suria

Terpaksa makan guna ‘glove’ getah sebab tak ‘feel’ asyik guna sudu, wanita dedah punca tangannya ‘rosak’!

Cikzue mula menderita sakit kulit pada bahagian tangan sejak 2016.

DERITA yang terpaksa ditanggung wanita ini bukan calang-calang.

Selain terseksa menahan rasa gatal dan sakit pada tangan, dia juga terpaksa makan dengan hanya menggunakan sudu setiap hari.

Bercerita kepada mStar, Zuraini Ibrahim, 25, berkongsi tentang masalah penyakit kulit pada kedua-dua belah tangannya yang ditanggung sejak 2016.

"Masa dulu saya selalu basuh pakaian secara manual saja. Saya guna tangan dan guna sabun jenis serbuk.

"Jari saya mula jadi gatal-gatal dan kemerahan. Mulanya gatal tu cuma pada satu jari saja kemudian mula merebak ke hampir semua jari.

"Awal-awal kena dulu, tangan jadi gatal tapi sekejap saja sudah hilang. Lama-kelamaan rasa gatal makin teruk sampai jadi pedih dan sakit,” katanya yang senang disapa Cikzue.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita kongsi kisah dihina akibat ekzema, diperli soal jodoh... akui waktu malam paling menyeksakan, siap balut tangan elak garu!

ARTIKEL BERKAITAN: Derita ekzema sejak lebih 15 tahun lalu.... gadis tanggung rasa sakit yang sukar digambarkan, tiap malam tidur terganggu!

Menurutnya yang menetap di Perak, dia telah berjumpa dengan doktor di sebuah klinik bagi mendapatkan rawatan.

Kata doktor, penyakitnya ini merupakan sejenis masalah kulit yang dikenali sebagai ekzema.

Setelah mendapatkan jawapan, kata Cikzue, dia mula berasa sedih kerana akan timbul satu kesukaran untuk dia melakukan aktiviti menggunakan tangan.

Keadaan tangan kiri dan kanan Cikzue.

Malah katanya yang sudah berumah tangga hampir dua tahun ini, keadaan menjadi lebih parah sehinggakan kulit tangannya mengelupas.

Apa yang berlaku menyebabkan dia terpaksa makan menggunakan sudu sahaja.

Susah sangat nak buat aktiviti bila tangan kiri dan kanan macam ni. Nak buat kerja mengemas rumah atau memasak pun susah sebab kadang-kadang ia berair dan ada masanya kering.

ZURAINI

"Bila jumpa doktor buat pemeriksaan, memang dia cakap saya ada ekzema. Saya sangat sedih bila dapat tahu perkara tu. Masa tu belum kahwin. Nasib jumpa jodoh yang boleh terima saya seadanya.

"Susah sangat nak buat aktiviti bila tangan kiri dan kanan macam ni. Nak buat kerja mengemas rumah atau memasak pun susah sebab kadang-kadang ia berair dan ada masanya kering.

Zuraini terpaksa menanggung derita sakit dan pedih pada tangan.

"Nak makan pun saya kena guna sudu sejak tangan jadi makin teruk. Tapi baru-baru ni teringin sangat nak makan guna tangan semula, jadi saya sarungkan glove getah masa makan," katanya yang merupakan anak kedua daripada tujuh adik beradik.

Berikutan video yang tular di TikTok sehingga meraih 2.7 juta jumlah tontonan, rata-rata netizen bersimpati dengan nasib yang menimpa Cikzue setelah melihat rakaman dikongsikan.

Dalam pada itu, ada juga yang mencadangkan beberapa petua dan tip di ruangan komen untuk diamalkan oleh Cikzue bagi menangani masalah ini.

"Baru dua kali saya makan pakai sarung tangan sejak ada penyakit ni. Teringin nak makan guna tangan macam dulu balik tapi tangan masih tak okay.

Cikzue bersama suaminya.

"Saya tak sangka video tu nak jadi viral sampai macam tu sekali. Ramai yang komen cakap saya ada ekzema. Tapi saya sangat terharu baca komen sebab tak ada yang kutuk tapi mendoakan supaya saya cepat sembuh.

"Saya ada pergi klinik juga baru ni untuk dapatkan rawatan. Tapi sekarang dah naik semula gatal-gatal tu. Walaupun memang 'down' sangat dengan tangan macam ni tapi saya fikir mesti ada ramai lagi dekat luar sana lagi teruk alami penyakit ni," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain