suria

Dulu nikah kos murah je, banyak benda tak puas hati! Kini suami ajak isteri buat ‘majlis mahal’, gah macam rakan lain

Reen mengeluarkan belanja lebih RM20,000 untuk majlis sandingnya kali kedua.

BERGELAR raja sehari merupakan momen membahagiakan dan ditunggu-tunggu buat pasangan yang mahu menamatkan zaman bujang mereka.

Begitu juga dengan Nurin Syazwina, 26, yang telah membuat perancangan rapi supaya detik bersejarah dalam hidupnya berjalan lancar.

Bagaimanapun, hasil yang diperoleh daripada majlis hari akad nikahnya yang berlangsung pada 23 Mac 2019 ini telah mengecawakan dia dan pasangan.

Susulan peristiwa itu, dia yang senang disapa Reen sanggup berhabisan wang untuk mengadakan majlis persandingan sekali lagi pada 3 Jun lalu yang mana acara ia menelan belanja lebih RM20,000.

"Saya punya majlis nikah pada awal 2019. Saya buat dekat rumah kakak di Taman Bukit Dahlia, Johor. Waktu tu Covid-19 pun belum ada lagi.

"Masa kahwin tu kami sama-sama masih muda dan suami pun baru habis belajar dan dapat kerja. Kami terpaksa buat majlis pernikahan kecil-kecilan saja dengan menjemput tetamu seramai 200 orang. Semua sekali menelan kos perbelanjaan lebih kurang RM5,000 saja.

"Masa tu saya akui belum terdedah betul lagi dengan MUA (make-up artist) terkenal yang ada dekat kawasan Johor Bahru. Jadi saya pilih mak andam ikut kemampuan. Saya tak puas hati dengan hasil mekap dia buat. Saya dah request nak solekan 'look natural' tapi dapat lain. Mekap saya nampak 'heavy' jadi hitam dekat mata dan bulu mata sampai ke bawah," ujar Reen ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Pengantin Ijazah Kelas Pertama’ terkejut majlis kenduri bertukar hari graduasi... suami sarung jubah, mak ayah hantar skrol di pelamin

ARTIKEL BERKAITAN: Muncul tiba-tiba di majlis kahwin, jadi punca pengantin ‘tumpah air’ mata di pelamin... sampaikan BFF terpaksa suruh berhenti menangis

Bukan itu sahaja, menurut Reen, pelamin di hari bahagianya juga kelihatan begitu 'kosong' kerana didekorasi dengan hiasan bunga yang sedikit di bahagian tepi.

Malah jelas wanita yang menetap di Pasir Gudang ini, foto-foto yang diambil oleh jurugambar upahan untuk dijadikan sebagai kenangan juga tidak memuaskan.

Namun, setelah lebih empat tahun berkahwin, suaminya, Amirul Asyraf, 26, mula menyuarakan rasa cemburu melihat majlis persandingan rakan-rakan mereka dilakukan penuh gah.

Hasil solekan majlis akad nikah pada 2019 (kiri) dan pada majlis sanding 2022.

"Apabila tengok gambar waktu nikah diambil senget dan tak edit lighting tu buatkan saya rasa kecewa. Banyak gambar diambil cuma itulah... pedih hati bila tengok balik sebab tak cantik. Kena edit, crop dan center semula baru okay sikit.

"Awalnya memang tak nak buat majlis dah selepas tengok hasil gambar waktu nikah sebab serik mereka tak ikut dan buat apa yang kita minta. Rasa down kalau buat balik takut hasil yang sama juga kami dapat nanti membazir pula. Lagipun tahun 2019 saya sambung belajar jadi duit perbelanjaan cukup-cukup makan saja.

Syukur sangat sebab majlis berjalan lancar dan kami cukup berpuas hati dengan hasil gambar dan perjalanan majlis. Tak sia-sia kami nekad juga nak buat majlis bersanding ni.

NURIN

"Tiba-tiba suami mula bersuara tentang hasrat hati nak buat sebab dia cemburu tengok kawan-kawan dia kahwin ada majlis bersanding. Majlis mereka cantik, pelamin pun nampak menarik sedangkan kami nikah biasa saja. Jadi kami pun rancang buat majlis sanding untuk recreate semula majlis pernikahan kami," kata Reen.

Kata Reen yang sudah memiliki seorang cahaya mata, dia memilih busana pengantin berwarna putih sama seperti pernikahan terdahulu sebagai tema.

Berikutan majlis yang berjaya dilangsungkan, pasangan ini mengakui berpuas hati akhirnya dapat mencipta memori baharu dalam momen manis perkahwinan.

Perbandingan gambar bersama ibu bapa Reen pada 2019 (atas) dan 2022.

"Kami sewa dewan harga RM4,000, upah photographer dan videographer RM2,000 dan solekan termasuk kanta lekap RM590. Jumlah perbelanjaan termasuk pelamin dan kek lebih dari masa kami kahwin dulu.

"Saya banyak ambil pakej dengan kawan-kawan yang baru buat bisnes bridal. Tempahan katering pula saya ambil dengan sepupu. Seronok sangat majlis kali ni saya dapat support keluarga dan kawan-kawan punya perniagaan.

"Syukur sangat sebab majlis berjalan lancar dan kami cukup berpuas hati dengan hasil gambar dan perjalanan majlis. Tak sia-sia kami nekad juga nak buat majlis bersanding ni," ujarnya lagi.

Majlis persandingan Reen diadakan pada 3 Jun 2022.

Dalam pada itu, Reen tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular di TikTok dan rata-rata warga maya sangat teruja untuk mengetahui kisah di sebalik gambar perkahwinannya ini.

Malah, para netizen turut memuji gambar baharunya apabila dibandingkan dengan gambar lama yang hasilnya cukup mengecewakan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain