"KAU dah kenapa? Mana ibu nak cari?" Begitulah reaksi seorang ibu tatkala menerima mesej daripada anak perempuannya yang sedang hamil dan menyuarakan hasrat aneh dan luar biasa. "Nak naik kereta kebal askar," demikian mesej yang dihantar anaknya. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Bercerita kepada mStar, ibu berkenaan, Suhaili Md Yatu memberitahu, dia sememangnya terkejut apabila dimaklumkan mengenai apa yang diidamkan anak perempuannya itu. Lebih mesra disapa Omma Ellysha, dia mengakui keinginan anaknya yang hamil lima bulan itu, dianggap luar biasa kerana sukar untuk dipenuhi. "Kalau pergi Muzium Tentera Darat yang ada kereta kebal kira okay juga, tapi anak saya mengidam nak naik kereta kebal yang bergerak. Mana nak cari? "Apabila anak hantar gambar dia menangis, saya serba salah. Saya kongsi luahan tu di TikTok. Ramai cadang supaya kami pergi ke Dataran Merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 pada 31 Ogos di Dataran Merdeka, pasti ada kereta kebal," katanya kepada mStar. Mesej mengenai anaknya yang mengidam. Namun wanita berusia 46 tahun itu kemudian menerima mesej secara langsung (DM) daripada seorang pengguna TikTok yang berpandangan bahawa usahanya untuk 'terjah' di Dataran Merdeka bukanlah idea yang bernas. ARTIKEL BERKAITAN: Hamil anak sulung, lain macam mengidam isteri pemandu ini... teringin pegang lori pasir tapi peliknya ada syarat - "Kontena, treler dia tak minat" ARTIKEL BERKAITAN: Selepas mengidam Lamborghini, bakal ibu mahu mewahkan anak dalam kandungan pula... beli beg baby RM50,000! "Dia (pengguna TikTok) cadangkan supaya kami pergi ke kem tentera di Sungai Besi, Kuala Lumpur, pada tengah hari 31 Ogos sebab kereta kebal akan masuk ke kem selepas perarakan. "Pada hari tersebut, kami sesat untuk ke kem sebab tak biasa dengan jalan di Kuala Lumpur. Itu belum lagi ada jalan yang tutup disebabkan sambutan Hari Kebangsaan. "Dalam perjalanan tu kami nampak ada trak-trak kereta kebal. Kami berhenti dan terus tanya askar untuk tunaikan impian anak... katanya tak boleh sebab dah loading kereta kebal, mereka cadangkan juga supaya terus ke kem," ujarnya yang menetap di Kampung Bukit Kerayong di Kapar, Selangor. Ain (dua, kiri) bersama keluarga. Setibanya di kem Sungai Besi, Omma Ellysha menyuarakan hasrat anaknya itu di bahagian keselamatan sebelum mereka dibenarkan ke kawasan yang menempatkan kereta kebal. "Kami bertemu dengan beberapa anggota tentera dan mereka membawa kami naik kereta kebal. Dari anak seorang yang mengidam, kami yang lain terdiri daripada saya, suami, anak lelaki dan bakal menantu serta seorang cucu ikut naik sama. "Anak saya ni waktu tak dapat dia menangis, dah naik pun dia menangis. Tapi selepas turun dari kereta kebal tu, dia senyum gembira," katanya yang bekerja di sebuah kilang. Omma Ellysha (kanan) merakamkan kenangan bersama keluarga. Menurut ibu kepada empat anak dan sudah memiliki dua cucu itu lagi, dia amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak terutama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membantu merealisasikan keinginan anaknya yang hamil. "Saya bangga jadi sebahagian daripada keluarga tentera kerana anak sulung saya juga askar. Harap-harapnya cucu ni pun nanti ikut jejak langkah jadi askar juga," kata Omma Ellysha. Seorang wanita hamil berpeluang untuk memenuhi hasratnya. Sementara itu, anaknya, Ainnur Syafiera Arsad, 24, berkata, dia sendiri tidak menyangka akan mengidam perkara yang pelik ketika hamil anak keduanya ini. "Masa mengandung anak pertama, saya cuma mengidam makan-makan saja. Itu pun tiada yang pelik. Sejujurnya tak ada sebab, bangun daripada tidur je terus mengidam. AIN "Sejujurnya tak ada sebab, bangun daripada tidur je terus mengidam. Perut terasa bergerak-gerak, terdetik di hati nak naik kereta kebal. Selepas lebih sejam barulah ada video TikTok tunjuk kereta kebal buat raptai sempena Hari Kebangsaan,” katanya berada di rumah ibunya kerana morning sickness (alahan yang teruk). Menurut Ain suaminya kini sedang bertugas di Jengka, Pahang. Omma Ellysha (kanan) bersama cucu (dua, kanan) dan suami (kiri) serta Ain. Tambah bekas jururawat itu lagi, perjalanannya ke kem tentera Sungai Besi untuk meaiki kereta kebal begitu mendebarkan. "Sepanjang perjalanan menaiki kereta, saya alami alahan sebanyak tiga kali sampai muntah-muntah. Habis baju dan seluar kena muntah, saya hanya lapkan saja sebab pakai baju hijau... ikut tentera. "Tapi apabila naik kereta kebal tu, tak ada pula muntah-muntah. Tapi memang saya menangis masa naik sebab terharu. Alhamdulillah, dapat naik kereta kebal yang bergerak selama 15 minit. "Selepas tu pun saya menangis lagi sebab teringat pengorbanan ibu saya yang bersusah-payah untuk memenuhi hasrat saya yang mengidam," kata Ain. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI