BARU-BARU ini tular satu video yang memaparkan seorang wanita berusia mempelajari cara menulis dan mengeja perkataan daripada cucunya. Perkongsian tersebut bukan hanya mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen tetapi memberi inspirasi kepada sesetengah individu. Mana tidaknya, ketika usia 86 tahun, Siti Halimah Abu Bakar gigih dan cekal untuk belajar malah tidak menunjukkan sebarang reaksi kebosanan mahupun terpaksa semasa belajar dengan cucunya. Menceritakan perihal wanita kelahiran Permatang Tok Jaya di Pulau Pinang itu, cucunya Aiza Jasmin Zulkifli memberitahu, sesi pembelajaran neneknya telah bermula sejak September tahun lepas. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) “Tok (nenek) merupakan anak sulung daripada tujuh adik-beradik. Tahap pendidikannya tidak melebihi tiga tahun iaitu antara 1945 hingga 1947, kemudian terpaksa berhenti dan antara sebabnya adalah sekolah terletak sangat jauh dari rumah selain menghadapi kesukaran untuk menimba ilmu setelah pemergian arwah ibunya pada pertengahan tahun 1947. “Jadi Tok belajar di rumah melalui arwah ayahnya sahaja. Dari segi pembelajaran, Tok menimba ilmu sedikit demi sedikit seperti membaca al-Quran. “Zaman muda Tok sama seperti keluarga biasa yang mana Tok mula berumah tangga sekitar awal 20-an dan menjadi suri rumah sepenuh masa bersama arwah Tokwan yang merupakan seorang guru ketika itu,” ujarnya ketika dihubungi mStar. Menurut gadis berusia 26 tahun itu lagi, inisiatif untuk mengajar neneknya membaca dan menulis adalah sebagai salah satu cara untuk meluangkan masa bersama. Jasmin gemar menghabiskan masa terluangnya bersama nenek. Pada masa sama katanya, dia mahukan usia emas neneknya lebih bermakna dan tidak pasif kerana dengan menerapkan sesi ilmiah seperti itu dapat mengekalkan keadaan terbaik dari segi fizikal mahupun mental. “Oleh itu, saya ambil kesempatan untuk test memory Tok menerusi ejaan dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Selain itu, Tok juga akan membuat kira-kira matematik. “Tok ada basic sebenarnya dan tujuan buat ‘kelas’ tu sebab nak bagi minda Tok aktif sikit di rumah. Tak sangka Tok pun sanggup nak belajar... asalkan saya sabar dan willing to guide, dia rasa lagi motivated,” jelasnya sambil menambah sekali sekala neneknya itu dapat membaca beberapa perkataan serta ayat dalam Bahasa Inggeris. Saya menggunakan masa lapang dan memanfaatkannya dengan mengadakan sesi mengajar sekitar 30 minit hingga satu jam. JASMIN Bercerita lanjut, dia yang bakal memulakan tugas sebagai pegawai perubatan pada akhir Julai ini berkata, perkara yang paling digemari tentang neneknya itu adalah semangat dan inisiatif untuk belajar walaupun berada di usia senja. Malah, neneknya juga dikatakan gemar menghadapi cabaran serta mempunyai keinginan tinggi untuk mencuba. “Saya juga akan memastikan setiap pembelajarannya efisyen seolah-olah tidak mendesaknya belajar namun sebaliknya memberi semangat untuk menambah baik segala ilmiah yang diterima. ARTIKEL BERKAITAN: Hari-hari dapat makan percuma, nenek kantin tolak tiap kali hulur duit... Selepas 5 tahun gadis ini buat ‘drama’ air mata ARTIKEL BERKAITAN: Nenek 84 tahun gelisah kenang nasib cucu autisme yatim piatu, tak senang duduk fikir siapa boleh sambung tugas jaga anak syurga “Maka, saya menggunakan masa lapang dan memanfaatkannya dengan mengadakan sesi mengajar sekitar 30 minit hingga satu jam,” luahnya yang turut gembira apabila ahli keluarga yang lain turut menyokong tindakan tersebut. Tambahnya, ibu yang juga anak perempuan kepada Tok turut menyatakan rasa gembira apabila video berkenaan pembelajaran Tok menyentuh hati netizen selain turut memberi inspirasi kepada mereka dalam menjaga orang terdekat dari segi percakapan dan sebagainya. Bagi Jasmin sendiri, dia rasa bangga kerana neneknya berjaya menunjukkan bahawa tiada limitasi umur dalam menimba ilmu. Antara perkataan yang dipelajari nenek. “Saya berharap ia dapat memberi semangat dan harapan kepada netizen di luar untuk tidak berputus asa dalam menimba ilmu,” ujarnya. Terdahulu, video perkongsiannya itu ditonton lebih 1.2 juta pelayar aplikasi TikTok. Rata-rata netizen memuji tindakan Yasmin yang sanggup meluangkan masa mengajar neneknya belajar. Malah ada yang menyatakan video tersebut mengingatkan mereka pada arwah nenek. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI