suria

[V] Seram sejuk suami dapat kek kubur, siap pacak 2 batu nisan... Rupanya isteri bagi mesej ‘deep’ untuk kaki lumba kereta!

Cikna menempah kek berbentuk kubur sempena hari lahir suaminya.

SAMBUTAN hari ulang tahun insan tersayang biasanya disambut dengan pelbagai cara penuh bermakna.

Sudah banyak idea kreatif dirancang dan dilakukan orang ramai demi membahagiakan insan tersayang disajikan di media sosial.

Terbaharu giliran wanita ini pula maraih perhatian ramai apabila menempah sebiji kek berbentuk binaan kubur dihiasi sebuah kereta bersama replika buku Yasin bagi menyambut ulang tahun kelahiran suaminya Muhammad Faris Mohd Kahni yang ke-27.

Ketika dihubungi mStar, Nur Nadhirah Syuhadat Rahmat, 24, menceritakan semula kisah di sebalik video yang mencuri tumpuan warga TikTok.

Rupanya-rupanya hadiah kek seperti itu ada kaitan dengan minat suaminya yang gemar menyertai aktiviti lumba kereta.

“Hari lahir suami jatuh pada hujung tahun (26 Disember). Jadi untuk tahun ni saya bagi kek tu sebab dia banyak sangat modified kereta nak bagi laju dan suka race (lumba kereta).

ARTIKEL BERKAITAN: Dah lama tunggu kejutan hari jadi, suami terima ‘kek kubur’ pemberian isteri dengan hati terbuka... rupa-rupanya ada sesuatu mahu disampaikan

ARTIKEL BERKAITAN: Budak ini ceria dapat hadiah van jenazah, pembuat kek terkejut... ibu bersebab layan permintaan anak - “Walau pelik, tapi tidaklah bukan-bukan”

“Nasihat saya dia tak dengar, alang-alang nak bagi kek hari jadi, saya pun tempah kek macam tu supaya dia beringat. Bahaya pandu kereta laju-laju sebab mati tak kira muda atau tua,” ujarnya yang senang disapa Cikna kepada mStar.

Menurut Cikna yang memiliki empat cahaya mata ini, kek tersebut ditempah khas dengan memberikan gambar-gambar contoh kepada pembuat kek, Farah Wahida.

Namun, dia sendiri tidak menyangka bakal menerima kek dengan sebuah kubur sangat besar berbanding objek lain yang ada sebagai hiasan.

Cikna menyambut hari lahir suaminya bersama anak-anak mereka.

“Saya bagi gambar contoh biasa saja tapi tak tahu pula bila siap kubur tu besar. Terkejut juga masa dia hantar kek tu. Tapi cantik dan sangat kemas hasil tangan dia.

“Masa minta Farah buatkan kek tu dia ikutkan saja sebab semua kek dia mampu buat. Saya suka sangat berurusan dengan dia. Lagipun kek dia semua sedap,” ujarnya.

Kata Cikna, kek yang dianggap menyeramkan ini diberikan kepada Faris sebagai kejutan pada hari lahirnya.

Tujuannya, dia memilih kek berbentuk kubur ini sebagai peringatan kepada suaminya yang mempunyai hobi merbahaya ini supaya ingat tentang nasib isteri dan anak-anak.

Nampak macam kasar dan kelakar tapi cukup kami saja yang tahu tujuannya.

NUR NADHIRAH SYUHADAT

Imbasnya yang menetap di Marang, Terengganu itu lagi, dia berasa lega apabila suaminya tidak menganggap hadiah tersebut sebagai sindiran malah sebaliknya.

“Saya minta suami tutup mata masa nak keluarkan kek tu. Lepas buka mata dan nampak kek tu dia terkejut lepas tu ketawa.

“Dia okey saja terima dengan hati terbuka tengok kek tu sebab tahu apa yang isteri dia nak ingatkan. Saya pun bukan nak minta bukan-bukan terjadi dekat dia, cuma bagi peringatan saja.

Faris menyambut hari lahirnya yang ke-27 pada 26 Disember.

“Dia cakap ‘Eh lawanya kek kubur ni sayang. Wow sekali ada kereta’. Saya pun gelak tengok reaksi dia. Tapi dalam seronok tu kami seram juga tengok kek tu sebab terus ingat kematian. Masa nak potong tu suami siap baca surah al-Fatihah,” ujarnya.

Tambah wanita yang sudah berumah tangga lebih 10 tahun itu, kek berperisa pandan itu habis dimakan ahli keluarga kedua-dua belah pihak yang turut meraikan hari ulang tahun suaminya.

Berikutan perkongsian Cikna yang meraih lebih 550,000 di TikTok, netizen turut terhibur dengan rakaman tersebut.

IMG_1248

Antara komen netizen di TikTok.

Malah, mereka turut menjadikan ia sebagai inspirasi untuk memberikan kek sedemikian kepada pasangan masing-masing.

“Ramai yang nak ikut buat kejutan macam tu. Walaupun ada juga yang cakap saya buat macam tu sebab nak suami mati cepat.

“Padahal sebab sayanglah saya buat cara macam tu. Nampak macam kasar dan kelakar tapi cukup kami saja yang tahu tujuannya.

"Terpulang pada individu itu nak ambil secara positif atau negatif,” katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain