalu di mana sushi terpaksa dibuang kerana berulat.

MESKIPUN sudah memasuki tahun 2022, percaya atau tidak, masih ada segelintir individu yang tergamak menggunakan ilmu hitam untuk menjatuhkan orang lain.

Bagi Ain Atiqah Rohimi, dia pada mulanya tidak mahu mempercayai perkara sedemikian lebih-lebih lagi dunia kini serba moden dan canggih.

Namun dia akhirnya terpaksa mengakui ia sebenarnya masih lagi 'subur' dalam masyarakat ketika ini, selepas mendakwa diri sendiri menjadi mangsa sihir akibat hasad dengki pihak yang tidak senang melihat bisnes sushi yang diusahakannya semakin maju.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang senang disapa dengan panggilan Ain ini berkata kejadian hitam itu berlaku kira-kira enam bulan lalu.

"Saya mula buat bisnes sushi pada Disember 2020. Ketika itu saya hanya jual sushi di tepi jalan saja di Telok Mas, Melaka. Matlamat saya nak jual sushi dengan harga mampu milik. Itulah konsep yang saya ketengahkan

"Alhamdulillah, bisnes dapat sambutan menggalakkan. Hasil berniaga, dapatlah berpindah dari tepi jalan ke sebuah kedai yang lebih selesa pada September 2021 di Duyong.

ARTIKEL BERKAITAN: Seminggu pelanggan lalu lalang tapi tak singgah, belum apa-apa ustaz dah tersenyum lihat burung tiong ketika dipanggil periksa kedai disihir

ARTIKEL BERKAITAN: Akibat tak mahu bersalaman dengan bukan mahram, wanita ini disihir tauke kedai makan!

"Saya dan staf sediakan sushi setiap pagi dari rumah sebelum tray-tray sushi dihantar ke kedai dan beberapa lokasi lain. Nak dijadikan cerita, pada hari kejadian, selepas hantar ke kedai, staf di sana telefon dan beritahu sushi-sushi ada ulat.

"Hairan juga macam mana boleh ada ulat sebab kami mula buat pukul 7 pagi, kemudian hantar kedai dan lokasi lain 10 pagi. Takkan secepat itu telur lalat jadi ulat.

"Saya siap Google lagi mengenainya sebab nak kepastian. Dalam tiga jam, ulat-ulat dah muncul... memang pelik," ujar pengasas Sushiibiites ini.

sushi 1

Ulat halus yang dikesan dalam sushi yang baru saja dibuat dalam tempoh kurang empat jam.

Disebabkan hal yang tidak dijangka itu, dia membuat keputusan untuk menutup operasi kedai sushinya pada hari tersebut.

"Alhamdulillah, tray sushi yang dihantar ke tempat lain tiada masalah... hanya yang dekat kedai saja," ujar wanita berusia 32 tahun ini.

Perkara 'aneh' tersebut tidak terhenti setakat itu sahaja.

Menurut Ain, tidak lama kemudian, ada dalam kalangan pekerjanya mengadu tidak sihat dan sering mengalami kesan lebam pada tubuh.

"Saya sendiri rasa lesu, loya, pening dan seperti tidak bersemangat untuk bekerja. Rasa malas nak masuk kedai. Saya juga selalu nampak kelibat kalau bangun awal pagi untuk buat persediaan memasak.

sushi 2

Kedai Sushiibiites yang mula dibuka pada September 2021 terletak di Duyong, Melaka.

"Bukan itu sahaja, pelanggan pun semakin berkurang. Kedai kami buka hari-hari tapi susahnya nak habiskan beberapa tray sushi. Akhirnya terpaksa dibuang begitu saja.

"Saya sejenis yang enggan ambil endah tapi selepas beberapa kejadian aneh ini bermula dengan kemunculan ulat, saya ambil keputusan untuk cuba kaedah perubatan Islam.

"Dan memang sah, ada yang tak puas hati dan cuba sihir saya untuk jatuhkan bisnes ini," ujarnya dalam nada sebak.

Berkongsi lebih lanjut, Ain berkata keadaannya dan bisnes sushi semakin pulih selepas menjalani kaedah perubatan Islam.

Janganlah sampai mensyirikkan Allah. Rezeki masing-masing sudah tertulis. Awak buat macam mana pun, saya percaya rezeki di tangan Allah.

AIN ATIQAH ROHIMI

PENGASAS SUSHIIBIITES

"Sekarang ni pun kami masih lagi dalam pemulihan, perlahan-lahan bangun. Sebab itu saya cipta akaun TikTok untuk promosikan kembali bisnes ini dan kenalkan kepada orang.

"Saya enggan ambil tahu siapa yang tak puas hati tu. Tak nak fikir takut jadi dendam. Nanti kita pula jadi busuk hati.

"Saya tak sangka alami benda ini. Saya buat bisnes kecil-kecilan saja nak tambah pendapatan keluarga, saya ada anak, pekerja-pekerja pun ada keluarga nak ditanggung.

"Tak sangka rupa-rupanya bila dah ada kedai, lain pula jadinya," ujarnya lagi.

sushi 3

Aneka sushi yang dijual dengan harga mampu milik.

Bagaimanapun Ain berkata, perkara tersebut menjadikannya semakin tabah dan cekal dalam mengharungi 'sepak terajang' dunia perniagaan.

"Saya muat naik video di TikTok sebab nak kongsi pengalaman. Tak sangka, ramai juga yang share pengalaman disihir juga. Kami sama-sama beri kata-kata semangat.

"Orang yang berniaga mesti akan hadap benda ni. Tapi tak sangka 2022 pun masih ada... sepatutnya seiring zaman moden, pemikiran juga kena berubah.

"Janganlah sampai mensyirikkan Allah. Rezeki masing-masing sudah tertulis. Awak buat macam mana pun, saya percaya rezeki di tangan Allah," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain