TATKALA yang lain lari berteduh apabila panahan petir membelah langit bumi, lelaki ini keluar ke lapangan membawa kamera. Tidak gentar, malah berasa teruja, lelaki itu yang mahu dikenali sebagai Zairul berkata proses mengejar kilat itu mencetuskan deruan adrenalin. Menerusi akaun TikTok miliknya, tular satu video sinematik memaparkan kejayaannya menangkap gambar petir yang berlatarbelakangkan Menara Merdeka 118. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Menurut Zairul, 33, dia mula menjadi pemburu kilat pada awal tahun ini, tetapi lebih bergiat aktif sejak beberapa minggu lalu kerana peralihan cuaca ke musim monsun menyebabkan ribut muncul dengan lebih kerap. "Ini cuma hobi. Bila masa lapang hari saya cuti, saya akan tengok aplikasi cuaca Windy.com dekat phone saya untuk tahu mana ribut ini akan muncul. "Jadi kita akan pergi standby. Cuma nak keluar atau tak keluar kilat tu kita tak akan tahu," katanya ketika dihubungi mStar. Kejayaan menangkap gambar kilat itu tidak datang bergolek kerana ia boleh mengambil masa berjam-jam lamanya untuk menunggu dan momen itu datang serta pergi dalam sekelip mata. ARTIKEL BERKAITAN: Rumah Mark Adam di Filipina rosak dibadai Taufan Rai... Syukur keluarga selamat, tanya khabar setiap hari ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki hilang ketika taufan, akhirnya ditemukan dalam perut buaya "Ada masa tu saya tunggu berjam-jam tak dapat langsung gambar kilat yang saya nak. Tetapi itu yang best sebenarnya, bila kejar tak dapat. "Rasa lagi geram. Kita akan cuba dan cuba. Kita teruskan. Tak nak berhenti. "Pada Ahad lepas baru saya dapat shot yang saya boleh katakan sebagai 'jackpot'," cerita Zairul yang bekerja sebagai eksekutif kreatif. Rakaman gambar 'jackpot' itu memenuhi setiap kriteria dalam dunia fotografi yang melayakkan gambar tersebut untuk mendapat markah penuh. Pakej lengkap. Perfect. Memang satu kepuasan. Zairul "Landscape dalam gambar itu awannya nampak macam ada drama, awannya kalau tengok ada warna hijau sikit. "Kilat itu pun akarnya memang jelas dan strike dekat puncak menara tu. 'Ingredient' semua ada. "Pakej lengkap. Perfect. Memang satu kepuasan. Cuma tak ada pelangi je, kalau ada itu A+ dah," katanya berpuas hati dengan hasil yang dikecapi. Ketika ditanya mengenai lokasi yang dijadikan medan memburu kilat, Zairul berkata dia memilih tempat tinjau Changkat Tunku kerana mempunyai pemandangan keseluruhan ibu kota Kuala Lumpur. Antara hasil kerja keras Zairul untuk menangkap gambar kilat di atas Menara Berkembar Petronas. "Sebab kita perlukan subjek, gambar kilat itu kena ada background ikon negara macam Tun Razak Exchange, Menara Berkembar Petronas atau Menara Kuala Lumpur. "Kalau gambar kilat sahaja, dekat office saya pun saya boleh ambil. Akan jadi gambar landscape biasa saja nanti. Tak special," terang Zairul. Selain itu, kelengkapan fotografi mencecah puluhan ribu ringgit yang dilaburkan Zairul membolehkan dia untuk menukar jarak tumpu lensa kameranya. Bangunan di Kuala Lumpur yang kelihatan samar-samar boleh menjadi jelas dan berdefinisi tinggi apabila dizum oleh kamera Zairul. Gambar yang diambil Zairul menunjukkan ribut sedang melanda kota Kuala Lumpur. Walaupun mencerap kilat hanya hobi untuk mengisi masa lapang, Zairul berkata dia mengambil inisiatif untuk berguru daripada mereka yang berpengalaman. "Saya ada menuntut ilmu daripada orang-orang lama yang kerja mereka memang mengejar kilat, saya belajar daripada mereka. "Saya pun ada kawan yang berkongsi minat sama teman saya keluar shooting," ujarnya. Mengenai soal bermandi hujan, Zairul berkata dirinya 'alah bisa, tegal biasa'. Gambar menunjukkan kilat melintasi Menara Merdeka 118. "Hujan lebat itu memang kita dah prepare. Kami pergi sana memang ready nak basah. Ada payung kalau hujan boleh lindungi kamera. "Hati kena kental. Kilat lalu atas kepala itu memang dah biasa. Tapi kami tak duduk dekat tempat yang terbuka sangat, ada pokok dan bangunan lain. "Chances untuk kami kena strike agak rendah. Tapi kalau dah ajal tak boleh buat apa juga," nyata Zairul berseloroh. Zairul sempat menyelitkan nasihat kepada mereka yang berminat untuk mengikut jejak langkahnya sebagai pemburu kilat. "Prepare untuk gagal. Korang datang expect untuk gagal. Kalau dapat gambar kilat itu Alhamdulillah sebab memang tak senang," ujar Zairul mengakhiri bicara. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI