suria

Senyum manis, cakap lemah lembut... Budak lelaki 10 tahun ini bikin warga TikTok cair, popular sampai Indonesia!

Khalish popular selepas dia tampil menerusi video di akaun TikTok milik ibunya.

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu?

Begitulah kisahnya mengenai kanak-kanak berusia 10 tahun dari Melaka yang meraih populariti luar biasa di media sosial.

Malah, beberapa video yang memaparkan wajah Muhammad Khalish Afwan turut meraih sehingga jutaan tontonan.

Menurut Aishah Adnan, 33, dia sendiri tidak pernah menyangka bahawa anak sulung daripada dua beradik itu akan meraih peminat tersendiri pada usia muda.

"Saya aktif kongsi video ke TikTok ketika pandemik Covid-19. Pada waktu itu, kita banyak duduk di rumah. Jadi saya kongsi video makan-makan dan unboxing bersama anak-anak.

"Tak sangka video jadi viral. Sampai ada peminat dari Indonesia yang WhatsApp. Ada juga yang mesej kata nak datang ke rumah kami. Saya terharu dengan penerimaan orang ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Selain buat orang ‘geram’, ramai keliru dengan rambut bayi comel ini... betul ke palsu? - “Dah tiga anak lelaki, saya doa dapat perempuan pula”

ARTIKEL BERKAITAN: Umur 9 tahun tapi petah berniaga online kalah orang dewasa, ibu terkejut Baby Mia menyerlah selepas setahun murung hilang abang

"Paling gembira, ramai netizen turut doakan agar Khalish membesar jadi anak yang baik, soleh dan berjaya. Semua komen positif di media sosial. Setakat ini belum ada yang kecam.

"Ketika hamil dulu, saya tiada apa-apa petua atau amalan. Cuma ada la minum air kelapa. Orang kata minum air kelapa kalau nak kulit bersih. Petua lain tak ada," ujarnya.

Wanita yang mesra disapa Kek Cha itu berkata anak sulungnya merupakan seorang yang pemalu, namun mula berubah menjadi lebih yakin selepas kerap muncul menerusi video TikTok.

khalish2

Kek Cha bersama suami dan anak-anak.

"Khalish sebenarnya seorang yang pemalu. Dulu adik dia yang banyak muncul dalam video. Lama-kelamaan Khalish yang tawarkan diri untuk buat video unboxing dan sebagainya. Lama-lama dia jadi minat nak bercakap.

"Banyak perubahan berlaku. Dulu dia tak yakin, cuma nak bergaul dengan sepupunya saja. Tapi TikTok banyak latih komunikasi Khalish sampai dia jadi berani untuk bercakap dan bergaul dengan orang luar.

"Dia juga seorang yang minat belajar. Dia belajar di sekolah Cina dan Khalish pantang kalau tak siap kerja sekolah. Dia sangat berdisiplin dan pembersih, tak boleh ada sedikitpun kotoran pada baju seragam.

Sampai ada peminat dari Indonesia yang WhatsApp... ada juga yang mesej kata nak datang ke rumah kami.

KEK CHA

"Dia juga minat bersukan. Khalish pernah jadi wakil sekolah ketika merentas desa sehingga berjaya meraih pingat emas. Daripada situ nampak dia mula minat ke arah sukan," ujarnya lagi.

Menurut Kek Cha yang memiliki lebih 88,000 pengikut di TikTok, dia juga merancang untuk menghasilkan saluran YouTube khusus untuk Khalish tidak lama lagi.

Namun kata Kek Cha, dia masih meletakkan had agar anaknya tidak hanyut dengan populariti yang diraih menerusi media sosial.

khalish3

Khalish merupakan anak sulung daripada dua beradik.

"Saya nak dia membesar macam biasa walaupun orang kenal. Saya tak mahu dia leka dengan media sosial. Ramai orang minta saya buat Instagram khas untuk Khalish.

"Ramai juga yang mesej saya, minta nombor telefon untuk WhatsApp Khalish. Saya tak bebaskan dia. Semua video dia di TikTok saya saja setakat ini. Saya juga merancang untuk buat YouTube tidak lama lagi

Bercerita mengenai dirinya, Kek Cha sudah lima tahun berkecimpung dalam bisnes makanan dan kini menggunakan aplikasi TikTok untuk memperkenalkan biskut serta kek hasil tangannya kepada orang ramai," ujarnya.

khalish4

Dhia Inara bersama biskut hasil air tangan ibunya.

Mendirikan rumah tangga pada tahun 2011, Kek Cha dan suami Khairul Izwan, 33, mempunyai seorang lagi cahaya mata berusia tujuh tahun iaitu Dhia Inara.

Kata Kek Cha, dia juga merancang untuk menjadikan anak sulungnya sebagai duta kepada biskut keluarannya suatu hari nanti.

"Mungkin asbab orang kenal Khalish, ia turut membawa rezeki untuk perniagaan saya. Akaun TikTok itu pun asalnya saya buka untuk berniaga, tapi viral pula video anak-anak.

"Mungkin nanti saya akan keluarkan biskut dengan menggunakan sticker wajah Khalish pada bekasnya, saya rancang nak buat biskut jenama dia," ujar Kek Cha lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

Tragis! Ibu maut disengat tebuan