BUKAN seorang, tetapi wanita ini diuji dengan begitu hebat apabila tiga insan kesayangan pergi secara mengejut dalam sekelip mata! Tiga insan tersebut iaitu suami, Allahyarham Hafize Nizam Ali Supian, 30, bersama dua anak lelakinya, Muhammad Afeef Rafiqie, 9, dan Arrian Nuh, 6, meninggal dunia dalam kemalangan. Insiden menyayat hati itu berlaku apabila treler muatan simen yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 10 Jalan Malim Nawar-Kota Bharu, dalam kejadian pada 2 November 2020. Hampir dua tahun insiden tragis itu berlaku, wanita ini mengakui bukan mudah untuknya menerima hakikat kehilangan suami dan dua anak serentak, lebih-lebih lagi dalam masa sama mengambil alih tugas membesarkan anak bongsu, Adeeb Hud, 4, bersendirian. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Berbekalkan doa dan semangat tak putus-putus yang diterima daripada keluarga, rakan termasuk rakyat Malaysia yang mengikuti kisah kemalangan tragis tersebut, Shamshira Mohd Norizin, 33, beransur-ansur bangkit membina kehidupan baharu. Baru-baru ini video yang dikongsikan di TikTok, memaparkan dia bersama anak bongsu menziarahi pusara suami dan dua anak lelakinya baru-baru ini, benar-benar mengundang sebak warga maya. ARTIKEL BERKAITAN: Wartawan rasa terpukul, tak sedar buat liputan kes 5 beranak maut kemalangan rupanya rakan sendiri! Arwah pernah minta ‘masuk paper’ ARTIKEL BERKAITAN: Hilang 5 ahli keluarga sejak usia 4 tahun, pemuda hanya sedar erti kehilangan ketika masuk sekolah - “Nenek tunjuk keratan akhbar tragedi” "Sebenarnya ketika hari kami ziarah kubur tu adalah hari jadi Adeeb yang keempat iaitu pada tanggal 1 Julai. Saya ajak dia, jom kita jumpa ayah dengan abang-abang. "Saya selalu bawa Adeeb ke kubur setiap hari Jumaat jika tiada urusan atau tak hujan. Lagipun kubur terletak kira-kira lima minit saja dari rumah ibu saya di Teluk Intan. "Memandangkan dia masih kecil iaitu dua tahun ketika arwah ayah dan dua abangnya meninggal dunia, saya selalu cerita dan tunjuk gambar mereka kepadanya. "Dia faham tapi saya tak tahu sejauh mana pengertian kehilangan ayah serta dua abang kepada dirinya," ujar wanita ini. Keadaan treler yang dinaiki suami serta dua anak Shamshira remuk teruk selepas terbabas. Mengimbas serba sedikit insiden yang tidak dapat dilupakannya itu, Shamshira berkata arwah suami dan dua anaknya ada menunjukkan kelainan, namun dia tidak menyangka itu petanda mereka akan pergi buat selama-lamanya. "Pagi hari kejadian saya hantar anak-anak ke sekolah. Apabila sampai rumah, suami tanya kenapa tak kejut. Saya kata, tak apalah nanti mereka balik sekolah, abang ambil. "Arwah tenung saya. Saya tanya kenapa? Tapi kemudian dijawab tak ada apa-apa. Kami sempat makan tengah hari bersama-sama selepas itu. "Yang aneh, arwah anak sulung makan banyak sangat, sementara anak kedua tak mahu makan... katanya dah makan di sekolah. Selepas itu dua-dua beriya nak ikut ayah mereka naik treler. "10 minit sebelum kemalangan itu, saya sempat telefon arwah suami, katanya nak dekat sampai dah. Tak sangka, 10 minit kemudian, kawannya yang telefon beritahu suami kemalangan," ceritanya. Anak bongsu menjadi penguat semangat Shamshira. Shamshira berkata dia pada mulanya menyangka suami dan anak-anaknya kemalangan biasa, namun telahannya meleset apabila dia tiba di tempat kejadian. "Masa itu saya meraung minta mereka tolong selamatkan anak-anak. Masa itu saksi awal beritahu, memang tak ada dengar suara apa-apa, tak ada suara minta tolong atau menjerit sakit. "Saya tak mahu dengar kata-kata orang waktu itu, saya anggap suami dan anak-anak mungkin pengsan saja. Hinggalah polis yang datang dan sahkan sendiri keadaan mereka kepada saya," imbasnya. Mengakui semangatnya jatuh merudum pada peringkat awal kehilangan itu, Shamshira berkata apa yang membuatkan dia tenang adalah bersikap reda. Pernah suami dan anak-anak datang dalam mimpi, dalam keadaan wangi dan tersenyum, itu buatkan hati saya terubat. SHAMSHIRA MOHD NORIZIN "Orang nampak saya macam kuat, tapi dalam hati tiada siapa yang tahu. Kalau tengok lauk mereka suka, atau apa-apa yang mengingatkan kepada mereka, saya masuk bilik menangis. Saya tak tunjuk depan orang. Selepas menangis baru lega. "Saya ingatkan diri yang mereka berada di tempat terbaik. Pernah suami dan anak-anak datang dalam mimpi, dalam keadaan wangi dan tersenyum, itu buatkan hati saya terubat," katanya lagi. Mengambil keputusan untuk menetap di rumah ibu bapanya buat masa ini, Shamshira berkata keadaannya kini beransur-ansur kembali seperti biasa. "Ujian ini sangat berat. Untuk move on bukanlah mudah, bagi saya perjalanannya seperti bayi... kena mula dari awal. "Sekarang saya sibukkan diri dengan kerja, rutin uruskan anak ke sekolah dan sebagainya. Itu salah satu cara untuk hilangkan rasa sedih," ujarnya yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta. Hampir dua tahun tragedi duka itu berlalu, Shamshira kini perlahan-lahan bangkit demi anak bongsunya. Tidak menyangka perkongsian videonya meraih jumlah tontonan yang tinggi di aplikasi TikTok, Shamshira berkata dia sekadar mahu mengabadikan kenangan untuk tatapan anak bongsunya kelak. "Dulu saya jarang dan tak banyak ambil video, jadi tak banyak video arwah anak-anak dan ayah mereka. Sekarang ini saya cuba rakam apa jua video anak bongsu. "Momen yang dilalui tak boleh diulang kembali, jadi hargai masa selama mana masih ada peluang. "Hampir keseluruhan komen yang saya terima semuanya positif dan mendoakan kami. Terima kasih kepada semuanya," katanya lagi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI