suria

Mengaku kru filem Mat Kilau, jaja pula kisah sedih ibu masuk hospital... Lelaki berjambang lesap lepas paksa gadis ‘transfer’ RM50

Lelaki berjambang tersebut bertindak menyekat Alin di Whatsapp selepas gadis itu memindahkan wang RM50 ke akaunnya.

KETIKA ini boleh dikatakan ada sahaja kes penipuan (scam) yang dikongsikan di media sosial, sama ada secara dalam talian (online) ataupun bersemuka.

Pelbagai taktik digunakan oleh 'scammer' sebagai modus operandi untuk memancing mangsa memasuki jerat.

Tidak kira kecil ataupun besar jumlah kerugian wang yang ditanggung oleh mangsa, namun apa yang lebih penting, kes penipuan sebegini wajar didedahkan agar menjadi peringatan untuk orang lain agar lebih berhati-hati.

Begitu juga dengan kisah yang dialami oleh seorang gadis apabila dia ditipu oleh seorang lelaki tidak dikenali sewaktu bersendirian menunggu tren untuk pulang ke rumah sewanya, baru-baru ini.

Menurut gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Nor Sazlin, lelaki tersebut menjaja kisah simpati sebelum meminta wang tunai daripadanya.

"Ketika itu saya di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) nak balik rumah sewa dekat Cyberjaya naik ERL. Ketika sedang menunggu tren sampai, saya berseorangan dan tak ada orang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Scammer ‘buat duit’ musim e-Filing! Isteri terduduk wang RM30,000 lesap... Terpedaya panggilan LHDN, inspektor polis

ARTIKEL BERKAITAN: 12 minit lesap RM30,000! Suami isteri menggigil, rasa nak gugur jantung kena ‘scam’ servis kemas rumah

"Lima minit selepas itu ada seorang lelaki berumur dalam lingkungan 30 tahun datang dekat saya. Katanya nak pinjam duit... nak balik Pulau Pinang sebab mak dia baru masuk hospital, tapi dompet dia tertinggal dalam e-hailing.

"Katanya, dalam dompet dia ada sekitar RM2,500. Dia minta cash tapi saya tak ada cash, jadi dia minta transfer ke akaunnya," ujar gadis berusia 21 tahun ini.

scammer 1

Perbualan Whatsapp antara Alin dan lelaki berkenaan.

Senang disapa sebagai Alin, gadis ini berkata pada mulanya dia enggan menuruti kehendak lelaki berkenaan memandangkan agak curiga selain tidak mempunyai wang tunai yang banyak ketika itu.

"Saya dah kata tiada duit tapi dia tetap minta sampaikan satu tahap dia memegang bahu saya berulang kali. Saya jadi takut dan terpaksa transfer duit kepada dia bagi mengelakkan saya di apa-apakan.

"Lebih-lebih lagi saya memegang telefon bimbit dan membawa laptop... takut juga barang-barang saya diambil," ujarnya yang bekerja kakitangan sumber manusia di sebuah syarikat di Cyberjaya.

Tambah Alin, dalam keadaan yang takut dan terdesak, dia akhirnya terfikir untuk mencipta helah dan mengatakan dirinya masih bergelar seorang pelajar serta tidak mempunyai wang yang banyak di dalam akaun.

Ini pengalaman pertama saya kena scam dengan orang tak dikenali. Harap semua perempuan dan pelajar dekat luar sana lebih berhati-hati.

NOR SAZLIN

"Wang tersebut berjumlah RM50. Walau saya kata seorang student dan perlukan duit, dia tetap paksa dan dia berjanji akan bayar sejurus selepas sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Tambahan pula dia mendakwa ada kena mengena dan terlibat sebagai kru dalam filem Mat Kilau selain mengaku seorang TikToker.

"Sekitar petang, saya Whatsapp bertanyakan hutang tersebut dan dia kata dah transfer serta beri gambar resit bank. Tapi saya periksa tiada pun duit yang masuk. Apabila tanya berulang kali dan ugut nak viral, dia terus block saya hingga sekarang," ujarnya lagi.

Alin berkata dia enggan membuat laporan polis kerana beranggapan jumlah kerugiannya agak kecil, namun mahu memberi peringatan kepada orang lain agar tidak menjadi mangsa seperti dirinya.

jambang front

Gambar lelaki tersebut sebagaimana paparan yang digunakan sebagai gambar profil di Whatsapp.

"Ini pengalaman pertama saya kena scam dengan orang tak dikenali. Harap semua perempuan dan pelajar dekat luar sana lebih berhati-hati.

"Kalau boleh, bawa bersama sesuatu untuk lindungi diri jika ia sangat diperlukan bila dalam waktu kecemasan. Kita sendiri tak tahu apa yang akan terjadi.. boleh jadi juga serangan seksual.

"Jadi seeloknya jangan berseorangan atau kalau berseorangan, pastikan bawa sesuatu untuk perlindungan ketika dalam bahaya," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain