suria

Suka letak celah bibir, gadis serik 2 kali tertelan jarum masa pakai tudung! Rupanya di hospital dah jadi kes biasa

Jarum yang terdapat di dalam usus.

BAGI wanita berhijab aksesori seperti kerongsang dan pin adalah sangat penting kerana ia membantu mengemaskan lagi pemakaian.

Kerana sering digunakan, kebanyakan wanita gemar meletakkan aksesori yang ingin dipakai di celah bibir semasa menggayakan tudung masing-masing.

'Kebiasaan' itu bagaimanapun pernah membuat beberapa wanita berdepan insiden mengerikan apabila aksesori yang diletakkan di celah bibir itu termasuk ke dalam mulut dan ditelan.

Seperti yang dialami individu bernama Wanie, dia mendedahkan bahawa insiden yang dialami itu menyebabkan dirinya terpaksa dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan.

Menerusi perkongsian video, gadis yang berasal dari Dungun, Terengganu ini berkata, kejadian berlaku pada 3 Mei lalu iaitu pada Hari Raya Aidilfitri.

“Selepas tertelan jarum, saya terus ke Hospital Dungun dan buat x-ray. Pada masa tu memang jelas nampak jarum dalam usus saya.

Wanie terpaksa ditahan di hospital.

Wanie terpaksa ditahan di hospital.

“Hospital Dungun kemudiannya rujuk saya ke HSNZ (Hospital Sultanah Nur Zahirah) dan doktor yang merawat meminta saya berpuasa dahulu sebelum meneruskan prosedur selanjutnya.

“Doktor juga memberi ubat cairkan najis untuk saya makan... tapi dalam tempoh tersebut, najis tak keluar,” jelasnya di kapsyen video.

Bercerita lanjut, ujarnya, pada 4 Mei doktor menyatakan pasukannya akan memasukkan alatan ke dalam usus bagi menarik keluar jarum berkenaan.

“Puas doktor scope tapi tak jumpa kedudukan jarum. Sakitnya semasa doktor buat tu... hanya Allah yang tahu.

“Keesokan harinya, saya dimaklumkan akan menjalani pembedahan selepas prosedur scope yang dilakukan sebelumnya tidak berjaya menemukan kedudukan jarum.

“Jadi selepas x-ray sekali lagi, saya ditolak ke dewan bedah dan Alhamdulillah semuanya dipermudahkan,” ujarnya.

Ekoran kejadian yang dialami, dia turut menasihati kaum hawa supaya menghentikan tabiat meletakkan jarum di bibir kerana bimbang mengalami insiden seperti dialaminya.

Jarum yang kelihatan dalam sinar-X.

Jarum yang kelihatan dalam sinar-X.

Malahan, dia menyatakan pernah dua kali mengalami insiden tertelan jarum yang mana kali pertama berlaku pada 2021 ketika dia terlupa membuang jarum yang digunakan sebagai pencungkil gigi.

Disebabkan situasi tersebut, video perkongsiannya itu menjadi tular di media sosial sehingga mendapat lebih 12,400 tanda suka selain ditonton lebih 424,000 pelayar TikTok.

Rata-rata warganet terkejut dengan kejadian yang berlaku kerana tidak menyangka jarum yang sering diselitkan antara bibir boleh tertelan.

Dua kali mengalami insiden tertelan jarum yang mana kali pertama berlaku pada 2021 ketika terlupa membuang jarum yang digunakan sebagai pencungkil gigi.

WANIE

“Saya pun suka buat macam tu... suami cukup pantang sebab dia kata nanti tertelan. Ini baru tahu ada yang pernah jadi... semoga dipermudahkan urusan.

“Selalu aku tengok orang pakai tudung dia selit jarum kat bibir. Tapi memang ngeri takut tertelan.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita berdepan detik cemas, tertelan batang ‘swab’ hingga terpaksa jalani pembedahan

ARTIKEL BERKAITAN: Mi sup juadah terakhir, ibu maut selepas tertelan gigi palsu

“Tak boleh bayangkan macam mana boleh tertelan,” ujar beberapa netizen.

Jarum peniti berjaya dikeluarkan menerusi pembedahan.

Jarum peniti berjaya dikeluarkan menerusi pembedahan.

Menyusuri ruangan komen, terdapat juga beberapa wanita mengaku pernah mengalami situasi yang sama seperti Wanie.

“Pernah terjadi pada saya... dua minggu duduk hospital tapi tak boleh lakukan pembedahan sebab jarum bergerak ikut darah. Alhamdulillah akhirnya keluar ikut najis.

“Sama macam adik tertelan jarum juga, first x-ray memang nampak jarum tu kat bahagian perut kemudian doktor bagi ubat apa semua. X-ray kedua tengok jarum dah tiada.

“Macam kes saya dulu, sangkut kat tekak. Tapi doktor scope dan ambil jarum melalui mulut saja. Memang serik, tak mahu gigit jarum masa betulkan tudung lagi,” luah beberapa netizen yang pernah tertelan jarum.

Dalam pada itu, salah seorang netizen yang dipercayai jururawat di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) di Kota Bharu Kelantan turut menyatakan kes rawatan berkaitan tertelan jarum berlaku setiap hari.

“Masa jaga wad kat HRPZ pun, setiap hari ada kes tertelan jarum,” jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain