SIKAP segelintir rider penghantar makanan yang menunggang secara melulu kerap menjadi topik perbualan netizen di media sosial. Dalam kejadian di Jalan Semerah Padi, Cheras pada Sabtu, seorang wanita yang sarat hamil tujuh bulan turut menjadi mangsa kepada seorang rider yang memandu secara melulu. Menurut Azrolnizam Sidek, 30, isterinya Nor Safikah Zulkifli, 26, mengalami komplikasi selepas dirempuh rider berkenaan sehingga terpaksa ditahan di Hospital Ampang sejak Sabtu. Azrol bersama isteri dan anak sulung mereka. "Kejadian berlaku dalam pukul 2 petang. Masa tu saya naik motor berdua dengan isteri, saya dalam perjalanan untuk hantar dia ke tempat kerja. Ketika di simpang empat lampu isyarat, lampu di laluan kami berwarna hijau, jadi saya terus menunggang seperti biasa. "Tiba-tiba motor rider dari laluan lain rempuh kami. Mujurlah saya bawa perlahan masa tu. Jadi kami tak terjatuh ke atas jalan. Cuma isteri saya tiba-tiba mengadu sakit sebab berlaku hentakan. Impak rempuhan menyebabkan isteri saya terhetak di belakang. "Rider tu pula terjatuh atas jalan. Saya tak sempat ambil nombor plat atau bercakap dengan rider tu. Saya cuma ingat motor dia warna biru. Masa tu saya terus bergegas ke hospital sebab isteri sakit, saya risau berlaku pendarahan. ARTIKEL BERKAITAN: Jiwa rider saja faham mengapa pemuda ini menangis lepas kemalangan, bukan sakit tapi risau nampak cik tunang terbaring atas jalan ARTIKEL BERKAITAN: Ramai tersentuh hati tengok rider bawa anak ketika bertugas hantar makanan... siap nak sedekah ekzos, helmet "Isteri saya masih ditahan di wad. Hentakan menyebabkan kedudukan bayi dalam kandungan jadi tak betul. Doktor akan terus pantau jantung dan uri sebab berlaku regangan," ujar bapa kepada seorang cahaya mata itu. Senang disapa Azrol, dia kini sedang berusaha untuk mencari rider berkenaan dan berharap kes tersebut dapat diselesaikan secara baik. Menurut Azrol, dia turut membuat hebahan di group Facebook GrabFood Rider Malaysia dan berharap rider berkenaan tampil menghubunginya secepat mungkin. Kesian isteri saya, emosi dia terganggu. Ini kali pertama dia kemalangan. AZROL "Saya cari rider tu sebab nak selesai cara baik. Saya cuma nak dia tahu mengenai apa yang berlaku. Mungkin dia tak tahu isteri saya sarat hamil. "Saya nak berbincang, nak saling bermaafan. Saya bukan nak saman atau nak dakwa dia. Harap dia muncul untuk berbincang dengan saya. Saya pun tak mahulah sampai ke arah tindakan undang-undang. "Tapi saya tetap buat laporan kepada pihak Grab, saya juga dalam proses untuk buat laporan polis. Selepas buat hebahan di group Facebook rider, saya juga terharu baca komen dan doa netizen. "Alhamdulillah, ramai yang doakan isteri saya. Sebab seorang, rider lain turut terpalit. Tapi tak semua rider bawa motor secara melulu," ujarnya lagi. Azrol membuat hebahan mengenai kejadian itu menerusi Facebook. Menurut Azrol, dia juga pernah beberapa kali terlibat kemalangan dengan rider, namun kejadian ini merupakan yang pertama kali buat isterinya. "Kesian isteri saya, emosi dia terganggu. Ini kali pertama dia kemalangan. Saya ralat sebab segelintir rider bawa motor tak hirau keselamatan orang. Cara pemanduan bahaya. Kalau tak sayang nyawa sendiri tak apa, tapi kena fikir orang lain. "Saya sendiri dah banyak kali kemalangan dengan rider. Tapi sebelum ini saya seorang, tak apalah. Kali ini isteri saya pun kena," ujarnya lagi. Jelas Azrol, motosikal miliknya mengalami sedikit kerosakan sahaja dalam kejadian pada Sabtu. Untuk rekod, Azrol yang sudah dua tahun mendirikan rumah tangga dijangka menyambut kelahiran cahaya mata kedua pada hujung September ini. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI