suria

Gadis Melayu risau sari terlondeh depan orang ramai, nasib baik 3 wanita India tolong betulkan... Terus bersiap depan LRT Masjid Jamek

Diyana berkongsi pengalaman mengenai tiga wanita India membantu memperbetulkan kain sarinya.

SIAPA sangka hasrat seorang gadis Melayu untuk memakai sari pada sambutan Hari Kebangsaan 2022 memberi kenangan yang amat bermakna kepadanya.

Ini kerana pengalaman memakai pakaian tradisional kaum India itu mempertemukannya dengan tiga wanita yang baik hati di Stesen LRT Masjid Jamek.

Pertemuan mereka itu bermula apabila ketiga-tiga wanita berkenaan tampil membantu gadis bernama Nurul Diyana Azmi itu memperbetulkan sari yang dipakainya.

Video saat mereka memperbetulkan sari Diyana tular di media sosial selepas dimuat naik di TikTok.

Berkongsi momen manis itu kepada mStar, Diyana berkata, pada hari berkenaan dia melakukan kerja sampingan dengan memberikan produk minuman teh tarik segera kepada orang ramai, bersempena Hari Kebangsaan.

pakai kain sari 2

Diyana (dua, kiri) bersama rakan sekerja bekerja pada Hari Kebangsaan.

Pelajar berusia 22 tahun itu memberitahu, dia dan beberapa rakan sekerja lain perlu memakai pakaian tradisional untuk meraikan kepelbagaian bangsa di Malaysia.

"Pada awalnya saya perlu pakai baju kurung. Kemudian person-in-charge minta saya cari seorang perempuan India yang boleh pakai sari untuk sama-sama buat kerja part time tu.

"Kiranya ada pekerja Melayu, India dan Cina pakai baju tradisional. Tapi disebabkan tak sempat cari pada saat akhir, saya cadangkan untuk cari seorang lagi perempuan Melayu pakai baju kurung, manakala saya pula pakai sari," katanya kepada mStar.

pakai kain sari 4

Diyana sepatutnya berbaju kurung pada Hari Kebangsaan.

Ujar Diyana dia menawarkan diri untuk memakai sari kerana secara kebetulan mempunyai kain tersebut di rumah, hadiah daripada kakak iparnya.

Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Bioteknologi dari Universiti Malaya (UM) itu mengakui gementar kerana pertama kali memakai pakaian tradisional itu.

pakai kain sari 5

Seorang wanita India membantu Diyana memakai sari.

"Ketika kami bertugas di sekitar Stesen LRT Masjid Jamek di Kuala Lumpur, rakan sekerja memberikan produk tersebut kepada tiga wanita India, salah seorang daripada mereka pakai sari.

ARTIKEL BERKAITAN: Penuntut UiTM tak sangka Aunty Jothi 'halang' beli sari di Little India sebenarnya ada niat lebih baik - "Berkali-kali saya tanya sebab tak percaya"

ARTIKEL BERKAITAN: Rombongan pakai sari iringi pengantin lelaki, rupa-rupanya ada kaitan darah campur... pemuda ini kongsi kisah di suatu pagi ke masjid cari tok imam

"Kemudian dua makcik dan seorang kakak tu dekati saya yang berada berdekatan dan puji kerana memakai sari. Kakak yang pakai sari itu juga tegur lipatan kain sari saya secara baik.

"Katanya, lipatan kain sari tu sepatutnya di sebelah kiri, tapi saya buat di bahagian kanan. Saya pun tak berapa pasti sebab hanya belajar di YouTube," ujar Diyana yang bertugas dekat Bukit Bintang di ibu negara, pada hari tersebut.

pakai kain sari 1

Diyana (kanan) bergambar kenangan bersama tiga wanita India yang membantunya.

Menurut gadis yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur itu lagi, dia berasa amat terharu apabila mereka menawarkan diri untuk membantu memperbetulkan lipatan kain sarinya.

"Saya memang risau kalau kain tu terlondeh walaupun pakai inner di bahagian dalam. Kalau kain terlucut, saya dah fikir akan tegur mana-mana makcik India untuk minta tolong betulkan.

Kalau kain tercabut, saya dah fikir akan tegur mana-mana makcik India untuk minta tolong betulkan.

DIYANA

"Tak sangka mereka yang menegur saya itu tolong betulkan malah siap bagi tip. Mereka kata lain kali kena pakai seluar yang bahagian pinggang ketat untuk selit kain sari.

"Sebelum tu, kain sari memang sedikit longgar. Bila mereka tolong lipatkan guna safety pin mereka, sari dah tak bergerak dan lipatan nampak lebih kemas," ujarnya dengan nada teruja.

pakai kain sari 3

Pengalaman Diyana bertemu dengan orang ramai ketika bertugas.

Dalam pertemuan singkat kira-kira 10 minit itu, Diyana yang merupakan anak kedua daripada enam beradik berasa selesa bersama dengan tiga wanita India tersebut.

"Walaupun kami tak kenal, lebih-lebih lagi berlainan bangsa, tapi mereka peramah. Pengalaman saya bekerja selama sehari tu sangat mahal, kami saling menghormati.

"Tak sangka saya sukarela pakai sari dapat pengalaman yang sangat rare. Risau juga kalau rasa panas, tapi saya selesa.

"Lebih seronok apabila ramai yang nak bergambar dengan saya, bukan sahaja rakyat Malaysia, juga pelancong asing," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain