HARI graduasi pastinya menjadi hari paling bermakna bagi mereka yang bergelar penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) untuk diraikan bersama ibu bapa. Namun, tidak semua beruntung dapat meraikan hari penuh bersejarah ini dengan insan tersayang, terutama yang sudah pergi meninggalkan kita. Begitulah yang dialami Siti Aishah Rosli, 25, apabila ibunya Zalina Mohd Shariff meninggal dunia sebelum sempat melihat anaknya ini menaiki pentas menggenggam segulung ijazah setelah menamatkan pengajian. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Bercerita kepada mStar, Aishah memperincikan kisah di sebalik video tular yang dimuat naik sehingga mengundang sebak warga maya. “Masa tu tengah rakam momen pakai jubah. Jadi saya rakam diri sendiri buat time lapse dengan kawan-kawan sebagai kenangan. “Tiba-tiba mak kepada kawan baik saya datang bagi bunga... jadi kejadian tu tak dirakam secara tak sengaja. Masa tu memang saya tak dapat tahan emosi, terus mengalir air mata sebak. ARTIKEL BERKAITAN: ‘Pengantin Ijazah Kelas Pertama’ terkejut majlis kenduri bertukar hari graduasi... suami sarung jubah, mak ayah hantar skrol di pelamin ARTIKEL BERKAITAN: Wanita degil, tetap datang majlis konvo buat kejutan walau ‘dilarang’ siap sewa kereta... sekali tunang tunjuk reaksi tak disangka “Terharu sangat bila makcik buat macam tu sebab saya memang mengharapkan ibu kandung ada bersama... saya sangat rapat dengan arwah. Padahal saya dah cakap dengan diri sendiri 'hari ni tak boleh sedih-sedih'. Kalau mama ada pun dia mesti nak tengok saya gembira saja,” ujarnya. Walaupun tanpa kehadiran ibu, bapanya, Rosli Jaffar dan adiknya tetap hadir meraikan majlis hari graduasinya. Imbas Aishah yang merupakan anak kelima daripada enam adik-beradik, kebaikan dan jasa arwah ibunya sewaktu masih hidup menjadi antara punca dia menangis pada hari graduasinya pada awal Julai lalu. Aishah bersama bapanya yang hadir majlis hari graduasi. Jelas wanita ini yang mengambil jurusan Bisnes Antarabangsa di Kolej MCS, Banting, ibunya sering memberikan duit poket lebih untuk dibelanjakan oleh dia sendiri dan rakan-rakan. “Dulu masa saya belajar, biasalah sebagai student kan kadang-kadang kita tak cukup duit pun kita diam saja. Mak saya ni pula jenis suka bagi duit belanja lebih jadi setiap kali dia hulurkan wang tu memang dia tahu saya rapat dengan dua kawan saya ni. "Jadi setiap kali beri duit memang dia akan pesan untuk belanja kawan. Pernah juga dia belikan baju raya untuk kawan dulu. Itu memang sudah jadi kebiasaan mama selalu buat baik untuk kawan-kawan saya. Lagi pula rumah saya yang paling dekat dengan tempat belajar jadi memang mama akan pesan suruh belanja mereka," katanya. Reda dengan pemergian ibu, Aishah bagaimanapun mengakui merindui kehadiran ibunya dalam hidup. Bukannya saya tak reda dengan pemergian mama tapi sebab dah jadi kebiasaan. AISHAH Bercerita lanjut, Aishah berkata dia pernah beberapa kali bertindak menghantar mesej kepada arwah walaupun tahu tidak akan menerima sebarang balasan. “Paling rindu fasal mama mestilah keberadaan dia di sisi saya. Rindu pada suara dan masakan mama. Sekarang ni kalau ada mak kawan-kawan masakkan untuk saya, mesti rasa hargai sangat sebab anggap macam ibu sendiri masak. “Saya rindu juga nak update apa yang saya buat dekat mama. Kadang tu saya send saja mesej dekat WhatsApp mama walaupun tak berbalas. Perkara tu memang dah jadi kebiasaan, setiap kali beli apa-apa mesti saya akan tanya pendapat dia. “Walaupun tak ada orang tahu pasal saya mesej mama tu, tapi sedih juga bila ingat balik. Bukannya saya tak reda tapi sebab dah jadi kebiasaan,” jelasnya lagi. Aishah bersama arwah ibunya. Bercerita mengenai pemergian ibunya, wanita itu telah dimasukkan ke wad pada Julai tahun lalu. Katanya, hari di mana ibunya dimasukkan ke wad merupakan hari yang sama Aishah merancang melakukan kejutan. “Saya dah upah orang untuk buat kejutan untuk mama. Saya nak buat kek yang boleh tarik keluar duit tu. Saya dah masukkan duit gaji dalam tu nak bagi mama. Aishah kini bekerja sebagai pengurus projek di sebuah syarikat di Pulau Pinang. “Bila saya call, rupanya mama beritahu yang dia dekat hospital tengah buat pemeriksaan. Jadi saya pun minta orang tu tangguh dulu kejutan tu. “Sakit mama jadi lagi teruk sampai terpaksa ditidurkan pada hari kelima sebab ada penyakit asma. Selama 50 hari mama kena Covid-19, tapi lebih 73 hari mama ditidurkan," katanya. Menurut Aishah, dia dan bapanya berpeluang untuk bercakap dengan ibunya sebelum wanita itu menghembuskan nafas terakhir pada 7 September 2021 di Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur. Aishah bersama dua sahabat baiknya. “Mak ayah memang jenis tak boleh berpisah. Ayah merayu dekat doktor nak tengok mama. Lepas tu saya pun tak sangka Allah makbulkan doa dapat jumpa juga mama sebab dah lama sangat tak dapat sentuh dia. “Kami pun bergegas naik ke wad jumpa mama. Saya nangis dalam video saya rakam tu bukanlah ada niat lain cuma untuk simpanan, nak tunjuk dekat mama bila dia sihat nanti bukti saya rindu dia sangat. “Uruskan jenazah sangat mudah dan lancar masa ibu meninggal. Ramai sangat datang tengok masa tu. Abang-abang yang solatkan jenazah dan kami anak-anak perempuan mandikan awah ibu. Saya syukur semua ahli keluarga berpeluang uruskan jenazah ibu,” ujarnya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI