suria

BSH putus ekor sebab tersepit laci, tuan tak jadi kesian selepas si bulus tunjuk perangai sebenar

Grey tersepit pada laci sejak lahir mengakibatkan ekornya putus.

CUKUPLAH 'macai' (tuan) patah hati, yang engkau nak patah ekor kenapa?

Begitulah kapsyen lucu yang ditulis oleh Eja Saad, 33, pada video dimuat naik menunjukkan kucing baka British Short Hair (BSH) terputus ekor akibat tersepit laci.

Bercerita kepada mStar, Eja memperincikan semula kisah di sebalik ‘insiden’ si bulus peliharaannya yang lahir pada 1 April lalu dan diberi nama Grey, hilang sebahagian ekornya.

“Hari tu saya baru saja balik dari tempat kerja. Saya perasan perut kucing betina saya yang bunting tu dah kempis.

“Saya syak dia dah beranak cuma tak tahu di mana, jadi merata tempat dalam rumah saya cari anak dia. Rupanya ada dalam laci dekat kawasan gelap.

“Laci tempat dia beranak tu pula dekat bucu jadi kemungkinan si Grey ni dihempap mak sendiri. Ruang laci tu agak sempit jadi mungkin dia terkepit. Tapi adik beradik Grey lagi tiga ekor tu selamat,” ujar Eja.

ARTIKEL BERKAITAN: Hantaran kahwin rare! Usahawan kosmetik dapat kucing BSH dari Ukraine, si isteri terima 1,000 kuntum mawar tanda ucapan hari lahir

ARTIKEL BERKAITAN: Berhabis ribuan ringgit, malangnya dapat anak bulus baka BSH sakit... suami isteri geram sikap lepas tangan breeder - “Dah sayang, lagi pun bukan beli barang elektrik”

Menurut Eja yang menetap di Sentul, Kuala Lumpur, setelah lebih kurang sebulan setengah, ekor Grey kelihatan kecil dan terbantut.

Mula timbul rasa bimbang dengan keadaan Grey, Eja membawanya ke klinik veterinar bagi mendapatkan rawatan.

“Risau juga bila tengok ekor dia macam tu. Jadi saya bawa pergi jumpa doktor tapi doktor cakap tak ada masalah serius cuma kena perhatikan najisnya saja supaya tak terkena jangkitan bahagian luka.

Grey (dua dari kanan) bersama 'adik-beradiknya' sewaktu baru dilahirkan.

“Saya cuma guna iodin saja untuk sapu bahagian luka bagi cepat kering. Tapi luka tu pun ambil masa tiga hari saja dah sembuh. Lepas lebih sebulan dia tersepit, saya tengok darah macam tak mengalir sampai ke hujung ekor sebab tu macam kecut.

“Pada 23 Mei, bangun saja dari tidur saya tengok dekat depan rumah ekornya dah tertanggal,” ujar Eja yang mengaku terkejut terjumpa ekor kucing yang sudah terputus.

Sebagaimana perkongsian di TikTok, Eja berkata Grey merupakan seekor kucing jantan yang aktif bermain walaupun mengalami kecacatan pada ekor.

Sekarang tengok dia dengan ‘ekor arnab’ jalan terkedek-kedek tu comel saja.

EJA

Ujar Eja, dia pada mulanya simpati dengan nasib Grey namun setelah melihat keletahnya yang buas, terus hilang rasa bimbang tersebut.

“Dia sangat hyper dan kuat main. Dalam bekas air minuman pun dia masuk. Masa putus ekor tu lebih pada kasihankan dia. Tapi bila tengok dia punya kenakalan tu terus hilang rasa kasihan, geram lagi adalah.

Keadaan ekor si bulus sebelum terputus.

“Sekarang tengok dia dengan ‘ekor arnab’ jalan terkedek-kedek tu comel saja. Grey seekor saja jantan, adik beradik lain semua betina. Dia pure breed BSH sebab mak ayah dia dua-dua ekor ada certificate. Saya akan mandulkan mereka bila dah besar sikit nanti,” katanya lagi.

Eja yang bekerja di bahagian peruncitan kini memiliki empat ekor kucing dewasa dan tujuh ekor anak kucing.

Sehingga kini, perkongsian Eja di TikTok yang menjadi tular telah meraih lebih 2.8 juta jumlah tontonan.

Ekor Grey terputus setelah usianya sebulan lebih.

Video tersebut dihujani dengan pelbagai komen netizen yang berada dalam dilema sama ada mahu berasa simpati atau ketawa setelah melihat gelagat si Grey seolah tiada apa-apa berlaku.

“Dilema nak sedih ke nak ketawa. Nasib baik comel.

“Jaga-jaga kak tanda-tanda untuk nakal tu dah keluar tu.

Antara komen netizen di TikTok.

“Nak gelak tapi kasihan. Keliru ni nak nangis ke gelak.

“Geram saja dia celup kaki dekat air tu,” komen netizen pada video tersebut.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain