suria

Kak Ojie nasi lemak viral mengaku salah, bisnes jadi kelam kabut gara-gara buka ‘food delivery’... Tak sangka 5 tong nasi pun tak cukup!

Kak Ojie membuat permohonan maaf kepada pelanggannya di Twitter.

BUKAN mudah bergelar seorang peniaga lebih-lebih lagi apabila jualannya laris seperti 'pisang goreng panas' sehingga tidak menang tangan melayan pesanan pelanggan!

Begitulah situasi dialami oleh pengusaha nasi lemak viral ini apabila buat pertama kalinya, nasi lemak yang disediakan tidak mampu menampung pesanan pelanggan gara-gara sambutan yang begitu hebat.

Mengakui kesilapan yang tidak disengajakan itu, pemilik gerai nasi lemak OG Street Kitchen, Rozeeta Abdul Manan mengambil tanggungjawab penuh untuk memperbaiki situasi.

Malah dia memohon maaf kepada pelanggannya dan pihak yang terkesan ekoran insiden yang berlaku pada Khamis baru-baru ini.

"Permohonan maaf (kepada) dua order FoodPanda, empat order walk-in customer, tujuh order dari Orderla, 32 orang yang beratur dan dua orang ibu mengandung.

"Dengan ini saya Rozeeta Abdul Manan ingin memohon maaf kepada semua pelanggan saya bertarikh 27 Oktober," tulisnya dalam satu bebenang ciapan di Twitter.

cikmak 2

Kak Ojie di hadapan gerai nasi lemak yang terletak di tapak niaga ThePortMy, Bandar Utama.

Ketika dihubungi mStar, peniaga berusia 37 tahun itu berkata masalah berkenaan berpunca apabila dia dan para pekerjanya membuka pesanan untuk perkhidmatan penghantaran (delivery) makanan.

"Khamis baru-baru ini hari pertama kita buka delivery melalui Orderla, Grabfood, Foodpanda dan Shopeefood. Kita buka delivery atas permintaan ramai. Kita tahu dari awal lagi memang akan timbul isu ni.

ARTIKEL BERKAITAN: Terkedu Raja Muda Selangor ‘repeat’ beli nasi lemak, “Tapi saya minta maaf sangat-sangat...”

ARTIKEL BERKAITAN: Pencinta kucing jual nasi lemak demi manjakan si bulus, ibu hamil turut dimanja! ‘Cair’ dengar ungkapan ‘teringin’

"Tapi saya bincang dengan team saya, semua setuju untuk buka delivery. Jadi saya buka delivery. Dan macam-macam masalah timbul seawal 6 petang. Order tak putus-putus masuk.

"Sedar tak sedar nasi dua tong dah habis. Tiga tong untuk walk-in masih tak cukup. Tak ada pilihan lain, saya kena refund pada yang walk-in, dan postponed pada yang dah submit order online.

"Saya ambil risiko ni semua. Saya jumpa semua customer yang tengah beratur untuk maklumkan nasi dah habis. Nampak muka kecewa tu tapi apakan daya saya," ujarnya kepada mStar.

Menurut wanita yang senang disapa Kak Ojie ini, sebagai pemilik, dia bukan sahaja bertanggungjawab untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan, tetapi perlu berlaku adil kepada kakitangannya.

cikmak 1

Pelanggan yang tidak melepaskan peluang merasai keenakan nasi lemak OG Street Kitchen.

Dalam masa yang sama ujarnya, kualiti makanan yang dijual juga penting untuk dijaga sekalipun sudah mempunyai nama yang kukuh.

Justeru katanya, mereka tidak akan membuka pesanan menerusi khidmat delivery buat masa ini sehingga semua kakitangannya bersedia, bagi menjaga kualiti makanan.

"Dalam bisnes ni kalau kita tak ada team yang kuat, kita memang akan hancur. Sebab tu saya jaga team saya. Saya tahu mereka dah korbankan macam-macam untuk saya.

"Kepada customers saya, saya akan terus cuba untuk buat semua happy. Walaupun saya tahu ada yang dah berkali-kali cuba nak makan tapi tak ada rezeki, saya yakin satu hari nanti mesti ada juga," ujarnya yang mula mengusahakan bisnes nasi lemak sejak 2016.

Saya jumpa semua customer yang tengah beratur untuk maklumkan nasi dah habis. Nampak muka kecewa tu tapi apakan daya saya.

KAK OJIE

PEMILIK OG STREET KITCHEN

Susulan pendekatan beraninya yang memohon maaf dan mengambil tanggungjawab penuh atas apa yang berlaku, netizen bukan sahaja memberikan pujian malah mengagumi sikapnya yang tetap rendah diri meskipun sudah dikenali ramai.

"Saya tak pasti kalau saya betul-betul layak dipuji sebab saya juga manusia biasa. Risau juga nanti puji-puji, tiba-tiba saya buat salah terus benci saya! Malu sebenarnya bila kena puji banyak banyak ni," ujarnya berseloroh.

Terharu dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi, Kak Ojie dalam masa yang sama mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan yang tetap setia dengannya sejak enam tahun lalu.

cikmak komen

Antara komen netizen yang menyokong Kak Ojie.

"Ingat tagline kita 'beli je terus jadi geng'. Kita semua dah geng.

"Buat yang sanggup beratur untuk cikmak dari OG Street Kitchen, saya berterima kasih sangat-sangat. Jom meriahkan lagi vendor lain di tapak niaga ThePortMy, Bandar Utama.

"Saya juga doakan agar segala perhatian yang saya dapat daripada pelbagai pelusuk media, food reviewer ni semua akan dapat dirasakan oleh peniaga peniaga kecil yang lain macam saya.

"Sama-sama kita support each other dan semoga Allah SWT murahkan rezeki orang yang sanggup beratur berjam-jam dan sanggup datang dari jauh," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain