suria

Nak pegang tuala wanita kotor atau rendam tangan dalam air darah haid? Bekas pelajar dedah denda tak masuk akal di SBP

Gadis ini baru tahu denda yang dikenakan ketika dia bersekolah asrama penuh adalah tidak wajar.

BEKAS pelajar sekolah berasrama penuh (SBP), Dayana Safiyah, 19, yang berasal dari Putrajaya mengimbas peristiwa yang berlaku ketika zaman dia belajar, lantas menceritakan kisah itu kepada ibunya.

Kejadian ini merupakan antara punca Dayana mengambil keputusan untuk berpindah ke sebuah sekolah antarabangsa di Putrajaya pada 2017, setelah dua tahun berada di sekolah berasrama penuh yang tidak didedahkan namanya.

Imbasnya, ketika berumur 14 tahun, dia pernah didenda memegang tuala wanita yang mempunyai darah haid hanya kerana ada pelajar lain yang terlupa untuk membuangnya dalam tong sampah.

“Saya fikir ia ‘normal’, atau dihukum seperti itu dalam asrama adalah perkara biasa.

“Kalau ada antara kami tertinggal tuala wanita, dan tidak mengaku itu miliknya, semua pelajar dalam aras tersebut akan didenda.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Anak hiba balik asrama, walau nangis tak putus beri bermacam nasihat untuk ibunya - “Tak sampai 15 minit dia call tanya ibu sihat?”

ARTIKEL BERKAITAN: Biadab! Wanita ini tergamak minta sijil mati keluarga rakan, buat alasan adik tak jadi balik asrama... “Nak emergency

“Kami disuruh pegang tuala wanita terpakai tersebut secara bergilir ataupun rendam tangan dalam baldi yang mereka campurkan darah daripada tuala wanita itu dengan air," katanya ketika dihubungi mStar.

Dayana berkata, 'sesi' hukuman seperti itu selalunya dibuat pada waktu malam, selepas sesi persediaan ke kelas (prep), oleh pelajar senior.

“Saya rasa cikgu-cikgu pun tahu, cuma mereka tidak kenakan apa-apa tindakan kepada senior.

“Saya rasa ada juga pelajar yang melaporkan perkara ini kepada ibu bapa mereka, tapi mereka pun tak buat apa-apa setelah ia berlaku.

“Tak terfikir pula nak beritahu ibu saya ketika itu sebab saya ingatkan ketika tinggal di asrama hukuman ni biasa, jadi harus hadap sahaja.

Dayana lebih selesa dengan rakan-rakannya di sekolah antarabangsa.

Denda tersebut dijustifikasikan oleh pelajar senior untuk memberi ‘pengajaran’ kepada pelajar lain supaya tiada sesiapa akan meninggalkan tuala wanita lagi di dalam tandas pada masa akan datang.

Namun, Dayana berkata yang hukuman tersebut nampaknya tidak berkesan kerana denda sebegitu dilakukan dengan kerap.

“Dalam sebulan, sekali atau dua kali mesti akan didenda sebegitu. Kadang-kadang lebih dari dua kali kalau lebih ramai yang tertinggal tuala wanita di dalam tandas asrama.

“Kadang-kadang kita pun tak pasti tuala wanita itu milik siapa, sebab ada sahaja pelajar dari bangunan asrama lain datang menggunakan tandas tu.

“Namun, pelajar di aras tersebut sahaja yang akan didenda, saya rasa tak adillah begitu,” katanya.

Dayana juga masih ingat perasaannya apabila dihukum sebegitu, yang mana dia berasa denda itu sesuatu yang sangat menjijikkan.

“Semasa pegang tuala wanita tersebut, ada rasa macam nak muntah dan mual. Rasa geli, tambahan pula ada darah pada tuala wanita tersebut.

“Memang lepas pegang, tak berhenti cuci tangan, gosok pakai segala sabun yang ada.

“Selain itu, mereka akan suruh kita pegang betul-betul. Kalau pegang hujung jari sahaja atau sikit-sikit, mereka akan suruh pegang semula,” dakwanya.

Dayana memberitahu tentang kejadian tersebut kepada ibunya tetapi tiada apa yang boleh dilakukan kerana dia telah lama meninggalkan sekolah tersebut.

Ibunya juga berkata dia sepatutnya memberitahu tentang hal ini lebih awal, kerana ia jelas hukuman yang tidak wajar dan patut dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Video yang tular itu mendapat hampir 270,000 tontonan dan juga 30,000 tanda suka.

Antara komen netizen di TikTok.

Lebih mengerikan lagi apabila netizen lain di TikTok memenuhi ruangan komen video tersebut berkongsi tentang situasi hampir sama berlaku kepada mereka ketika berada di asrama.

“Kadangkala hukumannya melampaui batas. Saya juga mempunyai pengalaman yang sama seperti anda.

“Salah satu sebab saya tak akan hantar anak ke asrama.

“Ada kawan saya yang dipaksa sapu tuala wanita yang lama pada muka," demikian antara komen netizen.

Dalam pada itu ada juga yang mendakwa hukuman itu menjadi punca tercetusnya histeria kerana darah kotor sering dikaitkan dengan makhluk halus.

“Kena celup tangan dalam air rendaman tuala wanita terpakai dan malam itu hampir semua kena histeria sebab air itu menitik satu asrama. Yalah, takkan nak lap pada baju.

“Pernah pegang enam hingga lapan tuala wanita berdarah guna tangan kanan, selepas itu tak boleh basuh sampai tiga jam.

“Saya punya asrama siap disuruh perah-perah ya tuala wanita lama itu. Saya dengan tidak bersalah turuti apa yang disuruh, risau kena marah dengan senior,” demikian antara komen netizen.

Dayana juga sempat meninggalkan pesanan untuk para pelajar di asrama yang mungkin berdepan denda yang sama.

“Kalau awak tahu yang denda dikenakan itu salah, sila laporkan kepada pihak atasan. Awak perlu berani menolak hukuman walaupun yang menyuruh itu senior ataupun guru.

“Kadang-kadang hukuman seperti itu dinormalisasi kerana ia berlaku dengan kerap tetapi tiada sesiapa yang melaporkannya.

“Pelajar senior juga terlalu selesa untuk mengulanginya sehingga ia menjadi normal di sekolah berasrama penuh," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain