suria

Ini contoh mat rempit ‘next level’, tak abai keluarga lepas kahwin... Isteri puas hati hidup serba cukup, siap ‘upgrade’ kereta Honda

Mimie bersyukur dikurniakan seorang suami yang penyayang dan bertanggungjawab.

“TAK guna kau kahwin dengan mat rempit!”

Begitulah ungkapan yang sering diterima wanita ini apabila dia mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga dengan lelaki digelar 'mat rempit' kira-kira lapan tahun lalu.

Namun Amylia Mohd Hairan, 25, menyangkal dakwaan tersebut dengan menceritakan tentang suaminya, Muhammad Su’ud Agus Roslan, 25, yang mampu menjaga kebajikan dia dan keluarga dengan baik.

Cerita Amylia yang senang disapa Mimie, percintaan yang terjalin sejak dibangku sekolah membuatkan mereka berkahwin lebih awal ketika di tingkatan empat pada 30 Januari 2014.

“Saya kenal Agus dari darjah enam sejak dia berpindah berdekatan rumah saya dan kami sama-sama bersekolah di SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) Datuk Abu Bakar Baginda di Kajang, Selangor.

“Masa umur 13 tahun dulu lagi memang dia suka ‘main’ motosikal. Dia jadi mat rempit sampai habis sekolah. Agus memang seorang remaja nakal sebab bertindik dan siap warnakan rambut.

“Disebabkan sebaya kami selalu berada dalam satu kelas. Hubungan kami makin rapat sampailah jadinya cinta monyet.

"Kerana kami asyik berkepit, keluarga putuskan untuk kahwinkan, cuma kami nikah gantung saja dahulu sebab nak habiskan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia),” ujarnya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Haqiem Stopa naik satu level! Jadi penceramah di sekolah, tapi netizen bengang kenapa jemput mat rempit... Cikgu pun tak setuju!

ARTIKEL BERKAITAN: Teringin jadi gelandangan, lelaki ini buat ‘content’ selami nasib homeless... Tak sangka mat rempit orang pertama hulur burger

Menurut Mimie, suaminya mulai berubah sikap ke arah lebih baik apabila mereka sudah mendirikan rumah tangga ketika berusia 16 tahun.

Sejurus sahaja menamatkan pelajaran di sekolah, suaminya terus bekerja di sebuah kilang ubat dan bekerja lebih masa demi mencari duit demi membeli sebuah kereta jenama Honda.

“Walaupun nikah awal tapi dia matang dan tak lupa tugas sebagai suami. Lepas habis saja SPM terus dia kerja sebab nak kumpul duit beli kereta. Dia memang tak bagi saya kerja, suruh jadi suri rumah.

“Dia sediakan rumah selesa, kereta, barang kemas dan telefon jenama iPhone yang terbaharu. Nafkah pun dia berikan untuk saya merasa macam kawan-kawan lain yang bekerja.

Mimie dan Agus mendirikan rumah tangga pada 30 Januari 2014.

“Kalau dia pergi konvoi atau main motosikal pun dia tak pernah tinggal saya. Saya nampak dia banyak betulkan diri. Berbeza masa zaman nakal dulu, macam sampah masyarakat macam orang lain selalu label mat rempit.

"Tapi dia banyak ubah perangai lepas kahwin. Dia jaga solat, aurat saya pun lebih terjaga, dia pun rajin mengaji sebab nak anak-anak ikut sekali mengaji,” ujar Mimie lagi.

Tambah Mimie lagi, mereka menimang anak pertama pada usia 18 tahun namun meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru setelah dilahirkan.

“Anak sulung saya meninggal dunia masa kami masih muda. Masa tu Agus jaga sebaik mungkin sebab takut saya meroyan. Lepas umur 19 tahun saya mengandung lagi sekali dan sekarang Alhamdulillah kami dah ada tiga anak perempuan termasuk arwah yang meninggal.

Dia banyak ubah perangai lepas kahwin, jaga solat... dia pun rajin mengaji sebab nak anak-anak ikut sekali mengaji.

AMYLIA

“Saya bersyukur sangat daripada mengandung sampai bersalin dia tak pernah tinggalkan saya uruskan sendirian.

"Dalam pantang pun dia mandikan anak, memasak, sidai kain dan uruskan anak kami ke sekolah. Saya banyak rehat saja waktu pantang,” katanya lagi.

Kisah Mimie dan suaminya mendapat perhatian selepas dia berkongsi video di TikTok sehingga meraih lebih 358,000 jumlah tontonan.

Bagi Mimie yang menetap di Sungai Merab, Kajang, Selangor, perkongsiannya bertujuan untuk membuktikan bahawa bukan semua mat rempit tiada masa depan.

Mimie kerap mengikuti Agus ke acara motosikal.

Baginya yang kini sudah berumah tangga lebih lapan tahun, hantaran dimuat naik di TikTok itu cukup membuktikan bahawa perkahwinannya di usia muda dengan seorang mat rempit mampu bertahan sehingga kini.

Rata-rata warga maya turut memberikan komen mereka mengenai isu mat rempit setelah menonton video tersebut.

“Sebenarnya mat rempit ni walaupun kita nampak main moto, mereka lebih ke depan berfikir masa depan.

“Rempit tak salah, kita semua hanyalah manusia. Kadang-kadang yang sempurna itulah yang disisihkan disebabkan hobinya nampak macam tiada masa depan.

“Dari perut (buncit) suami akak, saya percaya rezeki dia murah sebab bahagiakan famili. Semoga bahagia kak sekeluarga,” ujar beberapa netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain