suria

Dulu kongsi sebiji telur sehari, kini ada 5 klinik! Doktor tak teragak tunai hasrat isteri sambut anniversary di Makkah

Dr Ahmad Samhan dan isteri meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-10 dengan mengerjakan umrah.

BAGI sebahagian besar pasangan suami isteri, meraikan hari ulang tahun perkahwinan adalah satu perkara yang wajib disambut setiap tahun.

Lazimnya, pasangan memilih untuk menikmati makan malam romantik (candle light dinner), berbulan madu, memberi hadiah dan pelbagai lagi cara untuk menghargai pasangan masing-masing.

Bagi seorang doktor yang begitu dikenali di Facebook, Dr Ahmad Samhan, ulang tahun perkahwinannya yang ke-10 adalah yang paling istimewa kerana dapat menunaikan impian isterinya, Dr Rushaida Zabidi.

"Bang, best kan kalau kita boleh sambut anniversary di Makkah? Dia berseloroh sambil tersengih. Mungkin dia anggap kata-kata itu sekadar gurauan.

samhan 3

Dr Ahmad Samhan dan isterinya ketika mengerjakan umrah sebelum ini.

"Namun jauh di sudut hati, aku berdoa moga Allah pilih kami lagi dan makbulkan hasratnya.

"Syukur Allah mudahkan dan pilih kami lagi untuk menjejaki kaki di Tanah Haram dan menziarahi Rasulullah SAW. Tanah haram menjadi saksi ulang tahun perkahwinan kami yang ke-10.

"Doakan perjalanan kami dan amalan diterima Allah. Saya doakan kalian juga dipilih untuk jadi tetamu Allah," tulisnya dalam satu hantaran Facebook pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kongsi kisah ‘ditendang’ dari universiti, doktor ini akui hidup atas berkat dan harapan ibu yang ada kemahuan, imaginasi juga impian – “10 tahun lepas tak terbayang dapat bantu pesakit”

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh 5 wanita mengaku bini, Dr Ahmad Samhan dedah identiti bidadari syurga... kongsi kisah nasi berlauk kicap, tapi kenapa ada nombor atas setiap telur?

Dalam coretan yang dikongsikan sebelum berlepas ke Tanah Suci, Dr Ahmad Samhan turut mengimbas pahit manis sepanjang 10 tahun membina rumah tangga dengan wanita yang dikenalinya ketika sama-sama menuntut di Mesir.

"Kami diijabkabul di tahun tiga perubatan. Tak mudah berumah tangga ketika masih belajar. Pernah sekali aku betul-betul tak ada duit. Tapi takkanlah dah ada isteri ni aku tergamak nak minta duit belanja dari abah.

"Duit aku hanya cukup-cukup beli sepapan telur. Sayang, bulan ni abang mampu beli ni je. Kita makan nasi dengan kicap, telur sebiji kita kongsi ya?. 'Tak apalah, ini pun dah cukup'.

samhan 4

Selama 10 tahun berumah tangga, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata.

"Dia masuk bilik ambil marker dan tulis atas telur nombor 1 hingga 30. Tujuan supaya tak masak lebih dari sebiji setiap hari. Aku sebak," imbasnya.

Perkahwinan mereka sekali lagi diuji ketika Dr Ahmad Samhan jatuh sakit, namun isterinya tetap setia berada di sisi memastikan setiap keperluannya tidak terabai.

"Tujuh tahun lepas aku disahkan ada ketumbuhan rahang. Perlu jalani pembedahan besar. Pembedahan ini menjadikan aku manusia bisu. Mulut diikat dengan dawai dan tekak ditebuk.

Dialah yang sentiasa beri kata-kata semangat waktu aku putus harapan. Dialah yang sentiasa memahami dan memberi sokongan penuh setiap apa yang aku lakukan.

DR AHMAD SAMHAN

"Kaki disimen, minum susu ikut hidung dan kencing melalui tiub. Seksa, Allah saja tahu. Namun, dia tetap setia di sisi menemani dan menjaga. Sikit pun tak mengeluh," kongsi Dr Ahmad Samhan lagi.

Mengusahakan lima buah klinik di Terengganu, Dr Ahmad Samhan berkata kejayaan dan pencapaian yang diraihnya ketika ini bukanlah atas usahanya seorang diri, sebaliknya dibina di atas pengorbanan isteri.

"Dialah yang sentiasa beri kata-kata semangat waktu aku putus harapan. Dialah yang sentiasa memahami dan memberi sokongan penuh setiap apa yang aku lakukan.

samhan 2

Dr Ahmad Samhan kini mengusahakan lima buah klinik di Terengganu.

"Di sebalik kehebatan seorang lelaki, ada wanita hebat di belakangnya. Wanita yang telah banyak berkorban. Kerana itu aku berusaha sedaya yang mampu untuk penuhi hasratnya.

"Nasihat saya untuk suami, hargailah isteri ketika susah dan senang. Jangan lupa pengorbanan dia bila berada di puncak. Layanlah dia sebaik mungkin. Hargai dia. Hari ini dia ada, esok lusa mungkin dia tiada.

"Buat apa saja yang terdaya untuk tunaikan hasratnya. Kerana apa yang dia buat untuk kita dan keluarga tiada bandingan," kongsinya lagi.

Sehingga kini coretan Dr Ahmad Samhan meraih lebih 1,000 shares di Facebook.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain