MALANG tak berbau... kecelakaan boleh terjadi pada bila-bila masa walaupun pada situasi yang biasa. Seperti nasib yang menimpa gadis bernama Nurfitri Dalila, 22, tangan kirinya melecur selepas disambar api ketika mahu menghidupkan bengkel masakan milik keluarganya. Ketika dihubungi mStar, Dalila yang berasal dari Ipoh, Perak berkata kecelakaan itu terjadi akibat kelalaiannya sendiri ketika bekerja di dapur. “Pada ketika itu saya sedang merebus nangka, tak perasan pula api yang tadi telah dihidupkan tiba-tiba mati. “Selama ini memang saya akan gunakan pemetik api untuk menghidupkan dapur, tetapi ketika itu saya cuba berkali-kali tapi tidak berjaya. “Tiba-tiba selepas itu api menyambar tangan kiri saya, mungkin sebab gas daripada dapur itu masih ada," katanya ketika dihubungi mStar. ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tragedi mi segera tomyam dalam dorm asrama... Pemuda merana 3 hari, paha mulus melecur tersimbah air panas ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tak boleh jejak stesen minyak, takut disambar api! Adik cepat ‘triggered’, insiden terbakar seluruh badan masih berbekas Terdahulu Dalila berkongsi foto-foto keadaan tangannya yang melecur teruk akibat disambar api menerusi TikTok hingga meraih lebih 100,000 tontonan. Kata Dalila dia bekerja secara sepenuh masa membantu menjalankan bisnes keluarga iaitu Nida Katering yang telah beroperasi lebih 10 tahun. Sementara itu ketika ditanya tentang kecederaan lain yang dialaminya, Dalila menjawab yang bulu mata dan keningnya juga terbakar sedikit. Kecederaan dialami tidak dijangka walaupun sering memasak sebelum ini. - Gambar hiasan. Menurutnya lagi, dapur yang digunakan berbeza kerana ia untuk memasak makanan dalam kuantiti yang banyak. Justeru, api dapur itu sepatutnya dihidupkan dengan menggunakan kertas atau pun tisu, bukan secara langsung dengan pemetik api kerana risiko disambar api lebih tinggi. Selepas tangan Dalila cedera, dia tidak menerima rawatan serta merta dan hanya merendam tangan dengan air sejuk berais. “Pada awalnya, ingatkan luka biasa kerana api pun sambar dalam beberapa saat sahaja. Saya pun teruskan masak sehingga selesai. “Menjelang waktu malam, baru menggigil kesakitan dan terus pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan. “Saya rasa kecederaan jadi agak teruk kerana lambat ambil tindakan untuk merawat," katanya mengimbas tentang tragedi yang berlaku pada Mac lalu. Keadaan tangan Dalila yang semakin pulih. Kini, Dalila bersyukur yang kecederaannya beransur pulih dalam tempoh beberapa bulan. Sungguhpun masih trauma, dia tetap teruskan kerjanya untuk membantu bisnes katering keluarga. “Sebelum ini saya tak yakin untuk keluar, tapi Alhamdulillah sekarang tinggal parut sahaja. “Keluar rumah pun tutup-tutup tangan supaya orang tidak nampak. Tapi saya tak ada pun menerima komen negatif akibat kesan melecur tersebut,” ujarnya. Dia turut berterima kasih kepada netizen di TikTok yang memberikan kata-kata semangat dan tip untuk menghilangkan parut agar dia rasa lebih yakin dengan keadaan tangannya. Antara komen netizen di media sosial. Gadis itu juga berharap agar orang ramai sentiasa berhati-hati ketika sedang memasak kerana kemalangan boleh berlaku tanpa diduga. Rata-rata netizen juga memberikan kata-kata semangat kepada Dalila agar meneruskan kerjayanya sebagai tukang masak. “Tidak mengapa, petanda tangan orang-orang rajin. “Wajib pakai kertas atau tisu, kalau tak memang menyambar api pada tangan. “Parut atau tidak, yang penting pandai masak,” demikian komen netizen. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI