suria

“Kami bukan jenis suka bersesak” - Suami isteri jelaskan kenapa rela ‘berkicap’ bawa 3 anak ke Dataran Merdeka

Noor Fathin bersama suami bersemangat membawa tiga anak mereka menyaksikan perarakan sempena hari merdeka di Dataran Merdeka.

MEMORI sememangnya satu perkara yang sangat berharga dan tidak dapat dibeli di mana-mana.

Justeru, kita sewajarnya menggunakan kesempatan yang ada untuk mencipta seberapa banyak memori bersama insan tersayang untuk dijadikan sebagai kenangan pada masa hadapan.

Dek kerana itulah wanita ini dan suaminya sanggup melakukan apa sahaja demi mencipta memori manis bersama tiga anak mereka.

posting merdeka

Perkongsian Noor Fathin mengenai pengalaman merakan hari merdeka bersama suami dan anak-anaknya.

Menurut Noor Fathin Azlan, dia dan suaminya turut tidak mahu ketinggalan meraikan sambutan hari kemerdekaan dengan membawa tiga anak kecil mereka ke Dataran Merdeka, baru-baru ini.

"Kalau bukan sebab anak-anak, kami berdua takkan sampai di sini. Sebab kedua-duanya spesis yang tidak suka bersesak.

ARTIKEL BERKAITAN: “Pakai kat Dataran Merdeka, nanti masuk TV” - Netizen pujuk juara bertahan kalah pertunjukan fesyen, puji dress cantik

ARTIKEL BERKAITAN: Penangan konvoi merdeka! Pelajar sporting, guru Kolej Vokasional Kelantan siap beli superbike, melaram baju tradisional

"Selain sambutan hari merdeka, dah banyak sebenarnya event dan aktiviti untuk anak-anak yang perlu melalui situasi bersesak-sesak ni. Tapi sebab anak-anak, kami turuti.

"Honestly kami memang dah jangka yang kami takkan dapat seat dan takkan dapat tengok perarakan dari jarak dekat.

"Kami datang hanya untuk mencipta memori untuk anak-anak menyambut hari kemerdekaan.

"Ore Kelate kato, hadir sekadar nok ko suasano. Nok bagi anak-anak rasa bangga jadi anak Malaysia," kongsinya menerusi satu perkongsian di Facebook.

merdeka 1

Meskipun terpaksa bersesak dengan orang ramai, anak-anak Noor Fathin gembira kerana dapat meraikan hari merdeka di Dataran Merdeka.

Wanita ini turut memuat naik sekeping gambar memaparkan suami dan tiga anak kecilnya termasuk seorang berada di dalam stroller yang duduk melepaskan penat selepas menyaksikan perarakan kemerdekaan di Dataran Merdeka.

Wanita ini berkata, dia sendiri mempunyai momen menyambut hari kemerdekaan bersama bapanya sewaktu masih kecil dan detik tersebut masih segar dalam ingatannya sehingga kini.

"Di usia 31 tahun, sehingga sekarang masih lagi terngiang-ngiang memori ayah bawa kami adik beradik tengok perarakan di stadium Kota Bharu. Masih terasa manisnya air yang diminum ketika itu.

"Setiap kali tibanya hari kemerdekaan, memori inilah yang akan diulang-ulang pada suami. 'Awak tahu tak yang saya pernah pergi tengok perarakan kemerdekaan? Dulu masa saya tengok perarakan kan, ayah yang bawa saya'" kongsinya lagi.

Ore Kelate kato, hadir sekadar nok ko suasano. Nok bagi anak-anak rasa bangga jadi anak Malaysia.

NOOR FATHIN AZLAN

Tambah wanita ini, sungguhpun tidak banyak memori yang tercipta, namun dia benar-benar menghargai setiap detik yang diluangkan oleh ibu bapanya ketika masih kecil, terutama apabila sambutan tertentu.

"Kadang-kadang topik kami laki bini pasal memori dengan mak ayah masing-masing. Kami seronok bercerita walaupun hanya ada beberapa ketul memori bersama mak ayah.

"Bila kami asyik bercerita pasal topik ini, barulah kami tersedar yang pada ketika inilah kena banyak meluang masa bersama anak-anak bagi mencipta memori dan kenangan terindah yang bakal disimpan sehingga mereka besar.

"Sesuatu momen itu mungkin kecil di mata orang dewasa, tapi sangat bermakna di jiwa kanak-kanak," kongsinya lagi.

merdeka 2

Antara komen netizen yang juga bersetuju dengan pandangan Noor Fathin.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen turut bersetuju dengan perkongsian Noor Fathin malah berkongsi kisah yang sama dengan membawa anak masing-masing untuk meraikan merdeka.

"Samalah kita. Datang untuk cipta memori bersama anak-anak. Sampai ke malam anak-anak cakap 'terima kasih, the best daty ever'. Seronok masing-masing walaupun berkicap.

"Totally agree. Kecil di mata kita, tapi besar di mata budak-budak.

"Betul, saya pun jelas lagi teringat memori ayah mak bawak ke Dataran tiap kali merdeka dulu. Naik bas mini je tapi effort mereka tu mahal," demikian antara komen netizen.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih 226 shares di Facebook.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain