suria

Kereta berhias Didi & Friends jadi lokasi terakhir, sekelip mata dah hilang! Ibu tunggal imbas insiden anak tercicir di Dataran Merdeka

Aini menjelaskan mengenai kehilangan anaknya semasa Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos lalu.

KISAH mengenai seorang kanak-kanak hilang ketika sambutan Hari Kebangsaan 2022 pada 31 Ogos lalu terus menjadi bulan ramai di media sosial.

Walaupun bersyukur kerana Muhammad Fauzan Mohd Fauzi, 6, ditemui dengan selamat, namun timbul kritikan kepada si ibu kerana mengabaikan anaknya ketika berada di tempat sesak.

Tampil menjelaskan tentang situasi pada hari kejadian di Dataran Merdeka, ibu Fauzan, Noraini Safarudin, 39, berkata semuanya berlaku dengan sekelip mata.

“Masa dekat kereta berhias Didi & Friends tu, Fauzan sangat teruja dan nak bergambar dengan Didi. Tapi saya halang sebab orang sangat ramai kerumun untuk bergambar juga.

“Tiga kali percubaan kami nak rapat tapi memang tetap tak dapat. Jadi, kami bergerak ke kereta hiasan sebelah dan saya mengambil gambar di Measat (Malaysia East Asia Satellite).

ARTIKEL BERKAITAN: Sebak! Budak hilang pengawasan di Dataran Merdeka enggan sebut nama bapa untuk pengumuman, rupanya ayah dah tiada

ARTIKEL BERKAITAN: Bergelar anak yatim sejak usia 14 hari, kini patah 2 kaki pula... lelaki ini terharu dikurniakan sahabat sanggup dukung, bancuh susu sebelum tidur

“Apabila saya toleh belakang hanya ada adiknya sahaja tapi Fauzan dah tak ada. Ini kali pertama saya pergi sambut ni. Tak sangka pula seramai ini sambutan tahun 2022 dan kami tak sempat pun tengok perarakan,” ujar ibu kepada dua orang cahaya mata ini ketika dihubungi mStar.

Panik dengan situasi yang berlaku, ibu kepada dua cahaya mata itu mula mencari Fauzan yang merupakan anak sulung di lokasi kereta berhias namun tidak ditemukan.

Menurut Aini, dia bersama anak keduanya kemudiannya bergerak ke tengah jalan yang lebih lapang supaya Fauzan dapat melihat mereka.

Kata Aini lagi, dia menghubungi ibu saudara yang turut hadir bersama mereka bagi membantu dia mencari Fauzan.

Aini bersama dua orang anaknya ketika sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

“Takut sangat sebab saya tak pernah hilang anak sebelum ni. Saya telefon maksu beritahu yang Fauzan hilang supaya dia dapat sama-sama bantu cari sebab dia pun datang juga tapi secara berasingan.

“Selepas sekitar lima minit Fauzan hilang daripada pandangan, saya terdengar pengumuman nama saya dipanggil dari pentas oleh pengacara majlis.

“Lebih kurang 10 minit juga saya nak cari dekat mana pentas hebahan tu dibuat. Mujur anak saya berjaya dijumpai. Tak pernah terfikir akan jadi perkara macam ni dan saya tak bersedia nak harungi semua ni sorang-sorang,” ujarnya yang sudah kematian suami pada 17 November 2017.

Fauzan cuma sempat bersama ayahnya selama setahun sahaja... lima tahun kebelakangan ini dia cuma ada saya sahaja.

NORAINI

IBU

Bercerita mengenai kematian suami, Ain memberitahu bahawa bapa kepada anak-anaknya itu iaitu Mohd Fauzi Ibrahim meninggal dunia di tempat kejadian selepas terlibat dalam kemalangan apabila motosikal ditunggang merempuh sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan.

Kehilangan suami ketika anak kedua mereka berusia 100 hari, Muhammad Daniyal Fareez, cukup memberikan impak mendalam buat Aini.

“Fauzan cuma sempat bersama ayahnya selama setahun sahaja. Lima tahun kebelakangan ini dia cuma ada saya sahaja sebagai penjaga. Sudah tentu sentuhan ayah dan nama ayah tu dia tidak biasa dengar.

Aini memberikan penjelasan di ruangan komen.

“Sebenarnya, Fauzan rapat dengan arwah sebab dia anak pertama kami selepas diuji tanpa anak walaupun selepas tujuh tahun berkahwin” katanya yang kini menetap di Selangor.

Berikutan video yang menjadi tular sehingga meraih lebih 5.5 juta jumlah tontonan di TikTok, pelbagai pendapat dan reaksi dapat dilihat di ruangan komen.

Ujar Aini, dia ingin mengambil peluang dan ruang ini untuk menjelaskan mengenai tanggapan serta perspektif orang lain terhadapnya setelah rakaman tersebut tular.

Fauzan kini berusia enam tahun.

Tambah Aini yang bekerja sebagai wakil pemasaran dan perunding unit amanah, dia tidak serik untuk membawa anaknya ke perarakan pada masa akan datang demi mengembirakan mereka dan memilih untuk lebih berhati-hati.

“Walaupun ada beberapa komen negatif membuatkan saya sedih tapi kita tak dapat ubah persepsi orang. Semua terjadi ada hikmahnya. Antara komen yang saya dapat adalah saya abai anak dan kata saya sebagai ibu sangat tenang.

“Yang pasti, tak ada ibu bapa nak benda ni berlaku dan ia berlaku sekelip mata sahaja. Saya tenang kerana sebaik dengar pengumuman dia telah selamat, saya sangat bersyukur. Sebelum tu saya takut sangat. Risau kalau-kalau anak saya ni diculik.

Aini sedang hamil tujuh bulan ketika gambar ini diambil.

“Ada juga komen saya tak naik pentas berterima kasih pada petugas. Di sini saya nak minta maaf atas hal itu. Sebab saya tak naik pentas adalah anak saya yang sorang lagi sedang tarik baju dan ini akan jadikan kami tak stabil untuk naik tangga.

“Di kesempatan ini saya ucapkan terima kasih kepada pengacara majlis yang bantu untuk buat hebahan dan kepada anggota polis terbabit yang membantu dan menunggu hingga selesai. Jasa kalian amat saya hargai,” ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain