suria

[V] Ubat tak hapus derita kanser, suami cuma minta isteri peluk untuk hilangkan sakit! Tidur pegang tangan sebelum ajal

Kematian bapa Isyah meninggalkan kesan mendalam buat ibunya.

KASIH hingga ke hujung nyawa, itulah ungkapan yang paling tepat bagi menggambarkan hubungan sepasang suami isteri warga emas ini.

Video yang dimuat naik di laman sosial, memaparkan si isteri memeluk erat dan membelai suaminya yang terlantar di atas katil, benar-benar menyentuh hati netizen.

Menurut wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Isyah, video tersebut dirakam untuk dijadikan sebagai kenangan ketika arwah bapanya, Ali Limat, 79, terlantar sakit akibat menderita kanser paru-paru tahap 5.

"Arwah abah jatuh sakit tiga bulan sebelum dia meninggal dunia pada 3 November lalu. Kanser paru-paru stage 5. Bermula dari sakit kaki saja.

"Selepas buat check-up di hospital besar, lambat dapat result, kami bercadang bawa abah ke swasta, sebab masa tu kakinya dah terlalu sakit.

abah 2

Ibu Isyah sentiasa berada di sisi ketika arwah bapanya terlantar.

"Selepas dibawa ke hospital swasta, doktor bagitahu yang abah ada kanser paru-paru dan dah merebak ke prostat sehingga menghempap saraf kaki.

"Tak ada rawatan yang boleh dilakukan sebab faktor umur... waktu tu 79 tahun. Setiap hari abah meraung sakit, makan ubat pun tak boleh membantu, cuma minta mak peluk saja macam dalam gambar. Dah tak mampu nak bantu apa-apa," ceritanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu riuh di klinik ambil ubat, mesranya pasangan warga emas bagai baru semalam jatuh cinta... satu hari jenuh doktor mencari, tiada lagi kelibat si isteri - “Ubat habis, saya dah janji”

ARTIKEL BERKAITAN: Sebak! Susah senang bersama, warga emas tak sanggup usung keranda isteri ke kubur - “Tak ada orang teman lagi lepas ni”

Cerita wanita berusia 36 tahun ini, sepanjang terlantar sakit, dia dan tujuh adik-beradik yang lain bergilir-gilir dengan ibu, Zabedah Bujang, 67, untuk menjaga arwah bapa mereka di hospital dan di rumah.

"Abah memang nak mak ada selalu. Mak dan abah dah hidup bersama 51 tahun. Mereka tak biasa tidur asing. Bila abah dah tidur dekat katil mudah alih tu, dua-dua tak boleh tidur.

abah 1

Saat-saat terakhir sebelum arwah bapa Isyah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

"Kadang-kadang waktu malam bila terjaga, boleh tengok mereka tidur sambil pegang tangan sebab mak akan bentang tilam tidur sebelah katil abah," cerita ibu kepada dua cahaya mata ini.

Berkongsi kisah keakraban hubungan ibu dan bapanya, Isyah mendedahkan arwah merupakan seorang 'family man' dan sering membawa ibunya ke mana sahaja.

"Kalau pergi minum dekat kedai, mesti ingat anak-anak dan isteri dekat rumah, mesti bawa balik untuk kami. Setiap kali ada rezeki lebih, abah akan ajak semua anak-anak pergi makan.

"Walau anak-anak dah kahwin, beranak, bercucu, dia tetap nak belanja dengan hasil titik peluh dia," ujarnya yang mengusahakan kedai kek di Jasin, Melaka.

Sehari sebelum abah meninggal lagi keadaan emosi mak tak stabil, tak nak makan dan tak nak minum tengok keadaan abah yang kritikal.

ISYAH

Isyah menambah, ibunya adalah insan yang paling terkesan dengan pemergian bapanya, memandangkan mereka tidak pernah berpisah sepanjang 51 tahun hidup bersama.

"Sehari sebelum abah meninggal lagi keadaan emosi mak tak stabil, tak nak makan dan tak nak minum tengok keadaan abah yang kritikal.

"Sehingga ke hari ini, mak masih tengok video-video yang kami simpan waktu abah sakit sebab sepanjang umur abah, abah tak penah jatuh sakit dan tak pernah masuk hospital," ujarnya lagi.

family

Gambar kenangan bersama arwah ketika hari raya.

Tidak menyangka perkongsian videonya meraih sehingga melebihi 289,000 jumlah tontonan di aplikasi TikTok, Isyah melahirkan rasa terharu dengan komen netizen yang mendoakan arwah bapanya.

"Alhamdulillah, rupanya ramai yang dah lalui saat ni, sedangkan kami kali pertama melalui saat kehilangan orang terdekat kami.

"Hargailah ibu bapa kita, pasangan kita selagi ada hayat, sebab kita tak tahu bila Allah akan ambil mereka," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain