suria

Pelik diri susah nak pandai Matematik, panik tengok nombor sejak sekolah... baru kini wanita tahu ada Diskalkulia

Fija berkongsi pengalaman bagaimana dia didiagnos mengalami masalah diskalkulia, di TikTok.

MENGHADAPI masalah setiap kali menyelesaikan soalan berkaitan nombor khususnya subjek Matematik dan Ekonomi ketika di bangku persekolahan, wanita ini akhirnya mendapat jawapan mengenai situasi yang membelenggu dirinya.

Menurut wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Raja Fija, dia didiagnos mempunyai masalah ketidakupayaan pembelajaran iaitu Diskalkulia, awal tahun ini.

Diskalkulia dedifinisikan sebagai masalah pembelajaran yang spesifik dalam pengiraan atau Matematik dan seumpamanya.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang senang disapa sebagai Fija berkata, dia tergerak untuk membuat penilaian (assessment) selepas terbaca mengenai Diskalkulia di internet.

"Situasi ini saya memang lalui dari zaman sekolah rendah lagi. Ia satu condition, bukan penyakit... sama ada secara sedar atau tak sedar.

"Diskalkulia ini tak ramai orang yang cakna, kebanyakan orang tahu pasal disleksia saja. Secara kebetulan saya terbaca mengenainya di internet dan apabila baca, saya dapati simptom-simptom yang dinyatakan sama seperti yang saya alami.

"Saya tak melengahkan masa dan terus mencari pusat assessment dan buat janji temu," ujar wanita berusia 25 tahun ini.

fija 1

Fija bersama pakar yang melakukan diagnos terhadapnya ketika dia mengunjungi sebuah pusat penilaian, awal tahun ini.

Fija berkata dia mengunjungi sebuah pusat penilaian dan membuat ujian berkaitan soalan Matematik selama dua jam, sebelum didiagnos dengan masalah Diskalkulia.

"Sepanjang dua jam membuat soalan berkaitan pengiraan, ada seorang pakar akan observe dan monitor. Selepas buat ujian, mereka keluarkan result dan sememangnya saya didiagnos dengan Diskalkulia.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kami tak syak langsung” - Ibu anggap anak normal, sebenarnya ada autisme... hanya sedar bila kakak cakap sesuatu!

ARTIKEL BERKAITAN: Melulu kaitkan anak autisme, speech delay dengan gangguan jin... ustazah teruk kena ‘sekolah’, pakar psikiatri pun bersuara

"Selepas didiagnos, individu tersebut kebiasaannya disarankan untuk meneruskan dengan rawatan terapi, khususnya mereka yang masih bergelar pelajar.

"Namun saya tak buat terapi kerana kekangan waktu disebabkan tuntutan kerja.

"Walaupun agak lambat mengesan situasi ini, namun saya lega akhirnya dapat juga tahu jawapan mengenai situasi yang saya hadapi ini," ujarnya yang kini bekerja di sebuah firma akauntan di ibu negara.

Bercerita serba ringkas mengenai masalah tersebut ketika berada di bangku persekolahan, Fija berkata dia mengambil masa yang lama untuk memahami topik dalam subjek Matematik yang diajar oleh gurunya.

Walaupun agak lambat mengesan situasi ini, namun saya lega akhirnya dapat juga tahu jawapan mengenai situasi yang saya hadapi ini.

RAJA FIJA

"Apa-apa berkaitan formula memang susah nak faham. Tengok nombor je jadi panik. Memang tak boleh faham apa cikgu cakap. Saya pernah tanya cikgu untuk minta dia ajar lebih jelas, tapi tetap tak faham... saya segan juga sebab orang lain senang pick-up.

"Jadi saya akan bertanya kepada kawan-kawan. Merekalah yang mengajar saya walaupun struggle juga nak bagi saya faham.

"Jadi setiap kali ujian atau peperiksaan besar, saya akan bangun awal pagi untuk buat latihan dan ulangkaji. Boleh dikatakan hampir setiap pagi. Alhamdulillah, untuk subjek lain saya tiada masalah untuk skor," ujar Fija sambil menambah, keputusannya untuk subjek Matematik bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agak memuaskan hasil usaha kerasnya.

Tidak menyangka perkongsiannya meraih sehingga melebihi 257,000 jumlah tontonan di aplikasi TikTok, Fija berkata dia sekadar mahu menyebarkan kesedaran kepada orang ramai mengenai Diskalkulia memandangkan tidak ramai yang cakna mengenainya.

komen

Antara komen netizen terhadap perkongsian Fija.

"Apabila saya share, ramai yang bertanya mengenai lokasi di mana saya buat assessment. Dan ada yang komen, situasi tersebut sama macam yang dialami oleh anak muridnya.

"Guru tersebut berkata anak muridnya susah sangat nak faham even yang simple. Kemudian rupa-rupanya mak pelajar itu beritahu anaknya ada masalah Diskalkulia.

"Kadang ada yang fikir, seseorang pelajar tu lemah sebab malas. Tapi sebenarnya pelajar tu struggle dengan masalah ini. Jadi seeloknya, para guru dan ibu bapa kena alert," katanya yang membuat penilaian di Dyslexia Genius Titiwangsa Centre.

Dia turut berpesan kepada ibu bapa agar segera membawa anak membuat penilaian jika menyedari ada sesuatu yang tak kena pada mereka kerana pengesanan awal akan membolehkan seseorang itu mendapat bantuan serta rawatan khas yang sesuai.

"Bimbang kalau tak ditangani dengan lebih awal, ia boleh beri kesan kepada kesihatan mental sebab ia berkait rapat dengan keyakinan diri," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain