suria

Sifu bisnes terkenal dituduh tipu testimoni, siap mengaku usahawan viral pernah jadi anak didik... “Saya tidak berguru dengan sesiapa“

Afina mendedahkan seorang sifu bisnes menggunakan namanya di seminar pemasaran.

SEJAK seminggu yang lalu kecoh mengenai salah seorang sifu perniagaan terkenal yang melenting selepas ditanyakan beberapa soalan ketika dia membuat live di laman sosial.

Dalam kehangatan isu ketika orang ramai berlumba-lumba mencari ilmu perniagaan dan pemasaran, timbul pula video di aplikasi TikTok membabitkan seorang usahawan kosmetik.

Usahawan wanita itu membuat pendedahan dengan mendakwa pernah 'dianiaya' oleh seorang sifu perniagaan yang lain di sebuah seminar pemasaran.

Tanpa mendedahkan identiti sifu yang didakwa, usahawan berkenaan, Yus Amina Mohd Zawizah berkata, kejadian berlaku pada 2017 ketika namanya menjadi sebutan gara-gara tular kerana mempunyai koleksi busana raya sedondon bersama keluarga bertemakan kartun Hello Kitty.

kak hello kitty 5

Afina mula mendapat perhatian pada 2017 kerana busana raya Hello Kitty.

Bercerita lanjut tentang dakwaan dianiaya itu, Amina yang lebih mesra disapa Afina dan Kak Hello Kitty berkata, ia bermula selepas dia menerima jemputan daripada wakil kepada seorang sifu perniagaan terkenal untuk hadir ke satu majlis di Selangor.

"Saya dijemput untuk hadir ke majlis itu secara percuma sedangkan ada yang perlu bayar RM15,000 untuk satu pakej pemasaran.

"Sebelum majlis tu, kami tak pernah berjumpa atau berhubung pun. Tapi sudah tentu saya mengenali dia yang terkenal dalam bidang pemasaran perniagaan," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: "Maaflah Datuk Z, Bayar Beribu Pun Saya Tak Nak"

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 35 pasang baju Hello Kitty viral sampai Indonesia, usahawan kosmetik berhabis lebih RM25,000 busana raya kali ini

Mengimbas kembali majlis di sebuah dewan yang dihadiri oleh ribuan hadirin itu, Amina, 32, berkata kehadirannya disambut dengan tepukan gemuruh.

kak hello kitty 7

Afina (dua, kanan) bersama keluarga sedondon dengan busana Hello Kitty.

"Majlis tu bermula daripada pagi, dan saya dijemput untuk hadir pada sesi minum petang. Saya hadir bersama suami, ketika masuk je dalam dewan, terus dapat tepukan orang ramai.

"Di atas pentas, sifu itu umumkan bahawa saya menjadi viral disebabkan oleh cara pemasarannya, saya 'naik' (dikenali) disebabkan dia," ujarnya.

Bagaimanapun, Afina menegaskan bahawa dia tidak pernah berguru dengan mana-mana individu atau menghadiri kelas perniagaan sepanjang pembabitannya dalam bisnes kosmetik.

"Saya tidak berguru dengan sesiapa dan beliau bukan sifu bisnes saya. Saya ada kedai sendiri, berniaga secara offline, belajar pengalaman dengan berjumpa customer.

"Saya juga banyak baca buku, tengok YouTube. Saya memang tak ada sifu bisnes. Seperti yang saya katakan berulang kali sebelum ini, baju Hello Kitty saya yang viral bukan marketing yang dirancang," kata usahawan yang berasal dari Machang, Kelantan itu.

kak hello kitty 6

Afina berkongsi pengalaman menghadiri satu seminar pemasaran bersama suami.

Mengulas lanjut, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata dia terkejut apabila disebut-sebut sebagai contoh kejayaan kepada teknik pemasaran yang diperkenalkan oleh pihak berkenaan.

"Terkejut dan rasa nak marah sebab tiba-tiba dia boleh buat claim macam tu. Kalaulah nak jadikan saya contoh sekalipun, berbincanglah dengan saya dahulu. Bukannnya main petik nama saya.

Ada segelintir sifu hanya guna bisnes air liur. Mereka guna air liur 'tumpang' orang yang dah viral

AFINA

"Masa tu saya rasa macam kena game. Tak ada mikrofon untuk saya bercakap untuk menafikan (dakwaan). Lagipun ramai orang percayakan beliau. Pengalaman saya pertama kali.

"Saya ambil keputusan untuk keluar dewan dan guna alasan ke tandas, sebelum suami ikut sama. Saya berada dalam dewan tu antara 15 hingga 20 minit," tambahnya.

kak hello kitty 3

Tangkap layar video Afina berkaitan pendedahannya mengenai seorang sifu bisnes.

Ditanya kenapa baru kini bersuara, Afina berkata dia sekadar berkongsi pengalamannya yang pernah teraniaya susulan kehangatan isu membabitkan seorang sifu bisnes terkenal.

"Memang ada segelintir sifu hanya guna bisnes air liur. Mereka guna air liur 'tumpang' orang yang dah viral, ambil kesempatan jadikan orang tu sebagai contoh dah berjaya.

"Mereka bukannya gunakan contoh orang yang mula-mula susah dan naik sampai berjaya. Sebab itulah bukan semua orang yang pergi kelas atau ambil pakej marketing tu boleh berjaya.

"Bagi saya, kalau nak cari ilmu... banyakkan membaca. Kita kena cari ilmu sebelum tengok contoh orang lain berjaya. Saya suka tengok cara orang Indonesia dan Jepun. Kalau mereka kaya, mereka kaya betul-betul tapi tidak menunjuk-nunjuk," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain