suria

[V] Makcik kafe rekomen suami buat ‘make over’, teruja cik abang pasang gigi palsu percuma... Paling menarik pakej atas bawah!

Miza lega apabila berjaya mencari sukarelawan untuk tugasan itu.

SETIAP pelajar akan berdepan dengan pelbagai tugasan demi melengkapkan pengajian mereka di peringkat universiti.

Terbaharu, kisah seorang pelajar bidang Pembedahan Pergigian Universiti Malaya (UM) yang mencari sukarelawan bagi membuat rawatan gigi palsu turut mencuri perhatian ramai.

Tangkap layar perbualan WhatsApp antara Nur Hamizah Daing Abd Hamid, 21, dengan seorang pengusaha kafe di universiti itu meraih lebih 200,000 tontonan selepas ia dikongsi menerusi TikTok.

"Assalamualaikum cik. Saya Miza yang course pergigian. Saya tengah cari patient untuk buat gigi palsu.

"Nak minta makcik tanyakan kawan-kawan yang duduk area Kuala Lumpur kalau-kalau ada yang nak buat gigi palsu," tulisnya melalui WhatsApp.

Apa yang mencuri tumpuan tentunya jawapan wanita berkenaan yang dihantar menerusi pesanan suara (voice note) sehingga dia menjadi perhatian ramai netizen.

Ada beberapa gigi palsu setiap student kena buat... bukan untuk seorang, tapi ramai.

NUR HAMIZAH DAING ABD HAMID

"Waalaikummussalam, waalaikummussalam. Pucuk dicita ulam mendatang. Memang ada orang nak buat gigi palsu. Suami makcik sendiri.

"Kau nak buat praktikal ke? Boleh boleh boleh boleh. Makcik suruh pakcik buat gigi palsu tu. Kau yang tolong buatkan kan? Haa no hal makcik percayakan kau.

"Bila nak jumpa appointment? Mari mari mari mari. Wah suami aku memang tak ada gigi. Atas bawah tak ada. Haa... boleh boleh boleh boleh. Makcik nak, makcik nak," jawab wanita itu.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Tak nampak pun dia study” - Pelajar tetap dapat ‘dekan’ walau siang malam ‘mengadap’ game, rakan lain iri hati

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Gadis dapat anugerah tertinggi di kolej tapi tak beritahu mak ayah, drama air mata di dewan konvo melarat sampai balik rumah

Bercerita kepada mStar, Miza yang berasal dari Batu Pahat, Johor, mengakui lega apabila dia akhirnya berjaya mencari sukarelawan untuk tugasan berkenaan.

"Kami clinical student ada beberapa requirements kena lengkapkan sebelum peperiksaan akhir. Contohnya kena buat full denture. Ada beberapa gigi palsu setiap student kena buat. Bukan untuk seorang, tapi ramai.

"Saya contact ramai orang sebenarnya. Sampai makcik cleaner dekat kolej tengah bersihkan tandas pun saya tegur, tanya nak buat gigi palsu atau tak. Untuk tahun ketiga pengajian, kami kena start at least seorang patient untuk complete denture.

"Saya mula-mula risau sebab tak jumpa patient. Tapi lepas makcik tu reply macam tu, sata gelak sampai senak perut. Saya kalau pergi kafe dekat kolej, saya berbual dengan makcik tu. Sebab tu saya kenal dia," ujarnya.

miza2

Miza dijangka menamatkan pengajian pada tahun 2025.

Menurut Miza lagi, dia juga tidak menyangka perbualan WhatsApp itu akan tular selepas ia dikongsi menerusi laman TikTok.

"Saya sebenarnya saja share sebab rasa kelakar sangat. Tak jangka ia viral. Saya gembira ada orang komen, mereka kata dari moody terus gembira lepas dengar voice note makcik tu," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Miza yang dijangka menamatkan pengajian pada tahun 2025 turut berkongsi cabaran lain yang perlu dilaluinya sebagai pelajar bidang Pembedahan Pergigian.

Menurut Miza, setiap individu yang mahu menceburi bidang itu perlu melengkapkan diri dengan minat serta disiplin kerana ia bukanlah satu perjalanan yang mudah.

Dentures may even improve your smile.

Kisah pelajar itu mencari pesakit untuk rawatan gigi palsu tular di TikTok. (Gambar Hiasan)

"Mencabar sebab bukan setakat knowledge, tapi hand skills pun kena ada untuk buat apa-apa treatment. And jangan expect masuk dentistry belajar mengenai gigi. Kami pun setiap tahun ada subjek medical yang kena belajar.

"Minat tu kena ada sebab kita belajar. Kena kuat mental dan fizikal, kalau tak minat akan rasa susah. Tapi jangan risau sebab ada pensyarah dan rakan satu batch yang supportive. Kita boleh sama-sama berjaya.

"Saya nasihatkan sesiapa yang nak ambil bidang ini agar ada minat dan boleh berdisiplin. Setiap kali rasa susah, banyakkan berdoa dan jangan segan minta nasihat serta bantuan kawan-kawan dan pensyarah," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain