suria

[V] Waktu malam, seorang diri pula... akak Grab tak takut berhenti tolong mangsa langgar lari - “Risau dia kena ‘sapu’ dek lori”

Rakaman dari kamera 'dashcam' kereta Cik Bunga memaparkan seorang mangsa mangsa langgar lari terbaring di laluan kecemasan.

TIDAK ramai yang berani memberhentikan kereta semata-mata mahu menolong individu yang ditimpa kemalangan jalan raya pada waktu malam, apatah lagi jika wanita yang sedang memandu berseorangan.

Selain memikirkan nyawa yang berisiko untuk 'melayang' kerana mungkin menjadi mangsa langgar kenderaan lain, timbul juga rasa was-was untuk membantu, bimbang sebenarnya ada individu yang menggunakan taktik tersebut untuk menyamun.

Namun tidak bagi wanita ini yang mengenepikan semua kemungkinan tersebut dan nekad memberhentikan keretanya untuk membantu seorang penunggang motosikal yang terbabit kemalangan.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Bunga itu berkata, dia yang ketika itu sedang melalui Lebuh Raya Elite tiba-tiba terperasan sosok seseorang yang sedang terbaring di laluan kecemasan.

"Kejadian itu berlaku sekitar pukul 8.30 malam. Saya keseorangan kerana sudah menurunkan penumpang. Masa sedang memandu dengan kelajuan biasa, tiba-tiba saya perasan macam ada kelibat di laluan kecemasan sebelah kiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Bantu pelancong Jerman kemalangan, remaja kata ada yang tengok saja... “Hanya kongsi, bukan menunjuk-nunjuk”

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda kagum bangsa lain bantu rider Melayu kemalangan, pelanggan dapat order lewat harap bersabar - “Setandan pisang, tak semuanya busuk”

"Dekat situ agak gelap, jadi saya main lampu tinggi dan memang betul ada sebuah motosikal terbalik. Selepas memastikan keadaan selamat untuk berhenti, saya terus beri signal ke kiri.

"Terus saya keluar kereta dan rupa-rupanya ada seorang pemuda terbaring... dia tak berdaya nak bangun kerana kaki ditimpa motosikal.

"Saya tolong angkat dia untuk bangun perlahan-lahan, dan tolong dia angkat motosikalnya," cerita wanita yang juga seorang pemandu e-hailing Grab ini mengenai kejadian pada 30 Oktober lalu.

akak grab 2

Cik Bunga sudah enam tahun bekerja sebagai pemandu e-hailing.

Menerusi penceritaan mangsa kemalangan yang dikenali dengan nama Ikram itu, sebuah kereta menghimpit motosikal yang ditunggangnya dan kemudian berlalu pergi tanpa rasa bersalah.

"Saya ada nampak sebuah kereta yang memandu laju berada di depan kereta saya. Kereta itulah yang melanggar pemuda ini. Tapi kamera papan pemuka saya tak dapat kesan dengan jelas nombor pendaftarannya kerana agak jauh," ujar wanita berusia 45 tahun ini.

Menurut Cik Bunga, akibat kemalangan tersebut, pemuda berkenaan mengalami luka di beberapa bahagian badan yang jelas kelihatan.

"Nampak luka pada siku dan buku lalinya. Saya offer untuk hantarnya ke klinik, tapi dia menolak. Mujur motornya boleh dihidupkan tapi jelas mukanya berkerut kesakitan.

"Selepas pastikan dia okay, saya ambil nombor telefonnya kerana mungkin dia perlukan rakaman kamera dashcam kereta saya kelak.

Banyak dah kemalangan yang disaksikan depan mata kerana saya mencari rezeki di mana masa saya banyak di atas jalan raya.

CIK BUNGA

PEMANDU E-HAILING

"Sebelum berlalu, saya sempat pesan supaya dia ke klinik. Dia tak henti-henti ucapkan terima kasih kerana menghulurkan bantuan," cerita wanita yang menetap di Klang ini.

Tambah Cik Bunga, kejadian sedemikian bukanlah kali pertama yang dilaluinya sepanjang hampir enam tahun bergelar pemandu e-hailing.

"Banyak dah kemalangan yang disaksikan depan mata kerana saya mencari rezeki di mana masa saya banyak di atas jalan raya.

"Hanya kali ini saya tergerak untuk kongsi rakaman di media sosial, dengan harapan ada saksi kejadian tampil untuk kita sama-sama bantu adik Ikram. Kesian dia jadi mangsa langgar lari.

komen akak grab

Netizen memuji tindakan pantas Cik Bunga menyelamatkan mangsa kemalangan.

"Dalam masa yang sama, saya cuba galakkan orang lain agar sama-sama bantu kalau nampak mangsa kemalangan. Saya masa itu tak fikir bahaya dah, cuma fikir nasibnya kalau kena 'sapu' dek lori atau kenderaan lain.

"Hari ini hari dia, mana tahu esok lusa hari kita pula yang ditimpa kesusahan," ujarnya.

Tidak menyangka perkongsiannya di aplikasi TikTok menjadi tular sehingga meraih lebih 286,000 jumlah tontonan, Cik Bunga berkata dia begitu terharu dengan komen netizen yang memuji dan mendoakan dirinya.

"Tak sangka... bukan pujian yang diharapkan namun saya nak ucapkan terima kasih. Ramai juga yang mendoakan, dan saya doakan agar kebaikan berbalik kepada mereka juga," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain