suria

“Setiap hari saya tunggu...” - Lima kucing ghaib dalam masa seminggu, wanita syak ada sesuatu yang tak kena

Farah buntu mencari kucing-kucingnya yang hilang dan membuat hebahan di media sosial.

BUKAN seekor, tetapi lima ekor kucing yang dipelihara oleh wanita ini 'ghaib' tanpa jejak, sejak sebulan lalu.

Apa yang menghairankan, kelima-lima ekor si bulus hilang secara serentak dalam tempoh seminggu sekali gus membuatkan si pemilik berasa hairan dan curiga lebih-lebih lagi tiada bangkai yang ditemui selepas pencarian dilakukan.

Menurut wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Farah, kelima-lima ekor kucingnya yang hilang adalah kucing jalanan yang menjadikan rumahnya sebagai persinggahan, sebelum dia akhirnya mengambil keputusan untuk memelihara haiwan berkenaan.

KUCING 1

Farah membuat hebahan di laman Facebook bagi meminta bantuan orang ramai mengesan kucing-kucingnya.

"Rumah saya dekat kawasan lereng bukit dan bersebelahan dengan jalan raya. Memang selalu sangat kucing datang. Tak pasti kucing-kucing ni orang buang atau apa tapi kiranya 'stray cat'.

"Saya rasa apa salahnya berkongsi rezeki. Bermula dari beri makanan, kemudian kalau ada yang sakit saya hantar pergi veterinar. Saya siap vaksinkan dan sunatkan sebab nak kawal pembiakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri! Kucing jalanan kerap singgah rumah ada kesan calitan merah, hitam pun pernah... mungkinkah mangsa aniaya manusia tidak bertanggungjawab?

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas tawar RM10,000 tak kisah hidup atau mati, kucing jalanan hilang ditemui tapi apa yang berlaku memang tak disangka... bertuah Tekka!

"Daripada situ, saya jatuh sayang dan pelihara macam kucing peliharaan sendiri. Bila kita jaga dengan baik, memang sedihlah bila hilang," ujar wanita berusia 27 tahun yang menetap di Taman Mawar Perdana, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

Tambah Farah, kucing-kucing jalanan yang dipeliharanya ditempatkan di dalam sangkar.

Malah abangnya turut membina sebuah pondok kayu kecil di bahagian tepi rumahnya untuk dijadikan tempat 'berteduh' mana-mana kucing jalanan yang singgah.

KUCING 2

Selain menempatkan kucing di dalam sangkar, Farah turut menyediakan pondok kecil untuk dijadikan tempat berteduh buat kucing jalanan yang singgah ke rumahnya.

"Kucing-kucing jalanan peliharaan saya hanya dilepaskan seketika untuk bermain. Sebab sini kawasan perumahan, bimbang pula ada yang tidak senang kalau biar berkeliaran.

"Sepanjang pelihara mereka, pernah juga ada yang hilang sekejap tapi mereka muncul semula dua, tiga hari kemudian. Tapi kali ini, dah sebulan ghaib.

"Mula-mula tiga ekor ghaib, kemudian seekor demi seekor hingga semuanya lima ekor ghaib hanya dalam masa seminggu. Saya dah cari merata tapi tak nampak langsung kelibat. Bangkai pun tak jumpa, sebab itu macam pelik.

Saya mohon jika ada antara kita yang kalau tak suka kucing sekali pun, jangan aniaya mereka. Kucing pun makhluk Allah, ia layak dapat kasih sayang.

FARAH

"Saya enggan berprasangka buruk. Tapi kalau ada orang terjumpa dan tolong pelihara, saya tak kisah dan halalkan. Saya cuma tak boleh terima kalau ada yang buang atau buat sesuatu pada kucing-kucing ini," ujarnya lagi.

Tambah Farah, disebabkan buntu, dia akhirnya mengambil keputusan untuk membuat hebahan di media sosial bagi memohon jasa baik orang ramai dalam usaha mencari kucing-kucingnya.

KUCING 3

Kucing jalanan yang singgah ke rumahnya kemudian dijaga dan akhirnya dipelihara.

"Rumah saya tiada kamera litar tertutup (CCTV) jadi memang tak tahu lagi nak usaha macam mana sebab dah cari merata tempat. Sebab itu saya buat hebahan di media sosial.

"Saya berharap sangat jumpa kucing-kucing ini dalam keadaan selamat. Setiap hari tunggu mereka.

"Saya mohon jika ada antara kita yang kalau tak suka kucing sekali pun, jangan aniaya mereka. Kucing pun makhluk Allah, ia layak dapat kasih sayang.

"Boleh saja berterus terang atau jumpa tuan kucing untuk suarakan rasa tidak puas hati. Tapi usahlah aniaya mereka," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain