suria

Tak habis-habis penjawat awam dituduh ‘makan’ duit pekerja swasta, guru hilang sabar tunjuk slip gaji... “Kami juga pembayar cukai”

Ismail Sabri ketika mengumumkan kenaikan gaji RM100 kepada penjawat awam bermula tahun hadapan.

MENYALAHKAN keseluruhan sektor perkhidmatan awam hanya disebabkan sebilangan kecil penjawat awam yang melakukan kesalahan sudah menjadi normalisasi dalam kalangan masyarakat.

Malah sering timbul sekelumit rasa tidak puas hati terhadap penjawat awam susulan pelbagai inisiatif diumumkan kerajaan terhadap sektor ini.

Seperti baru-baru ini, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tentang penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 bakal menikmati Bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100, mengundang pelbagai reaksi negatif daripada warganet.

Sehingga ada yang menyatakan gaji penjawat awam dibayar oleh pekerja swasta menerusi potongan cukai.

Disebabkan komen tidak berasas sesetengah pihak, pemilik akaun Nancy Maria meluahkan rasa sedih dan menjelaskan bahawa penjawat awam sepertinya turut membayar cukai.

Nancy turut mendedahkan slip gajinya bersama coretan di Facebook.

Nancy turut mendedahkan slip gajinya bersama coretan di Facebook.

Menerusi hantaran di Facebook, dia yang juga seorang guru mengakui terguris dengan komen-komen seumpama itu.

"Terguris juga di sanubari saya membaca komen-komen yang menyatakan pekerja swasta membayar cukai dan wang itu digunakan utk membayar gaji kami penjawat awam.

"Reaksi, posting dan komen tu muncul gara-gara pengumuman naik gaji RM100," luahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Datang awal temujanji nak cucuk anak, tapi kena ‘sidai’ 30 minit gara-gara misi KK beli sarapan... Nampak jalan jinjing beg plastik

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh insiden ‘halau’ orang awam, pegawai imigresen ditukar serta-merta

Ekoran itu, dia tampil menjelaskan bahawa penjawat awam turut membayar cukai seperti pekerja swasta yang lainnya.

Malah katanya, cukai bulanan yang dikenakan adalah mengikut jumlah tanggungan dan pendapatan masing-masing.

"Kami juga pembayar cukai. Penjawat awam dan pekerja swasta, selagi ada slip gaji memang akan dikenakan cukai setiap bulan mengikut jumlah tanggungan dan jumlah pendapatan masing-masing," jelasnya yang turut memuat naik gambar slip gaji miliknya.

Nancy juga berharap warganet tidak sewenang-wenangnya meninggalkan komen yang boleh menyakiti individu lain sebaliknya menggunakan media sosial dengan sebaiknya.

Penjawat awam turut menyatakan mereka juga adalah pembayar cukai bukan seperti dakwaan sesetengah pihak. Gambar hiasan

Penjawat awam turut menyatakan mereka juga adalah pembayar cukai bukan seperti dakwaan sesetengah pihak. Gambar hiasan

Hantaran yang dibuatnya itu menjadi tular di media sosial dan turut dikongsikan beberapa Facebook Page termasuk Iklan dan Kerjaya.

Kebanyakan warganet yang meninggalkan komentar adalah mereka yang berkhidmat sebagai penjawat awam.

Rata-ratanya bersetuju dengan luahan Nancy dan menyifatkan kebanyakan orang awam tidak mengetahui perkara seumpama itu susulan sering dimomokkan dengan kata-kata hanya pekerja swasta yang membayar cukai.

Ada juga yang mempertikaikan kenapa orang ramai tidak berpuas hati dan dengki dengan kakitangan kerajaan.

Asyik-asyik isu cukai, kaunter, kabel... itu saja label untuk penjawat awam.

NETIZEN

"Mereka ingat penjawat awam tak bayar cukai. Daripada dulu sampai sekarang tak pernah ambil tahu... kita kena potong gaji bayar cukai.

"Asyik-asyik isu cukai, kaunter, kabel... itu saja label untuk penjawat awam. Yang berhempas pulas mental dan fizikal tak nampak pula, yang kerja tak berkira masa dan tenaga tak nampak.

"Sucikan sikit hati tu bersangka baik dengan semua orang, tak kira (kerja) kerajaan atau swasta... kerja apa pun kalau amanah dan bertanggungjawab, InsyaAllah berkat rezeki.

"Yang bercakap tu sebab tak pernah tengok gaji penjawat awam.

Antara komentar yang ditinggalkan warganet.

Antara komentar yang ditinggalkan warganet.

"Bonus RM700 masuk slip gaji, kenaikan khas RM100 masuk dalam slip gaji... makin bertambah cukai pendapatan.

"Itu tuduhan tak berasas, potongan cukai bulanan dan bayaran cukai tahunan mereka tak tahu. Hanya tuan empunya badan yang merasakannya," ujar beberapa netizen.

Bagaimanapun, penjelasan yang dibuat itu turut menerima reaksi negatif daripada warganet apabila mereka mengaitkannya dengan perkhidmatan yang diberikan penjawat awam.

"Tapi masih juga kaunter kena buka dua atau tiga, padahal ada sembilan kaunter.

"Ramai penjawat awam dalam ni... ingat seketul (seorang) dua macam kat kaunter.

"Orang ramai, kaunter buka satu.

"Pekerja kerajaan bekerja dan berkhidmat untuk rakyat sebab kena ingat dalam gaji kamu ada duit rakyat.

"Memang penjawat awam bayar cukai... pengalaman saya kerja penjawat awam lepas tu pindah kerja swasta, masa kerja kerajaan cukai RM70 sebulan. Kerja swasta cukai RM1,000 sebulan. Beza banyak tu," ujar beberapa netizen lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain