suria

Sering keliru tentang solat permulaan demensia, luluh hati anak tunggal sebaik dengar ungkapan ‘siapa ni ya?’

Hilangnya ingatan seorang ibu terhadap anaknya adalah satu situasi yang sukar digambarkan. -Gambar hiasan

MEMORI masa lalu adalah apa yang membentuk siapa diri kita pada hari ini.

Namun begitu, jika dihakis memori tersebut maka apa yang tinggal hanyalah jasad kosong tanpa ada apa-apa tersimpan di ingatan.

Begitulah apa yang diceritakan seorang wanita yang tidak mendedahkan identiti di laman Twitter mengenai ibunya yang menghidapi penyakit demensia.

Ciapan asal luahan hati seorang wanita tanpa nama.

Sebagai makluman, penyakit demensia merujuk kepada keupayaan otak yang melemah kerana faktor usia dan setakat ini masih belum ada kaedah rawatan yang muktamad.

Antara gejala awal penyakit demensia adalah ingatan jangka pendek atau panjang yang menjadi kabur sehingga boleh mengganggu aktiviti harian.

Luluh hati si anak melihat ibunya yang telah mencurah sepenuh kasih sayang sejak kelahirannya ke dunia ini menerima nasib sedemikian rupa.

Wanita ini mengakui ibunya tidak mempunyai peluang untuk bersekolah tetapi bersungguh ingin melihat anaknya berjaya sehingga ke menara gading.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu strok tercari-cari suami tercinta, rupanya sudah 5 hari meninggal! Anak terpaksa bohong takut makin sakit... “Abah rehat mak”

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak tiga tahun hidap demensia, hanya mampu sebut 'uh oh'

"Saya sayang mama. Dia baik, besarkan saya penuh kasih sayang, tak pernah pukul, teman saya buat homework sampai pukul 12 tengah malam.

"Selagi tak siap, selagi tu dia duduk dekat sofa tunggu saya. Mama sekolah tak habis jadi dia tak boleh tolong saya belajar.

"Mama cakap mama tak pandai, tapi paling tidak pun mama akan teman saya belajar sampai siap. Itu je mama boleh buat," luah wanita itu.

Kini wanita itu telah pun berkerjaya dan berkeluarga sekali gus menjadi masa sesuai untuk dia berbakti kepada ibu tercinta.

Saya ajak mama makan. Tiba-tiba mama tanya "Siapa ni ya?"

Wanita tanpa nama

"Sekarang saya dah kerja, dah kahwin dan ada anak. Mama duduk dengan saya sebab dah tak ada sesiapa dah.

"Ayah dah meninggal, saya pula anak tunggal. Suami pun okay dengan mama sebab mama layan dia macam anak sendiri," katanya kepada pengendali akaun Twitter @ConfessTweetMY.

Sememangnya lumrah untuk seseorang itu mempunyai sakit tua ketika diri dimamah usia, tidak terkecuali juga ibu wanita ini.

"Sejak kebelakangan ni mama macam lupa-lupa. Paling ketara bila dia asyik tanya dia dah solat ke belum padahal kita jemaah sekali Maghrib dan Isyak.

Perjumpaan bersama doktor mengesahkan apa yang menjadi kerisauan anak selama ini. -Gambar hiasan

"Nanti selang sejam dia tanya dah Isyak ke belum. Lepas tu makan pun dia lupa. Mama start lupa suami saya.

"Kadang-kadang dia terkejut nampak suami saya dalam rumah lepas itu dia tanya awak siapa?" tulis wanita itu menyatakan kerisauan terhadap keadaan ibunya.

Si anak tanpa berlengah terus membawa ibunya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan ketika itu mimpi ngerinya menjadi kenyataan. Ibunya disahkan menghidapi demensia.

Hari demi hari dilalui dengan satu penyeksaan, identiti mereka yang pernah menjadi sebahagian dari hidup si ibu sedikit demi sedikit mula terpadam dari memori.

Remuk hati anak apabila mengenangkan apa yang bakal terjadi kepada ibunya. -Gambar hiasan

"Balik tu saya menangis tak berhenti. Saya takut mama lupa saya. Saya sayang mama.

"Suami saya pun menangis sekali tengok saya menangis. Dia pun sayang mama macam mama dia sendiri.

"Selang beberapa minggu, betul apa doktor cakap, memang mama makin lupa," ujar wanita itu meluahkan isi hati yang terbuku.

Berkecai hati wanita ini apabila tiba harinya si ibu tidak lagi mengingati zuriat yang pernah dikandungkannya.

Sukar si anak untuk menerima takdir yang telah ditetapkan ke atas ibunya. -Gambar hiasan

"Saya ajak mama makan. Tiba-tiba mama tanya siapa ni ya?.

"Saya terus menangis terduduk. Meraung-raung saya menangis masa tu.

"Lepas tu mama sempat pujuk. Jangan menangis, kenapa ni menangis. Acik minta maaf kalau salah tanya," tulis wanita itu mengimbau kejadian tersebut.

Perkara yang lebih meruntun jiwa apabila pujukan itu mengingatkan wanita berkenaan kepada masa kecilnya di bawah jagaan ibu.

Wanita itu merayu seluruh jiwa raganya agar si ibu tidak melupakannya.

Si anak bertekad untuk menyayangi ibunya walaupun dipandang sebagai seorang yang asing. -Gambar hiasan

"Mama dah lupa kita ke? Mama janganlah lupa kita. Mama tolonglah jangan lupa kita.

"Suami datang tenangkan saya. Dia kata ni ujian mama dan ujian kita.

"Walaupun dia tak ingat kita, kita tetap sayang dia macam biasa. Kita layan dia macam biasa," katanya.

Wanita itu bingkas bangun dan memeluk erat ibunya walaupun hanya dibalas dengan pandangan kosong.

"Sedihnya mama dah tak ingat saya," ujar wanita itu cuba menerima ketentuan Ilahi yang sungguh pahit untuk ditelan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain