suria

[V] Isteri sakit tiba-tiba berselera makan! Patutlah minta suami suapkan nasi sambil rakam video, rupanya esok dah nak ‘pergi’

Eyjat menyuap isterinya makan buat kali terakhir.

'MAKAN dan suapan terakhir isteri saya, Bella.'

Begitulah kapsyen ditulis Eyjat Ghazali pada sebuah video yang dimuat naik di media sosial.

Luahan hatinya pada ruangan kapsyen posting tersebut menceritakan momen-momen akhir dia bersama isterinya, Nabella Azman yang cukup meruntun jiwa.

Jelasnya, dia langsung tidak menyangka permintaan isterinya supaya disuapkan nasi akan menjadi kenangan terakhir antara dirinya dan wanita itu.

Eyjat menyangka pada malam itu Bella semakin pulih daripada sakitnya apabila berselera dan mahu makan banyak, malah minta untuk disuapkan nasi.

“Arwah selera makan malam tu rupanya itulah makan terakhir dia.

“Dalam hati terdetik kata ‘isteri aku dah semakin sihat’ rupanya hanyalah untuk buat kita ingat dekat dia yang itu adalah perubahan diri dia yang kita tak nampak.

“Patut banyak kali arwah tanya suapkan boleh?” tulis Eyjat.

ARTIKEL BERKAITAN:“Mak balik jadi jenazah” – Lega permintaan ibu sempat ditunaikan tapi sambutan hari lahir hambar, kejutan tak kesampaian... Covid-19 ragut semuanya!

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu strok tercari-cari suami tercinta, rupanya sudah 5 hari meninggal! Anak terpaksa bohong takut makin sakit... “Abah rehat mak”

Dalam video berdurasi 14 saat yang tular, kelihatan Eyjat menggaul nasi putih bersama lauk masak lemak ayam.

“Siap suap nasi,” kata Bella menunjukkan rasa terharunya sebelum Eyjat mencubit bahagian ayam lalu menyuap makanan tersebut ke mulutnya.

Dalam masa yang sama juga Bella sempat membuat rakaman video suaminya sedang menggaul dan menyuap nasi seperti yang diminta.

Menurut Eyjat yang menjaga isterinya bersama ibu, setelah selesai makan isterinya memberitahu mahu ke bilik mereka untuk berehat.

Sekali lagi Eyjat tidak terfikir apa-apa, tetapi setelah kehilangan isterinya dia percaya wanita itu mahu meluangkan masa-masa terakhirnya dengan berada di bilik tidur mereka.

Kata Eyjat, isterinya meninggal dunia pada hari berikutnya setelah segala permintaannya ditunaikan.

Esoknya tepat pukul 2.10 petang Bella menghembuskan nafasnya yang terakhir di pangkuan dalam pelukan saya.

EYJAT GHAZALI

“Lepas makan tu dia request nak masuk baring dekat dalam bilik kami sekejap sebab masa dia sakit tu kami duduk dalam bilik dekat dengan mak sebab senang mak nak pantau dia masa saya tak ada.

“Rupanya dia nak nikmati sisa kenangan dalam bilik tu untuk kali terakhir seolah-olah macam tahu itu adalah malam terakhir dia dalam bilik kami.

“Esoknya tepat pukul 2.10 petang Bella menghembuskan nafasnya yang terakhir di pangkuan, dalam pelukan saya,” jelasnya.

Semakan mStar mendapati isterinya meninggal dunia disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru.

Komen netizen pada video tular.

Hantaran yang dimuat naik di TikTok sehingga meraih hampir 1 juta tontonan ini mengundang sebak warga maya setelah disiarkan.

Ramai bersimpati dengan nasib menimpa Eyjat setelah kehilangan isterinya.

Bukan itu sahaja, ada juga warganet yang mengenali Bella serta mengakui arwah merupakan seorang yang baik hati.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain