suria

Majlis tunang tema tradisional raih pujian! Pasangan muda bercitarasa klasik rancang guna semula dulang hantaran selepas kahwin

Majlis pertunangan Sufianajwa dilakukan dengan penuh tradisi.

IBARAT peribahasa 'tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas', majlis berkonsepkan tradisional yang menonjolkan elemen seni dan adat resam masyarakat Melayu dahulu masih diminati sehingga kini.

Malah ia kekal relevan meskipun terdapat banyak tema dengan hiasan kontemporari serta mewah yang diperkenalkan seiring perkembangan peradaban dunia masa kini.

Berkongsi cerita kepada mStar, wanita berusia 26 tahun yang hanya ingin dikenali sebagai Sufianajwa berkata, dia begitu meminati tema Melayu klasik sejak kecil.

Anak sulung daripada lima beradik itu turut meluahkan rasa beruntung, kerana pasangannya juga menyukai konsep tersebut untuk majlis pertunangan mereka yang diadakan Sabtu malam.

"Saya dan tunang memang sukakan konsep Melayu klasik sebab nampak sederhana, simple dan nostalgik. Kami juga memang suka kumpul barang klasik dan vintage.

"Jadi bagi memenuhi citarasa tersebut, saya mencari lokasi yang sesuai dengan tema... bersyukur sangat kerana vila yang dipilih terletak di Sungai Buloh dan tidak jauh dari rumah saya mahupun tunang," ujar anak kelahiran Kedah yang kini menetap di Damansara Damai, Selangor ini.

Bercerita lanjut, dia yang bertugas sebagai pereka hiasan dalaman berkata vila yang tersergam indah dengan seni bina klasik itu membuatkan dirinya yakin untuk meneruskan konsep yang dihajati.

Tambahan pula, hiasan dalaman vila tersebut menepati keseluruhan konsep yang ingin diketengahkan.

"Pada masa sama, kami dapat menjimatkan kos perbelanjaan untuk majlis. Keluarga saya banyak tekankan pasal kos jadi saya dan tunang sedaya upaya minimaliskannya," ujarnya.

Bersama seluruh keluarganya.

Bersama seluruh keluarganya.

Justeru, tanpa berlengah dia terus menempah vila tersebut untuk majlis yang dirancang, empat bulan lebih awal.

Menurut Sufianajwa, dia dan tunangnya hanya menyediakan kelengkapan untuk majlis pertunangan seperti hantaran, persalinan dan makanan yang dibawa ke vila berkenaan.

"Prop untuk pelamin dah memang tersedia di situ. Oleh itu, saya dan tunang gubah sendiri hantaran dan hanya tambah bunga segar sebagai penyeri pelamin di samping bouquet dan welcome stand.

Busana, tudung dan veil pula... saya hanya membelinya di Muaz Jalan Tar kerana harga lebih murah berbanding di kedai online.

SUFIANAJWA

"Untuk dulang, saya memilih nyiru sebagai bahan asas kerana ia boleh digunakan semula selepas kahwin... seperti boleh dijadikan alat untuk hidang makan tetamu atau letak bahan masakan. Jadi tidak berlaku pembaziran kerana secara tidak langsung sudah melabur untuk barang lepas kahwin.

"Bagi busana, tudung dan veil pula... saya hanya membelinya di Muaz Jalan Tar kerana harga lebih murah berbanding di kedai online. Baju pula saya telah beli pada tahun lepas, cuma kain songket yang dibeli secara online dan ditempah khas," imbasnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Uniknya tradisi keluarga... pengantin reda berarak, bersanding atas lori pembinaan! Orang kampung tumpang gembira

ARTIKEL BERKAITAN: Makin ramai berangan nak kahwin anak raja! Tema Melayu klasik dapat perhatian... Siap mandi bunga air 7 telaga, naik kereta Cinderella

Sufianajwa turut menzahirkan rasa gembira kerana majlisnya mendapat kerjasama daripada seluruh ahli keluarga dan sahabat handai.

Sufianajwa bersama rakan-rakannya.

Sufianajwa bersama rakan-rakannya.

"Pulut kuning mama dan kawan baik saya gubahkan ikut idea yang saya cadangkan pada petang majlis. Mekap pula dilakukan oleh kawan baik saya sendiri manakala dessert dan kek jamuan dibakar sendiri oleh adik," luahnya.

Tambah graduan Sarjana Muda Senibina Dalaman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam itu, dia dan pasangan bercadang untuk mengadakan majlis pertunangan dari awal tahun lagi.

Malah selepas perbincangan kedua-dua belah pihak pada Mac lalu, persetujuan untuk majlis diadakan adalah pada bulan Jun.

"Tetapi abang tunang saya sedang berada di Jakarta, Indonesia pada waktu tersebut.

"Oleh itu, kami tundakan majlis pada Ogos dan sebagai simbolik sambutan bulan kemerdekaan negara," katanya yang membelanjakan RM4,688 untuk majlis pertunangan.

Dulang hantaran yang digubah menggunakan nyiru lebih ringkas dan menarik.

Dulang hantaran yang digubah menggunakan nyiru lebih ringkas dan menarik.

Terdahulu, video perkongsiannya menjadi tular di media sosial selepas dimuat naik menerusi aplikasi TikTok dan sehingga kini ia ditonton lebih 718,700 pelayar.

Rata-ratanya mengucapkan terima kasih kerana memberi idea menarik untuk majlis pertunangan yang berkonsepkan tradisional.

Malah, dulang hantarannya turut menjadi perhatian warganet kerana unik dan ringkas.

"Terima kasih awak kongsikan idea hantaran. Minat tau tema klasik macam ni.

"Mak saya dulu pesan macam ni la untuk bertunang... banyakkan manisan atau makanan supaya boleh kongsi dengan keluarga yang lain.

"Adore vintage theme.

"Salute! Adat tak ditinggalkan, minimalis sangat... hantaran terbaik," ujar beberapa netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain