KERETA Proton Wira bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Malaysia, malah ia turut mendapat tempat dalam kalangan orang luar. Content creator kelahiran United Kingdom (UK) Rhys William, 30, turut berbangga menjadi pemilik Wira selama tujuh tahun yang disifatkannya sebagai kereta legenda. Rhys yang berpindah ke Malaysia pada 2013 bagaimanapun mengambil keputusan untuk menjual kereta itu pada Julai lalu atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Rhys membeli kereta Wira ini pada tahun 2015. "Wira merupakan kereta pertama saya. Ia Wira keluaran tahun 2000 yang saya beli masa tahun 2015, pada harga kira-kira RM10,000. Masa tu saya masih baru di Malaysia, memang mood tengah nak jatuh cinta dengan barangan Malaysia. "Selepas buat kajian, saya rasa Wira sangat sesuai. Rekaan cantik, ia juga tahan lasak. Tapi pada tahap ini, banyak yang nak kena baiki. Kos nak baiki pun agak tinggi. Jadi saya buat keputusan untuk jual. "Saya sebenarnya dah jual pada Julai lalu. Tapi baru sekarang saya berkongsi mengenainya di media sosial, sebab ramai yang bertanya, lama mereka tak nampak Wira tu," ujar Rhys. ARTIKEL BERKAITAN: “Covid-19 is real guys” - Alami simptom teruk, Rhys William kongsi khabar duka dari hospital ARTIKEL BERKAITAN: Mat Salih ini dituduh menyemak tulis tweet dalam Jawi... Rhys William kasihan sikap netizen asyik cari salah Menurut Rhys, dia kini dalam proses untuk membeli kereta baharu namun belum membuat sebarang keputusan mengenai model pilihannya. Tambahnya, dia tetap menginginkan model keluaran Malaysia kerana beranggapan ia lebih berpatutan dan kena dengan seleranya. "Sekarang masih dalam proses nak ambil kereta baharu, saya tetap akan ambil kereta keluaran Malaysia juga. Kebetulan sekarang saya sedang ada projek dengan Proton. Rhys berkata dia bangga dapat menjadi pengguna produk keluaran Malaysia. "Saya berpeluang pandu uji setiap model Proton, saya diberi pinjam setiap model sebulan. Sekarang belum habis pandu uji semuanya. Selepas selesai, baru saya akan buat keputusan. "Bagi saya, bab jenama ini pilihan masing-masing. Saya faham sesetengah orang suka jenama tertentu. Tapi pada saya, saya berbangga dengan keluaran tempatan. "Secara asasnya, kereta membawa kita dari titik A ke titik B. Yang penting selamat dan selesa. Pendapat saya, saya tak perlu keluarkan belanja berkali ganda semata-mata untuk sesebuah jenama mewah," ujarnya lagi. Sekarang masih dalam proses nak ambil kereta baharu, saya tetap akan ambil kereta keluaran Malaysia. RHYS WILLIAM Menurut Ryhys yang popular dengan video-video reviu makanan, sepanjang tujuh tahun dia menjadi pemilik Wira, banyak kenangan pahit manis yang telah dilalui bersama. Paling sukar dilupakan tentunya kenangan seram apabila kereta itu tiba-tiba meragam sewaktu dia dan rakan-rakannya menuju ke Gunung Tahan untuk aktiviti pendakian, beberapa tahun lalu. "Banyak kenangan, tapi saya tak boleh lupa masa bawa kawan-kawan pergi hiking ke Gunung Tahan. Masa tu kami memandu melalui jalan di Merapoh. Tiba-tiba tengah malam ada masalah bateri. "Kereta masih boleh bergerak tapi lampu depan jadi malap. Masa tu memang agak menakutkan. Nak berhenti tepi jalan tanpa lampu pun bahaya. Jadi kami teruskan perjalanan. Apabila dah sampai tol, kami periksa semuanya okey. Selepas itu tiada apa yang perlu dibaiki pun. Rhys berpindah ke Malaysia pada tahun 2013 dan popular dengan video-video reviu makanan. "Kawan-kawan saya pun masih ingat semua kejadian tu. Ia bukanlah pengalaman pahit, tapi ia menakutkan. Selepas kejadian itu, saya tak tukar bateri kereta pun, semuanya okey. Tapi kenapa pada waktu itu ia tiba-tiba meragam?" imbasnya. Di akhir bicara, Rhys berkata dia tidak menyesali keputusan menjual kereta itu, namun kadang-kala teringat akan segala memori bersama. Rhys turut berkongsi kisah kereta Wira itu menerusi media sosial miliknya sehingga meraih perhatian ramai pengikut. "Zaman melahirkan Wira. Wira mencorakkan zaman. Berakhir satu zaman saya bersama "Wira Lejen" ni. "Bak kata mat salih, all good things come to an end. Goodbye dan selamat tinggal sayangku," tulis Rhys menerusi kapsyen Instagram. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI