suria

Anak pelaut tak tahan rindu, terus menangis lihat video bapa wish hari lahir... ibu dedah dulu selalu sakit jika berjauhan

Hana menangis ketika melihat video ucapan hari lahir oleh bapanya.

HIDUP berjauhan dengan ahli keluarga pasti membuatkan rasa rindu di hati amat membara.

Begitulah yang dirasai seorang kanak-kanak perempuan, yang mengalirkan air mata setelah melihat video dalam telefon pintar ibunya Nurhaida, 33, memaparkan rakaman ucapan ulang tahun daripada bapanya.

Bercerita kepada mStar, Nurhaida yang senang disapa Aida menceritakan semula kisah di sebalik video tular melibatkan anaknya, Nur Hana Delisha Ahmad Ridhwan yang berusia sembilan tahun sehingga mengundang sebak warga TikTok.

"Video tu saya rakam waktu Hana balik dari sekolah pada 4 Oktober lalu yang merupakan hari lahirnya.

"Sebelum ni dia pernah cakap dekat saya 'ibu boleh tak birthday saya nanti nak video call ayah'. Bila saya beritahu suami dia cakap tak boleh sebab kapal dah nak belayar.

"Jadi saya minta suami rakam video siap-siap untuk wish birthday Hana. Hari tu pula dah hari kelima dia tak dapat cakap dengan ayah dia. Jadi lepas balik sekolah, saya tunjuk video tu. Tak sangka pula reaction dia macam tu," katanya.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata ini, suaminya terpaksa meninggalkan keluarga dan belayar selama tiga hingga lima bulan bagi mencari rezeki sebelum pulang ke kediaman mereka di Batu Caves, Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak manja cabut heels, dah tak ‘control ayu’ meraung nampak mak ayah datang kolej... tapi giginya yang diperhatikan netizen!

ARTIKEL BERKAITAN: Anak manja abah! Bapa dedah sikap pemuda pengsan masa kawad... tak lokek pelukan, cium pipi - “Apalah sangat kaki pedih”

Tambah Aida lagi, Ridhwan yang bekerja sebagai pelaut sudah meninggalkan rumah untuk belayar selama tiga minggu ketika video tersebut dirakam.

"Happy Birthday Hana Delisha. Semoga diberkati Allah dan jadi anak yang solehah," merupakan kata-kata yang diungkapkan oleh si bapa dalam video tersebut sekali gus membuatkan Hana yang memendam rasa rindu menangis.

"Dulu Hana selalu sakit masa ayah dia pergi offshore... mungkin sebab terlalu rindukan ayah dia. Tapi saya bersyukur sekarang dia dah tak macam tu lagi.

"Bila ayah dia belayar, dia akan guna wifi dalam kapal. Selalunya wifi kapal ni terhad untuk digunakan. Kadang boleh guna dan ada masanya tak boleh. Bila kapal dah masuk port barulah suami akan telefon kami," ujar Aida.

Aida dan ahli keluarganya.

Ketika suaminya keluar mencari rezeki, Aida terpaksa menguruskan rumah tangga mereka sendiri sepenuhnya.

Ujarnya yang bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan, dia bagaimanapun tetap bergilir-gilir menguruskan rumah tangga apabila suami bercuti.

"Hubungan antara Hana dan ayah dia memang rapat. Bila hari cuti, memang suami akan 24 jam layan anak. Kalau hari saya bekerja memang suami akan jaga anak-anak.

Hidup PJJ ni memang kedua-duanya perlu kuat dari segi mental dan fizikal sebab semuanya tak mudah tapi untuk cari rezeki kita kena hadapi juga.

NURHAIDA

"Tapi dalam masa sama saya bersyukur apabila keluarga mentua selalu tolong saya ketika suami tak ada. Kebetulan pula rumah kami memang berdekatan.

"Untuk hadiah anak, biasanya suami akan beli secara online (atas talian) sahaja. Kalau tidak pun, dia akan minta saya tanyakan anak-anak mahu hadiah apa untuk dia belikan," ujar Aida.

Susulan video yang tular di TikTok, warga maya mula membanjiri ruangan komen meluahkan rasa sebak melihat video dikongsikan itu.

Dalam pada itu, Aida turut menitipkan pesanan buat mereka yang turut mengalami atau berdepan situasi perhubungan jarak jauh (PJJ) sepertinya.

Aida terpaksa hidup berjauhan dengan suaminya atas faktor bekerja.

"Saya share video tu saja-saja tapi tak sangka pula boleh viral, Saya rakam sebab nak tunjuk pada ayah Hana nanti. Alhamdulillah semua komen positif saja.

"Hidup PJJ ni memang kedua-duanya perlu kuat dari segi mental dan fizikal sebab semuanya tak mudah tapi untuk mencari rezeki kita kena hadapi juga.

"Sokongan dari keluarga juga penting. Alhamdulillah saya dapat famili yang banyak membantu saya. Jadi ibu yang PJJ ni memang kena kuat dan sentiasa positif sebab ibu kena kuat untuk anak-anak. Nak urus anak sendiri bukan mudah," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain