suria

[V] Tiada simpati! Budak lelaki ‘bergelut’, sampai terkangkang tolong angkat plastik berat... pelanggan cuma tengok sambil cekak pinggang

Seorang budak mengangkat bungkusan buah untuk dimasukkan dalam kereta pelanggan.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Sayu melihat seorang kanak-kanak lelaki menolak troli yang membawa muatan plastik besar berisi buah-buahan yang dibeli oleh seorang pelanggan.

Namun lebih menyedihkan apabila seorang lelaki dewasa, dipercayai pelanggan tersebut hanya bercekak pinggang melihat kanak-kanak itu 'bergelut' memasukkan plastik besar ke dalam kereta, tanpa memberikan bantuan.

Wajah kanak-kanak itu yang berkerut sambil menahan pintu jelas menggambarkan barang yang diangkatnya terlalu berat jika dibandingkan dengan kudrat dan tubuh kecilnya.

Sebaliknya, lelaki yang berbaju hitam itu hanya melintas di belakang kanak-kanak berkenaan, langsung tidak menawarkan bantuan untuk mengangkat.

Video berdurasi 32 saat itu menunjukkan pelanggan yang kelihatan tegap itu membeli lebih dari sebungkus besar plastik buah-buahan.

budak angkat buah 2

Pelanggan berkenaan hanya bercekak pinggang melihat kanak-kanak itu melakukan kerja.

Menerusi satu rakaman yang tular, seorang wanita memaklumkan bahawa kejadian dipercayai berlaku di Pasar Besar Kota Kinabalu di Sabah.

"Bro, tak chill langsung la kau tengah cekak pinggang, kau biarkan je budak tu angkat barang-barang berat yang kau shopping kat pasar, seorang.

"Kau tengok macam tu je gaya kau eh," kedengaran suara wanita itu yang lebih dikenali sebagai Min Yasmin.

Kesal dengan kejadian yang berlaku, wanita itu turut mendakwa pelanggan berkenaan tidak memberi tip kepada budak tersebut yang bersusah-payah membantu mengangkat barangnya.

"Kasihan budak tu. Kau bagilah upah kat budak tu seringgit angkat berat, tapi kau buat bodoh je. Moga dimurahkan rezeki budak ni," kata Yasmin.

budak angkat buah 3

Kanak-kanak itu menolak troli setelah selesai mengangkat buah-buahan.

Menurut Min lagi, walaupun kanak-kanak tersebut mencari rezeki dengan mengangkat barang-barang di pasar, adalah wajar untuk pelanggan bertimbang rasa.

"Niat Min hanya untuk jadikan pengajaran, bukan untuk mengaibkan. Berduit atau tidak tak penting. Yang penting adab dan akhlak tu kan," katanya di ruangan komen.

Berduit atau tidak tak penting. Yang penting adab dan akhlak tu.

MIN

Menerusi ruangan komen di akaun TikTok itu juga, rata-rata netizen turut bersimpati dengan situasi yang berlaku.

"Tak kisahlah dia diupah ke tak. Kembali lagi pada kita sebagai manusia, yang tengok kalau macam ada terasa dekat hati mesti ada rasa 'sedih'.

"Selepas tu kalau pecah buah tu, entah siapa dia (pelanggan) salah kan. Bukan hilang tangannya angkat barang tu, depan kereta pun," demikian antara komen netizen.

budak angkat buah 1

Antara komen netizen.

Dalam pada itu, Min Yasmin turut menjelaskan mengenai situasi yang berlaku apabila segelintir netizen menyifatkan perkara biasa bagi kanak-kanak mencari rezeki dekat pasar tersebut.

"Ya, tapi dengan berat lagi tu buah, sambil badan dua hadang tu pintu kereta, dengan kaki lagi terkangkang nak elak masuk lopak," katanya.

Tidak terkecuali ada yang turut mendoakan agar kanak-kanak tersebut dimurahkan rezeki atas kesungguhannya.

"Mudahkan murah rezeki adik ni. Tak apa dik. Satu hari ni orang tak pandang kau... abang doakan kau akan peroleh rezeki yang luas kelak. Amin," kata netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain