suria

“Suka hatilah nak beli ke tak” - Pelanggan minta COD, barang sampai tak nak terima! Banyak kes libat pembeli di TikTok

Rakaman video menunjukkan parcel yang dipulangkan semula selepas pelanggan enggan menerima.

MESKIPUN berniaga secara dalam talian dan tidak terjejas dengan perubahan cuaca seperti di pasar malam, peniaga online juga berdepan dengan risiko kerugian.

Lebih-lebih lagi mereka yang menawarkan perkhidmatan pembayaran tunai semasa serahan atau cash on delivery (COD) kepada pelanggan.

Seperti yang dilalui Norhazikah Podzi dia bukan sahaja perlu menanggung kos penghantaran dan pembungkusan malah turut menerima barang yang sudah pecah selepas pelanggan yang menggunakan kaedah COD enggan menerima barang tempahan.

Bercerita kepada mStar, wanita berusia 30 tahun itu memberitahu, dia sama sekali tidak menyangka bahawa inisiatif pembayaran yang memudahkan pengguna, akhirnya akan menyusahkan dirinya.

Maklumlah, tidak semua pelanggan pandai dan tahu menggunakan perbankan internet.

"Memang kecewa sangat dengan sikap pelanggan yang membuat tempahan.

"Ia bermula semasa saya buat sesi siaran langsung menjual produk di TikTok, kebanyakan pelayar meminta supaya saya tukar setting jualan kepada COD. Majoriti memang beli menggunakan servis tu.

"Jadi bila pelanggan buat tempahan, saya akan terima pesanan berkenaan seterusnya menyediakan pembungkusan bagi proses penghantaran," ujarnya memulakan cerita.

Bagaimanapun, selepas servis tersebut disediakan, ramai pula yang menyalahgunakannya sehingga setiap hari pasti akan ada bungkusan yang dihantar kembali.

"Tapi malangnya setiap hari mesti ada lebih daripada 10 parcel akan return (dipulangkan)... pihak kurier beritahu yang pelanggan tak nak terima barang.

"Ada juga yang sengaja tidak menjawab panggilan telefon dan menyatakan tidak tahu berkenaan tempahan yang dibuat. Paling unik adalah pelanggan nyatakan mereka tidak mempunyai tunai untuk membuat pembayaran kepada kurier," luahnya sayu.

Lebih menyedihkan apabila dia mendapati terdapat individu yang melakukan tempahan beberapa kali dan enggan menerimanya apabila dihantar.

Malah apabila dihubungi bagi mendapatkan kepastian, individu terbabit memarahinya pula.

Selain pengeposan tempahan secara COD dipulangkan, Ika juga berhadapan dengan pelanggan yang mendiamkan diri selepas 'lock'.

Selain pengeposan tempahan secara COD dipulangkan, Ika juga berhadapan dengan 'ghost customer'.

"Ada yang cakap 'suka hatilah nak beli atau tidak'. Pelanggan yang sama buat pesanan tiga hingga empat kali dan semuanya return pada saya.

ARTIKEL BERKAITAN: Patut parcel tak sampai, rupanya dah kena lelong! Netizen bengang peniaga kaut untung, cuba jual RM50 satu bungkusan

ARTIKEL BERKAITAN: Baru je buat ‘payment’, pelanggan gelabah nak tudung cepat sampai macam beli di pasar malam... siap maki seller konon lambat pos

"Bukan apa, bila mereka enggan terima... saya akan rugi sebab barang dah bungkus guna bubble wrapping, plastic packing dan upah runner untuk hantar ke kurier. Penat bungkus lagi," katanya yang menganggap perkara itu sebagai ujian.

Mesra disapa Ika, ibu kepada dua cahaya mata itu turut mendedahkan bahawa dia pernah menerima 40 parcel daripada 150 tempahan yang dikembalikan semula.

Bila view cecah belasan, memang rasa gembira sangat sebab dah rasa ramai. Alhamdulillah semakin hari, semakin ramai pelanggan.

IKA

Tambahnya lagi, pelanggan enggan menerima bungkusan pesanan sejak dia menggunakan aplikasi TikTok sebagai medium jualan.

"Permulaan dulu tak banyak return, sekarang ni ja makin banyak. Tapi saya dah biasa dengan keadaan itu, terima sajalah.

Produk kosmetik menjadi pilihan Ika dalam perniagaan terkininya.

Produk kosmetik menjadi pilihan Ika dalam perniagaan terkininya.

"Yang penting barang tak jadi ambil tu dikembalikan semula," ujarnya.

Menceritakan kisah pembabitannya sebagai usahawan kosmetik, anak jati Merbok, Kedah itu berkata, dia mula berjinak dengan perniagaan tersebut menerusi Facebook semasa Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan bagi membendung jangkitan Covid-19.

"Masa tu bukan jual kosmetik dan barang penjagaan wajah tapi jual baju bundle wanita sahaja. Permulaan buat live memang struggle dan penat sebab masih baru serta tak banyak pengikut.

"Viewer masa tu empat hingga lima orang sahaja. Kena buat live kira-kira dua jam dan kadang-kadang empat kali sehari untuk dapatkan jualan RM100 hingga RM200.

"Bila view cecah belasan, memang rasa gembira sangat sebab dah rasa ramai. Alhamdulillah semakin hari, semakin ramai pelanggan," ujarnya yang pernah 'disidai' pelanggan yang membuat tempahan.

Bercerita lanjut, suri rumah sepenuh masa itu berkata, pernah suatu hari dia menangis selepas sesi siaran langsung dilakukan sebab kecewa dan penat dengan usaha yang dilakukan.

Mana tidaknya, terdapat pelanggan yang 'lock' baju dengan banyak namun selepas sesi tamat, dia mendiamkan diri.

Ika bersama suami dan anak-anaknya.

Ika bersama suami dan anak-anaknya.

Bersyukur usaha kerasnya membuahkan hasil, graduan Diploma Fisioterapi di Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur, itu berkata akhirnya orang ramai mula mengenali diri dan jualan yang dilakukan.

"Sampai satu masa orang dah mula kenal, bila live memang view tinggi dan semakin ramai membeli.

"Rezeki masa tu, jualan sehari cecah RM600 hingga RM700... kadang-kadang RM1,000. Bila dah penat jual bundle sebab kena live empat jam untuk capai sasaran jualan, saya rasa nak jual benda lain pula.

"Disebabkan sebelum ini saya adalah mekap artis, jadi terfikir nak jual kosmetik dan produk penjagaan wajah. Rezeki berniaga di Facebook mencurah-curah dan setiap hari pasti ada jualan," tambahnya yang sudah tiga tahun berniaga di media sosial.

Menurutnya lagi, dia sama sekali tidak menyangka berniaga barang kosmetik lebih mudah dengan hanya menunjukkan produk dan pelayar media sosial akan terus membeli.

Namun katanya, aspek pembungkusan perlu lebih teliti bagi mengelakkan produk pecah dan rosak.

Katanya lagi, berkat jualan dan usaha yang dilakukan itu, dia berjaya menyimpan duit sehingga mampu membeli sebidang tanah di kampung dan kini dalam proses pembinaan rumah.

Terdahulu video perkongsian yang memaparkan bungkusan produk tempahan pelanggan dikembalikan kurier menjadi tular di aplikasi TikTok.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain