ANAK-anak adalah harta paling berharga buat pasangan yang berumah tangga. Justeru mana-mana ibu bapa tidak pernah teragak-agak untuk melakukan apa sahaja demi anak, walau nyawa menjadi galang gantinya. Begitulah besarnya pengorbanan ibu bapa buat anak mereka, sebagaimana pasangan ini yang nekad menjual pelbagai barangan termasuk telefon bimbit sebagai ikhtiar untuk mengumpul wang bagi menampung kos pembedahan serta rawatan dua anak istimewa mereka. Berkongsi cerita dengan mStar, Saharmi Sahari berkata anak keduanya Nur Rafeeqah Raisha, yang berusia tiga tahun disahkan menghidap Microcephaly, Laryngomalacia, Infantile Spasms dan Celebral Palsy, manakala anak ketiganya Nur Dhia Sofia, yang berumur setahun didiagnos dengan Hydrocephalus dan masalah buah pinggang bengkak. Raisha ketika dirawat di hospital. "Raisha sememangnya ada masalah sejak lahir kerana dia dilahirkan pramatang. Dia didiagnos ketika berusia tiga bulan dan sejak itu hospital dah jadi rumah kedua kami. "Mula-mula tu Raisha ada masalah pernafasan, kemudian sawan. Kesemua penyakitnya didiagnos berperingkat. "Anak bongsu kami pula didiagnos waktu umurnya sebulan," ujar wanita berusia 24 tahun ini. ARTIKEL BERKAITAN: Dua beradik istimewa teruja masuk sekolah, si adik paling tak sabar tapi buat drama setiap pagi... gelagat abang pimpin tangan paling menyentuh hati ARTIKEL BERKAITAN: 8 tahun tunggu, bapa terharu anak akhirnya boleh menapak! Selama ini cuma jawab ‘dia istimewa’ jika ada yang tanya Menurut Saharmi, Raisha sudah menjalani pembedahan pertama pada 2019 untuk membetulkan saluran pernafasannya dan perlu menjalani pembedahan kedua, juga untuk tujuan yang sama. Ketika ini Raisha hanya mampu terbaring dan perlu menggunakan mesin oksigen untuk bernafas, serta tidak mampu melihat sebaliknya hanya boleh mendengar dan merasa. "Bulan lepas ketika ke hospital untuk appointment Raisha, doktor kata dia perlu jalani pembedahan kedua untuk saluran pernafasannya. "Sofia juga perlu menjalani pembedahan tapi doktor tangguhkan dulu, cuma tak boleh tunggu lama kerana kepalanya makin membesar. "Memang buntu juga sebab kami berdua berdua struggle dari segi pendapatan. Selepas balik dari appointment Raisha, kami suami isteri berbincang untuk menjual barang yang ada demi kumpul wang. Hantaran yang dimuat naik oleh Saharmie di Facebook. "Mula-mula saya cuba jual barang-barang seperti baju bayi, kereta bayi serta melelong pakaian bundle yang masih berbaki sebab sebelum ini saya peniaga dalam talian," kata ibu kepada tiga cahaya mata ini. Namun menurut Saharmi, hebahan yang dilakukan tidak mendapat sambutan, lantas dia dan suami tampil dengan ikhtiar terakhir iaitu menjual telefon bimbit masing-masing iaitu model iPhone 13 Promax dan iPhone 11. "Alhamdulillah saya tak sangka, posting tersebut mengundang perhatian ramai yang turut bersimpati. Saya terima banyak mesej yang mahu menghulurkan sumbangan demi meringankan beban. Saya post memang niat nak menjual, bukan nak minta derma tapi ramai yang tulus hatinya. Saya ucapkan terima kasih dan mendoakan kebaikan berbalik kepada mereka. SAHARMI SAHARI "Ramai juga yang komen dan mesej mendoakan kami sekeluarga. Saya terharu sampai menangis. Saya bersyukur dan anggap ini rezeki anak-anak. "Telefon bimbit model iPhone 13 Promax juga berjaya terjual. Sekarang telefon bimbit suami saja tinggal buat masa ini sebab dia perlukannya kerana bekerja sebagai penghantar makanan," ujarnya yang juga ibu kepada seorang lagi anak berusia lima tahun. Mengakui ujian yang didatangkan kepada keluarganya begitu berat untuk dipikul, Saharmi yang menetap di Klang, Selangor berkata dia sendiri pernah tertekan memikirkan masa depan anak-anak serta kekangan kewangan. "Saya sebelum ini bekerja sebagai kerani namun selepas Raisha lahir, terpaksa berhenti kerja sebab anak kerap masuk hospital. "Suami pula bekerja di gudang sebuah syarikat kurier, tapi selepas anak ketiga lahir dan juga sakit, dia terpaksa berhenti dan bekerja sebagai penghantar makanan kerana masa lebih fleksibel," ujarnya. Buah hati Saharmie dan suaminya, Muhammad Nashrun. Menurut Saharmi lagi, dia pernah cuba menjual pakaian bundle secara dalam talian bagi membantu suaminya, Muhammad Nashrun, 23. Bagaimanapun, bisnes tersebut terpaksa dihentikan buat sementara waktu kerana dia perlu memberi tumpuan kepada anak-anaknnya. Terharu postingnya mengundang perhatian ramai, Saharmi berkata dia ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang prihatin. "Saya post memang niat nak menjual, bukan nak minta derma tapi ramai yang tulus hatinya. Saya ucapkan terima kasih dan mendoakan kebaikan berbalik kepada mereka serta dimurahkan rezeki. "Buat mereka yang juga ibu bapa kepada anak-anak istimewa, jangan pernah abaikan mereka. Mereka adalah amanah Allah untuk kita. Terimalah ini sebagai ujian untuk kita. Allah hadirkan ujian, dan pasti Allah akan beri sesuatu yang lebih baik kelak," katanya lagi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI