suria

Subhanallah, ajaibnya doa! Setahun sakit teruk bertongkat, tak sangka lambaian Kaabah ubah nasib wanita ini... tak jadi tolak kerusi roda

Azlina mengerjakan umrah bersama kakaknya, awal Oktober lalu.

MENJEJAKKAN kaki ke Tanah Suci sememangnya menjadi impian bagi setiap umat Islam.

Begitu juga dengan wanita ini yang dijemput menjadi salah seorang tetamu-Nya, 1 Oktober lalu.

Meskipun sudah lima kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci sebelum ini, namun kunjungan kali keenam baru-baru ini begitu istimewa buat Azlina Wahab.

Berkongsi cerita dengan mStar, Azlina berkata dia sama sekali tidak pernah merancang untuk ke Makkah dan Madinah memandangkan keadaan kesihatannya tidak begitu mengizinkan selepas mengalami 'slip disc' tiga tahun lalu.

"Saya slip disc dah tiga tahun tapi tahun lepas yang saya sakit teruk. Saya murung teruk kerana pemergian dua insan kesayangan, iaitu kakak pada Januari 2021 diikuti anak saya pada April 2021.

makkah 4

Azlina (tengah) terpaksa menggunakan tongkat ketika jatuh sakit tahun lalu.

"Masa itu juga saya hilang selera makan sehingga berat badan susut 32 kilogram. Daripada segi pergerakan, saya tak mampu nak berjalan jauh. Berjalan dekat terpaksa bertongkat, kalau jauh terpaksa berkerusi roda.

ARTIKEL BERKAITAN: “Seolah-olah Allah nak tegur” - Jemaah haji kongsi kisah pakai selipar ‘jamban’, jenama mahal tiba-tiba putus sebelum ke Arafah

ARTIKEL BERKAITAN: Kaabah, Hajarul Aswad, air zam-zam.... kali ini semuanya berbeza! Jururawat Malaysia ‘insan terpilih’, antara terawal buat umrah norma baharu

"Tapi adik beradik dan keluarga bagi semangat, saya pun nak sihat maka berubat merata-rata. Pada awal Mac tahun ini, seorang kakak saya ajak pergi umrah dengannya.

"Saya terdiam sebentar. Saya lihat wajahnya, tertanya-tanya dalam hati 'sungguh ke ni'. Sebab pergerakan saya masih terhad. Tapi dia bersungguh-sungguh ajak dan berjanji nak tolak kerusi roda. Maka saya pun bersetuju," kongsi wanita berusia 53 tahun ini.

makkah 3

Azlina (kanan) bersama kakaknya dan jemaah umrah ketika dalam penerbangan ke Makkah.

Disebabkan terlalu teruja mahu mengerjakan umrah ke Tanah Suci, Azlina yang juga bekas pendidik berkata dia tidak pernah gagal memohon doa kepada Allah agar memberikannya kesihatan dan mempermudahkan urusannya untuk menjadi tetamu-Nya kelak.

"Bermula daripada mendaftar, saya memang teruja. Tak henti-henti saya mohon doa kepada Allah nak sihat... nak sihat.

"Sambil-sambil itu saya tak putus asa berubat juga. Pantang dengar cerita kat mana bagus, terus pergi. Suplemen macam-macam, kos perubatan berpuluh ribu habis.

"Alhamdulillah, sebab berniat nak pergi umrah, mungkin Allah perkenankan. Pada April, saya dah boleh berjalan tanpa tongkat. Dan saya percaya, ia berkat doa ibu, adik beradik, anak-anak dan kawan-kawan juga," ujarnya yang berasal dari Kedah.

Lebih manis, saya meraikan ulang tahun kelahiran ke-53 di Makkah. Ia adalah hadiah hari lahir paling bermakna dalam hidup.

AZLINA WAHAB

Selepas beberapa bulan membuat persediaan, Azlina dan kakaknya selamat tiba di Makkah pada 1 Oktober lalu.

"Pada 1 Oktober, saya tiba di Makkah tanpa tongkat dan kerusi roda. Kakak saya yang dulu janji nak tolak kerusi roda, tak jadi buat macam tu sebab saya boleh berjalan macam biasa.

"Jika masa datang sebelum-sebelum ini saya hanya mampu buat dua atau tiga kali saja umrah, tapi Alhamdulillah kali ini, rezeki dapat buat empat kali umrah. Allah permudahkan semuanya.

"Lebih manis, saya meraikan ulang tahun kelahiran ke-53 di Makkah. Ia adalah hadiah hari lahir paling bermakna dalam hidup. Tahun ini Allah berikan kegembiraan selepas tahun lepas saya dirundung kesedihan," katanya lagi.

makkah 2

Ketika mengerjakan saie bersama kakaknya.

Tambah Azlina, hantaran yang dibuat di Facebook adalah kerana mahu berkongsi mengenai betapa besarnya kuasa Allah serta magis doa yang dilafazkan.

"Doa yang sangat magis... saya bersyukur sangat-sangat atas kurniaan Allah menyembuhkan kesakitan yang dialami.

"Magisnya kekuasaan Ilahi dan saya doakan kesihatan yang baik untuk semua dari sini. Betapa banyak doa yang dikirim di WhatsApp mahupun Facebook.

"Ada yang minta doakan kesembuhan penyakit kanser, penyakit kronik lain dan pelbagai lagi. Saya cuba sedaya upaya bacakan, kerana mahu semua turut rasai magis ini. InsyaAllah," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain