WALAUPUN sudah hampir memasuki tahun 2023, namun mentaliti sesetengah individu masih lagi berada di takuk lama. Sebagai contoh, ada dalam kalangan kita masih berperangai buruk dengan tanpa rasa bersalah mengotorkan tempat penginapan seperti hotel dan homestay kerana beranggapan sudah membayar harga perkhidmatan yang ditawarkan. Bayangkan jika ramai yang masih kekal dengan sikap dan mentaliti sebegini, sudah tentunya perkara berkenaan menyusahkan pekerja pembersihan atau housekeeper dan juga pemilik tempat penginapan berkenaan. Dalam satu perkongsian di Facebook baru-baru ini, seorang wanita meluahkan rasa kesal dengan sikap sebuah keluarga yang meninggalkan homestay dalam keadaan seperti 'tongkang pecah'! Pelanggan berkenaan mengalihkan perabot secara suka hati. "Customer dari neraka! Sorry to say, nak cakap, hampa (anda) ingat senang ke jadi cleaner? Apabila dapat customer buat rumah macam masuk hutan, macam inilah jadinya," tulisnya dalam hantaran di laman tersebut. Dia turut memuat naik beberapa keping gambar, memaparkan keadaan homestay yang kotor dan bersepah selepas sebuah keluarga mendaftar keluar (check-out). ARTIKEL BERKAITAN: Tetamu check-out tinggalkan bilik bersepah, kotor... kesian nama Neelofa pula kena petik! Mana privasi duduk hotel? ARTIKEL BERKAITAN: Najis berterabur, karpet banjir! Housekeeping merungut tetamu hotel pengotor, mungkin balas dendam dapat tuala ‘recycle’ Berkongsi cerita dengan mStar, wanita bernama Nur Izzati Nadia atau lebih senang disapa Nadia berkata, insiden tersebut berlaku ketika cuti hujung minggu lalu, sewaktu dia mahu membersihkan homestay jenis apartment yang terletak di Cameron Highlands, Pahang. "Owner homestay menetap di luar Cameron Highlands, jadi saya mengambil alih tolong jaga dan menjadi cleaner separuh masa. "Keluarga tersebut mendaftar masuk pada pada 6 Oktober dan mendaftar keluar pada 8 Oktober. Macam biasa, selepas mereka mendaftar keluar, saya pergi untuk melakukan tugas pembersihan. Sisa makanan dibiarkan bersepah. "Buka saja pintu, terkejut saya lihat keadaan di dalam homestay. Sudahlah sampah tak dibuang dalam plastik yang disediakan, sisa makanan bersepah. Perabot dan tilam pun suka hati saja alihkan. "Tilam dari dalam bilik, mereka alih ke ruang tamu. Sofa pula mereka letak di beranda. Kalau kena hujan macam mana? Bukan tak boleh, tapi alihkan semula selepas guna. "Buka pula peti ais, mengucap panjang... pakej makanan tumpah. Masuk ke dalam tandas, ada 'bukti' dalam mangkuk tandas tapi saya tak muat naik gambarnya kerana jijik," ujar wanita berusia 30 tahun ini. Nadia berkata dia kemudian memaklumkan perkara berkenaan kepada pemilik homestay. "Owner bertanya elok-elok kepada pelanggan. Mereka mengaku... iyalah sebab ada bukti dan gambar. Owner cakap terpaksa burn deposit sebab kena bayar extra kepada cleaner. Masuk ke dalam tandas, ada 'bukti' dalam mangkuk tandas tapi saya tak muat naik gambarnya kerana jijik. NUR IZZATI NADIA CLEANER/PENGUSAHA HOMESTAY "Apabila jadi macam ni, cleaner banyak kerja nak buat. Tapi mereka salahkan kita pula dan mahukan deposit juga. Owner tiada pilihan lain, kena bertegas dan burn deposit supaya sebagai pengajaran. "Rupa-rupanya, keluarga tersebut sewa dua unit apartment. Dua-dua unit sama je kotor. Satu unit saya bersihkan, satu lagi kawan bersihkan," ujarnya yang juga merupakan seorang pengusaha homestay. Menurut Nadia yang sudah 12 tahun menetap di Cameron Highlands, insiden sedemikian adalah yang pertama kali dialaminya sepanjang mengendalikan homestay sendiri dan milik rakannya. "Selalu saya ambil masa sejam saja, tapi untuk bersihkan homestay tersebut, kira-kira hampir empat jam jugalah baru siap. Saya terpaksa mop satu rumah, alih perabot, vakum dan sebagainya. Pelanggan berkenaan selamba meninggalkan 'microwave' dengan sisa makanan selepas menggunakannya. "Itupun dibantu oleh suami. Kalau saya seorang diri, rasanya lima jam pun tak siap. Sambil mengemas, rasa nak menangis tapi berzikir saja. "Saya kongsi di laman sosial untuk sampaikan mesej kepada orang ramai. Kalau menginap di tempat orang, jangan tinggalkan macam tu... menyusahkan orang lain. "Bukan nak suruh perfect biar kemas, tapi setidak-tidaknya usahlah sampai menyusahkan orang lain. Kesian dekat owner homestay kena tanggung kerugian. Deposit yang diambil bukan banyak pun. "Saya faham kerana saya juga buat bisnes homestay. Ingatlah, bayaran bukanlah lesen untuk pelanggan buat sesuka hati," ujarnya lagi. Perkongsian Nadia di laman Facebook meraih 190 shares. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI