suria

Anak dah tinggal di ‘rumah baharu’, bapa hiba lawat kediaman lama arwah... ralat tak dapat jumpa kali terakhir

Video dimuat naik Haifaa mendapat lebih 800,000 jumlah tontonan di TikTok.

KEHILANGAN insan tersayang pastinya memberi impak besar apatah jika melibatkan ahli keluarga.

Begitulah yang dialami Azizue Haifaa Mohd Zubair, 22, dan keluarganya apabila kakak sulung, Azizue Hasnie meninggal dunia akibat sakit buah pinggang dan tuberkulosis (TB) pada 22 April 2021, ketika usia 29 tahun.

Lebih memilukan, pada waktu itu mereka hanya boleh pergi ke kediaman arwah yang dipanggil Along yang terletak di Subang Impian, Selangor kerana SOP pandemik Covid-19 tidak membenarkan orang ramai untuk menziarahi kubur.

“Along meninggal dunia lepas lima bulan dia kahwin. Dia menghidap sakit buah pinggang dan TB. Masa dia meninggal tu hari ke-10 kita berpuasa tahun lepas.

“Pada 12 Julai baru-baru ni kami satu keluarga dari Kuala Terengganu sekali lagi pergi ke rumah Along. Itu memang rumah dia beli dengan suaminya dan mereka memang tinggal berdua saja.

“Tujuan kami ke sana untuk ziarah kubur Along sebab masa Along meninggal kami cuma dapat tengok pengebumian dari jauh sahaja," katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Hilang sekelip mata! Empat beradik bagai ‘tiada ekspresi’ Covid-19 ragut nyawa ibu, bapa, nenek dalam masa 2 minggu - “Bila tanya, mereka menangis”

ARTIKEL BERKAITAN: Hilang 5 ahli keluarga sejak usia 4 tahun, pemuda hanya sedar erti kehilangan ketika masuk sekolah - “Nenek tunjuk keratan akhbar tragedi”

Menerusi rakaman video yang dimuat naik, kelihatan bapanya tidak dapat menahan emosi dan menangis ketika berada di dalam rumah Along.

Malah, bapanya juga berlegar-legar di setiap ruang kediaman anaknya itu dan adakala termenung mengenangkan Along yang kini sudah tiada.

“Mungkin ayah terlampau rindukan Along dan rasa bersalah sebab tak sempat jumpa sebelum Along meninggal.

Haifa (kiri) bersama arwah kakak.

“Ikut perancangan, sehari selepas tarikh Along meninggal dia nak balik ke Terengganu. Tapi tak sempat, sebab tu kami satu famili amat terkesan dengan pemergiannya," katanya.

Menurut Haifaa, Along merupakan seorang kakak yang tegas dan garang tetapi dalam masa sama begitu sayangkan adik-adiknya.

Along seorang yang kuat semangat. Selepas lebih kurang dua tahun dia sakit, baru dia berhenti kerja.

AZIZUE HAIFAA

Tambahnya lagi, walaupun Along menderita sakit lebih kurang dua tahun namun dia tetap kuat semangat untuk bekerja.

“Kalau bercakap fasal Along, dia seorang yang penyayang. Ayah ni suka usik Along kalau dia balik Terengganu.

Along (dua dari kanan) bersama suami (dua dari kiri) dan ibu bapanya.

“Along seorang yang kuat semangat. Selepas lebih kurang dua tahun dia sakit, baru dia berhenti kerja.

“Tapi dia tetap cari ‘duit tepi’ walaupun tengah sakit. Macam-macam bisnes online dia buat sampai makin hari makin kurus.

“Along ada berniaga keropok. Lepas dia meninggal, banyak stok sampai. Jadi saya tolong suami dia dapatkan balik modal dengan jual semua keropok tersebut,” imbas Haifaa.

Along (berkerusi roda) bersama ahli keluarganya.

Susulan perkongsiannya di TikTok yang meraih lebih 800,000 jumlah tontonan, rata-rata netizen meluahkan rasa sedih melihat rakaman tersebut.

Dalam pada itu, selepas melihat video yang dikongsi oleh Haifaa, ramai menganggap ia sebagai peringatan agar kita lebih menghargai orang tersayang ketika mereka masih ada di dunia ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain