suria

[V] Naik motor dari JB ke KL untuk temuduga, pemuda ‘lepas’ semua ujian sepanjang perjalanan berkat santuni mak ayah

Kata-kata hikmat yang ringkas tetapi membawa makna kepada kehidupan pemuda ini.

PENCERITAAN seorang pemuda tentang bagaimana dia bersusah payah mencari kerja menjadi inspirasi netizen di TikTok.

Muhammad Faris Norafandi, 25, sebelum ini merupakan barista di KCoffee, Johor Bahru dan pernah berniaga di kedai Kopi Tepi Bustop di Segamat sebelum dipanggil untuk sesi temuduga kerja di Kuala Lumpur pada 5 Disember lalu.

"Saya pilih untuk bekerja di Kuala Lumpur untuk mencari pengalaman bekerja, dan ingin merantau keluar dari kampung saya di Segamat.

"Saya fikir sampai bila saya nak kekalkan jumlah gaji hanya sebanyak ini?" katanya ketika dihubungi mStar.

Faris berniaga kopi atas minatnya sendiri.

Sebelum menghadiri sesi temuduga kerja di Advance Defence Systems (ADS) Sdn Bhd di ibu kota, Faris berkongsi dia pada awalnya ada bertanya sama ada temuduga boleh dilakukan secara dalam talian kerana dia sedang bekerja di Johor Bahru.

Bagaimanapun, individu dari syarikat tersebut menjawab melalui WhatsApp bahawa temuduga dalam talian akan menjadi lebih sukar untuk pihaknya membuat penilaian, justeru dia diminta untuk hadir ke pejabat.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Rajin, manis pula tu! Pemuda kacak rancak cari rezeki di pasar malam, terkejut mak buat ‘spot check’... doa ibu segalanya

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Ibadat dulu, baru cari rezeki! Sejuk hati tengok lelaki solat Subuh berjemaah dalam KTM, cepat rebut jika masih bujang

Walaupun perjalanan dari rumah sewanya di Johor Bahru hingga ke Kuala Lumpur mengambil masa lebih lima jam dengan jarak 333km, ia bukanlah penghalang untuk lelaki ini mencuba nasib mencari pekerjaan yang lebih menjamin masa depan.

Menaiki motosikal, dia bertolak ke Kuala Lumpur seawal pukul 4.30 pagi dari rumah sewanya tanpa ditemani sesiapa.

Dia hanya 'berbekalkan' semangat dan doa daripada kedua ibu bapanya yang menetap di Segamat dan ia menjadi sumber kekuatan untuk menghadiri sesi temuduga tersebut.

Tangkap layar perbualan pemuda ini bersama ibunya.

Menerusi video tersebut, dia berkongsi sempat berhenti rehat di R&R Machap untuk solat Subuh, kemudian berteduh di bawah jambatan di Melaka kerana hujan lebat, singgah pula di Senawang jam 8.40 pagi dan pada pukul 10.40 pagi, tiba di pejabat ADS.

Satu perkara yang tidak dilupakan pemuda ini dari awal sehingga akhir perjalanannya adalah memberi 'update' kepada ibu dan bapanya melalui WhatsApp.

Selesai temuduga, dia pergi makan tengah hari bersama adik saudaranya yang bekerja di Kuala Lumpur dan pulang ke Johor Bahru semula selepas itu.

Pada hari yang sama juga, usaha pemuda ini ternyata membuahkan hasil apabila dia diterima untuk bekerja dan diminta mula kerja pada Isnin.

"Disebabkan saya masih bekerja di KCoffee, saya masih perlu pulang ke Johor Bahru untuk proses berhenti kerja," katanya.

Banyak dugaan yang diterima, tetapi pemuda ini tetap meneruskan perjalanannya untuk mencari rezeki.

Sejurus mendapat berita baik tersebut, Faris terus mencari rumah sewa secara online di kawasan berdekatan tempat kerjanya, iaitu di Bukit Jalil.

Pemuda ini bagaimanapun terus diduga apabila gear tuil motosikalnya tercabut dan hujan turun dengan lebat ketika dia dalam perjalanan ke Segamat untuk menghantar barang-barang dari rumah sewanya di Johor Bahru.

Sebelum bertolak ke Kuala Lumpur, dia berkesempatan meluangkan masa bersama bapanya, Norafandi di kedai makan, iaitu pada Sabtu.

Mendengar nasihat ibu tersayang, Faris telah menghantar motosikalnya untuk diservis sebelum perjalanan jauhnya untuk ke Kuala Lumpur bermula sekali lagi.

Apabila sampai di Bukit Jalil, kunci rumah sewa tidak ditemui dan dia terpaksa menunggu penghuni rumah untuk pulang.

"Dah memang ada orang tinggal dalam rumah sewa itu.

"Kunci pintu utama selalunya disimpan dalam kotak bersebelahan pintu, tapi tiada pula ketika itu," katanya.

Seterusnya, lelaki itu keluar membeli barangan keperluannya termasuklah untuk menghias rumah sewanya yang dikatakan tidak berapa cantik dan berhabuk ketika pertama kali dilawati.

Seorang pengguna TikTok @sharliesabby juga telah membantu Faris dengan memberikan bantal dan selimut kerana dia menetap berdekatan dengan rumah sewanya.

Ibu bapa Faris yang sentiasa mendoakan dirinya.

Apabila ditanya tentang perasaannya meninggalkan ibu bapa di kampung untuk bekerja di ibu kota, dia menyatakan sedikit kerisauan.

"Homesick itu tak ada rasanya sebab dah biasa berjauhan.

"Cuma risau sedikit kerana saya anak sulung.

"Takut kalau ada apa-apa terjadi kepada mereka, nanti saya pula susah nak pulang ke kampung," katanya.

Di akhir perkongsian perjalanannya, Faris meninggalkan kata-kata hikmat kepada para netizen.

“Dalam dunia ini, kalau kita rasa susah, kita kena ingat ada orang lain yang lebih susah.

"Jika penat, berhenti dan bangun balik. Bukannya penat, berhenti dan mati.

“Hidup ini pilihan,” katanya.

Antara komen netizen.

Video kisah perjalanan mencari kerja yang dimuatnaik melalui media sosial itu mendapat perhatian netizen dan meraih lebih 200,000 tontonan dan 14,000 tanda suka.

Rata-rata netizen yang meninggalkan pesanan di ruangan komen juga memberi semangat dalam bentuk kata-kata hikmah kepadanya.

“Bak kata orang, susah-susah dulu. Senang-senang kemudian. Semoga terus sukses ya, hidup ini keras.

“Pasti ada hikmah di sebalik setiap perjalanan.

“Hadap ribut petir, santuni ibu dan keluarga, merantau mencari rezeki. InsyaAllah ada kebaikan yang besar menanti kau! Terus semangat!

“Teringat pada anak lelaki saya, semoga dilimpahi rezeki yang mengalir seperti air zam-zam untuk kamu ya.

“Banyak juga dugaan itu, tak mengapa. Perkara baik akan dibalas dengan kebaikan juga... Amin,” ujar seorang netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain