suria

Pemuda Johor berlakon K-drama dengan D.O (EXO), memang ramai cemburu! Jadi petani lalu-lalu belakang pun dapat RM1,000!

Lelaki ini mendapat tawaran berlakon sebagai watak sampingan dalam K-drama Bad Prosecutor.

MULA meminati EXO pada tahun 2013, pemuda kelahiran Johor ini tidak pernah menyangka menerima peluang untuk berlakon bersama salah seorang anggota kumpulan Kpop berkenaan.

Ketika dihubungi mStar, Muhammad Naufal Omar berkata segalanya bermula apabila dia dipilih untuk membintangi sebuah drama Korea Selatan sebagai watak tambahan.

Ujar pemuda berusia 24 tahun itu lagi, pada awalnya dia tidak dimaklumkan tentang pelakon lain drama berjudul Bad Prosecutor yang menjalani penggambaran di Mokpo, kira-kira lima jam perjalanan menaiki kereta dari Seoul.

Gambar yang dikongsi di set penggambaran.

“Pada awalnya, saya tidak tahu sesi penggambaran tersebut untuk drama yang melibatkan D.O. (EXO) tetapi sebaik sahaja saya tiba di lokasi, saya terpegun apabila ternampak dia,” ujarnya kepada mStar.

Tambah Naufal dia terlibat dalam penggambaran drama berkenaan selama sehari iaitu pada 15 Ogos lalu.

Bagaimanapun dia menahan diri daripada berkongsi apa-apa yang berkaitan kerana kontrak sehinggalah mendapat kebenaran.

Terdahulu Naufal meraih perhatian selepas akhirnya berkongsi tentang pengalamannya berlakon di samping D.O menerusi Twitter pada 28 Disember lalu.

Ini bukanlah kali pertama Naufal ditawarkan untuk berlakon.

Tambah Naufal dia mendapat peluang ini kerana pernah berlakon menjadi watak sampingan dalam drama Racket Boys pada tahun 2021.

“Disebabkan drama Bad Prosecutor ini di bawah syarikat sama dengan drama saya berlakon sebelum ini, mereka menghubungi saya semula untuk menjadi watak sampingan seorang petani untuk drama itu pula," katanya.

Bercerita tentang karakter dan sikap D.O di lokasi, Naufal berkata idol Kpop itu melayan semua orang dengan baik semasa berada di set penggambaran.

“Saya tak dapat nak ambil gambar bersama D.O. kerana sebaik sahaja adegan dalam drama tersebut tamat, saya terus meninggalkan lokasi penggambaran bersama pengurus.

ARTIKEL BERKAITAN: Diam-diam ambil master, terbang sampai Korea... anak puas dapat bergambar walau bapa tak pernah tahu apa itu jubah konvo

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah diejek, ada kata conteng muka demi content... tapi gadis peminat Kpop ini tak kisah pun, mujur ada nenek ‘pakar motivasi’

“Saya juga ingin kekalkan sikap profesional ketika bekerja,” katanya.

Ujar Naufal lagi, walaupun hanya mendapat watak sampingan, dia sangat bangga dan berbesar hati kerana berpeluang bekerja dalam K-drama bersama D.O.

Berkongsi tentang bayaran, Naufal berkata dia menerima RM1,000 untuk hanya melakonkan watak sampingan sebagai seorang petani dalam drama tersebut.

Naufal merupakan graduan Semyung University, Korea Selatan.

Apabila bertanya tentang kehidupannya di Korea, Naufal memberitahu yang dia baru sahaja tamat pengajian dari Semyung University dalam kursus Sarjana Muda Reka Bentuk Grafik pada Februari lalu.

Menurutnya, dia berada di Korea sejak tahun 2019 untuk program pertukaran pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) selama enam bulan, kemudian terus menyambung pengajian di universiti tersebut.

Kini Naufal berhasrat untuk bekerja di Korea, dan sedang mempertimbangkan sebuah tawaran daripada syarikat Glutanex sebagai pembantu kreatif dalam pemasaran global.

Disebabkan drama Bad Prosecutor di bawah syarikat sama dengan drama saya berlakon sebelum ini, mereka menghubungi saya semula.

MUHAMMAD NAUFAL OMAR

Dalam proses untuk mencari kerja di Korea, dia turut berkongsi pernah bekerja sambilan sebagai model fesyen dan duta produk untuk beberapa jenama terkenal seperti Musinsa dan Nacific.

Sebelum ini, dia juga pernah dijemput untuk sesi penggambaran sebuah video di YouTube saluran ‘hello82’ melibatkan seorang lagi ahli EXO iaitu Kai pada Disember 2021.

“Pesanan saya ikut sahaja cita-cita awak, sebab saya berhasrat untuk belajar di Korea sejak sekolah menengah lagi.

Naufal juga pernah berjumpa dengan Kai (EXO) pada tahun lalu.

“Pada ketika itu, ramai orang hanya ingin pergi ke negara barat seperti United Kingdom. Rakan sekelas saya semua tak mempercayai dan mengejek impian saya.

“Jadi, kalau anda nak sambung belajar di Korea, pergi sahaja. Abaikan apa orang cakap dan buktikan pada semua orang anda boleh capai cita-cita yang diinginkan,” kata Naufal untuk orang ramai yang memiliki cita-cita sama sepertinya.

Tweet asal tersebut menerima lebih 1,300 ulang kicau, dan 4,000 tanda suka.

Rata-rata netizen di Twitter yang kebanyakannya peminat kumpulan EXO turut berkongsi rasa bangga dan mengucapkan tahniah kepada Naufal atas pencapaiannya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain