suria

Sayu si comel ini minta ‘nak masuk balik dalam perut mama’... umur 6 tahun masih tak boleh jalan, tulang patah lebih 50 kali

Khayla mempunyai penyakit Brital Bones Disease sejak lahir.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Suara seorang bayi dalam sebuah video yang menangis sambil mengerang kesakitan mengundang sebak sesiapa sahaja yang menontonnya.

Menurut si ibu, Khairol Niza Zaffarullah Khan, 42, anak perempuannya, Khayla Adha Mirza Imran, mempunyai masalah tulang rapuh atau Osteogenesis Imperfecta sejak lahir.

“Anak saya ada penyakit Brital Bones Disease iaitu tulang rapuh.

“Masalah ni dapat dikesan masa saya mengandung enam bulan. Saya jumpa doktor untuk lakukan pemeriksaan. Masa imbas kaki kiri dia tak nampak, rupanya terlipat ke dada akibat patah.

“Selepas dilahirkan, bermula umur 30 hari saya dah hantar buat rawatan kemoterapi (phamidoronate) sebanyak dua hingga tiga bulan sekali,” jelas Khairol Niza atau senang disapa Niza ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Kepala dan perut anak ditebuk, tulang pinggul terkeluar... ibu jual kek lapis tanggung kos rawatan

ARTIKEL BERKAITAN: Setahun tanggung derita sampai kurus, Along pergi selamanya... Tak boleh bayang pagi raya, cuma lepas rindu dengan anak buah

Menurut wanita yang menetap di Pulau Pinang ini, anaknya yang kini berusia enam tahun sudah menanggung derita patah tulang lebih 50 kali sepanjang usianya.

Dia yang menjual donat dan bomboloni bersama suami, Imran Mohd Yusoff, 43, berkata segala kos rawatan serta ubat-ubatan ditanggung oleh mereka berdua.

Tambahnya lagi, Khayla yang hanya mampu terbaring dan duduk di atas katil terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.

Khayla tidak dapat berjalan seperti kanak-kanak lain walaupun telah mancapai usia enam tahun.

“Banyak kali tulang dia patah. Bahagian retak tak terkira banyaknya. Rasa sakit patah tu sama macam kita semua. Dia pernah cakap pada saya, Boleh tak Khayla nak masuk dalam perut mama balik? Khayla nak makan bagi kuat baru keluar balik.

“Khayla pernah juga beritahu dia teringin sangat nak berjalan. Kami pun berharap dia dapat uruskan diri sendiri sekurang-kurangnya berjalan untuk ke tandas.

“Sampai sekarang Khayla masih pakai pampers. Dia pakai dari jenama MamyPoko saiz XXL sebab hanya brand dan saiz ni saja sesuai untuk dipakai. Dia tak boleh pakai kain lampin atau seluar.

Khayla pernah juga beritahu dia teringin sangat nak berjalan. Kami pun berharap dia dapat uruskan diri sendiri sekurang-kurangnya berjalan untuk ke tandas.

NIZA

“Pembalut, ubat tahan sakit ibuprofen, supplement untuk kalsium dan kos perbelanjaan lain untuk rawat Khayla memang tinggi. Kami tanggung semuanya sendiri. Berniaga di pasar malam ni macam biasalah, tak menentu... kadang kita dah standby nak keluar, hujan. Memang untung RM1 pun tak adalah,” jelasnya.

Pada 2020, ujar ibu tiga cahaya mata ini, pembedahan dilakukan terhadap Khayla tetapi nasib tidak menyebelahinya kerana usaha itu gagal, menyebabkan mereka trauma untuk meneruskan ikhtiar melibatkan pembedahan.

Bagaimanapun, setelah dua tahun berlalu, pasangan ini bersedia mencuba sekali lagi melakukan pembedahan di Hospital Gleneagles, Ampang, Kuala Lumpur yang menelan perbelanjaan sebanyak RM140,000.

Antara kos rawatan terpaksa ditanggung oleh pasangan ini.

“Dulu masa pembedahan masukkan wayar kedua-dua kaki gagal sampai kami trauma nak teruskan. Tapi sekarang kami dalam proses untuk buat rawatan dengan seorang doktor yang pernah berjaya buat pembedahan kepada dua pesakit macam Khayla.

“Tapi kos agak tinggi. Sekarang pun dia ada jalani rawatan stem cell dos pertama dengan belanja RM11,400 dan 12 dos lagi selama enam bulan iaitu dua minggu bagi setiap dos berjumlah RM2,400 tidak termasuk kos pergi balik dan penginapan sehari.

“Sekarang tahap kesihatan Khayla bergantung kepada pergerakannya. Minggu ni Khayla patah bahagian paha dan betis,” ujarnya.

Khayla mendapatkan rawatan di Hospital Gleneagles, Ampang.

Susulan perkongsian oleh Ajib_Junior di TikTok yang meraih lebih 300,000 jumlah tontonan, rata-rata netizen mendoakan kesembuhan Khayla.

Tambah Niza, dia mengharapkan netizen terus menitipkan doa agar dia dan suami terus kuat menempuhi ujian dan dugaan diberikan olehNya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain