suria

Suami meninggal, isteri doa cepat kahwin lain! Pengganti muncul ketika jual kereta arwah, seminggu kenal dah ada feeling

Wanita kematian suami berdoa supaya bertemu jodoh lagi. - Gambar hiasan

“KUBUR masih merah, dah fikir nak kahwin,” demikian antara kata-kata yang diucapkan kepada individu yang baru kematian pasangan tetapi mahu berkahwin lagi.

Malah pelawak Shuib Sepahtu juga pernah diajukan soalan yang sama apabila dia mengakui ada mengenali wanita lain selepas kira-kira lima bulan isterinya, Allahyarhamah Siti Sarah meninggal dunia.

Ia berikutan segelintir masyarakat beranggapan bahawa mereka yang berkahwin lain selepas kematian pasangan adalah seorang yang tidak setia.

Maka tidak hairanlah apabila salah seorang netizen mempersoalkan tindakan wanita bernama Sakinah Muhammad yang berkahwin lain walaupun tempoh kematian suami tidak sampai setahun.

“Tapi husband sis pergi tak sampai setahun lagi, macam mana boleh cepat ada pengganti,” ujarnya di ruangan komen akaun TikTok Sakinah.

Seorang wanita yang baru kematian suami bakal berkahwin lain.

Seorang wanita yang baru kematian suami bakal berkahwin lain.

Bagi menjawab persoalan tersebut, Sakinah membuat satu lagi video yang menerangkan situasi berkenaan dirinya.

Menerusi video berdurasi 3 minit 4 saat itu, dia mengakui bahawa dirinya memang bermohon kepada Allah supaya dikurniakan seorang suami.

“Memang saya minta. Dua bulan arwah tinggalkan, saya dapat rasakan hidup saya macam tak bermakna. Saya rasa hidup terlampau sunyi sebab saya tak biasa hidup tanpa seorang suami... seorang peneman.

“Kehidupan saya ni memang sepenuh masa dengan arwah. Bila dia hilang tu saya rasa lonely sangat. Jadi masuk bulan ketiga tu dan semasa masih dalam edah, tiap-tiap malam saya bangun tahajud minta pada Allah ‘Ya Allah deritanya aku, gantikan aku... aku nak suami’.

“Saya memang minta suami ja, nak pengganti. Lepas tu masa terus berlalu dan saya masih dalam emosi yang rasa sunyi, rasa kehilangan. Saya baca komen-komen netizen yang bagi semangat pelan-pelan, saya cuba move on tapi tak boleh juga.

“Tetap rasa sunyi. Pergi kerja, balik kerja tetap rasa sunyi sebab biasa arwah hantar... mana saya nak pergi arwah hantar,” jelasnya.

Walaupun cuba sibukkan diri dengan kerja, Ina tetap terasa sunyi. - Gambar hiasan

Walaupun cuba sibukkan diri dengan kerja, Ina tetap terasa sunyi. - Gambar hiasan

Menurutnya lagi, keadaan yang dialami ketika itu agak rumit dan sukar kerana setiap yang dilakukannya sentiasa ditemani arwah suami.

“Bayangkan saya sentiasa ada orang ke hulu ke hilir dengan saya tetapi tiada. Saya rasa macam bodoh.

“Sampai la suatu hari, saya decide nak jual kereta arwah yang dia belikan untuk saya kira-kira empat tahun setengah. Saya jual dan saya gantikan dengan Honda Civic model baharu.

“Saya ada post kat TikTok pasal kereta dan ada satu hamba Allah ni iaitu bakal suami saya. Dia komen cakap dah follow back saya dah lama dan minta saya follow back balik sebab dia nak cakap,” katanya sambil menambah dalam banyak-banyak komen, dia hanya terbaca komen lelaki itu sahaja.

Bercerita lanjut, ujar Sakinah lagi, pada 24 Februari selepas dia 'follow back' seperti yang diminta, lelaki tersebut terus menghantar mesej dan memberikan kata-kata semangat.

Luahnya, perhubungan itu berterusan daripada TikTok ke aplikasi WhatsApp.

Saya memang minta suami ja, nak pengganti. Lepas tu masa terus berlalu dan saya masih dalam emosi yang rasa sunyi, rasa kehilangan.

INA

“Dalam seminggu berhubung menerusi telefon, kami sudah mempunyai perasaan... saya rasa lain. Sebelum ini ramai yang cuba mendekati tapi saya tak ada rasa perasaan macam dia.

“Dia cakap nak jumpa tapi saya minta ruang nak ziarah arwah dan dia kata ‘tak apa, saya datang ambil’.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri tanggung ujian berat selepas kahwin usia muda! Suami kudung dua kaki, sakit buah pinggang... nasib 4 anak kecil jadi tanda tanya

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu nikah kos murah je, banyak benda tak puas hati! Kini suami ajak isteri buat ‘majlis mahal’, gah macam rakan lain

“Dia dari Melaka dan dia ambil saya bawa ke Melaka juga untuk ziarah kubur arwah. Sampai di kubur arwah dia cakap ‘Assalamualaikum abang Zali, saya minta izin nak jaga Ina untuk sayangkan dia dan janji tak akan sia-siakan dia’,” katanya yang turut terperanjat dengan kata-kata tersebut.

Videonya yang dikongsikan itu ditonton lebih 427,200 pelayar aplikasi TikTok dalam tempoh sembilan jam dimuat naik.

Ina bakal mendirikan rumah tangga. - Gambar hiasan

Ina bakal mendirikan rumah tangga. - Gambar hiasan

Sebelum ini, Sakinah pernah memuat naik video berkaitan arwah suaminya yang dikatakan sudah mengetahui tentang ajalnya.

Video yang dipenuhi suasana pilu itu dimuat naik pada September 2021 iaitu tujuh hari sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir.

Pada kapsyen, Sakinah menyatakan bahawa arwah dapat merasakan dia akan pergi dalam waktu terdekat.

“Dia ampunkan aku dan aku dapat keredaan dia sebagai suami. Masa ni dalam kereta baru balik dari IKN (Institut Kanser Negara), dia tak nak dimasukkan ke wad dan sanggup tanggung risiko jika nazak,” katanya.

Difahamkan Sakinah sudah mendirikan rumah tangga bersama arwah suaminya selama 16 tahun dan mereka tidak dikurniakan anak.

Dalam pada itu, kebanyakan warganet memberi kata-kata semangat kepadanya dan menyatakan tindakan yang dilakukan itu tidak salah serta merupakan jodoh Allah.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain